Part 19

79 3 1
                                    

Sejam kemudian Tan Sri Muzhaffar sudah berada di wad kecemasan Hospital Glenn Eagles. Puan Sri Sakinah diam sugul menunggu suaminya. Dalam hatinya tidak putus-putus doa dipanjatkan, semoga tiada apa yang buruk terjadi kepada suaminya.

Johan juga diam sahaja di tempatnya. Hatinya resah bersama fikiran yang berkecamuk. Rasa bersalah melebihi segalanya apabila menyedari onar yang dilakukannya telah membuatkan ayahnya terkena serangan jantung lagi. Tiba-tiba dia kesal. Dia tahu ada antara kata-katanya yang terlampau hinggakan tekanan darah ayahnya tidak lagi stabil. Sesungguhnya dia juga terlalu mengikut kata hati yang sedang marah sehingga tidak menapis apa yang telah diucapkan.

Lyn tiba di hospital setelah mendapat tahu bapa mertuanya sakit. Terus dia mendekati ibu mertuanya. Tangan tua itu dikucup lembut.

"Macam mana keadaan daddy, mummy?" soalnya bimbang. Sebenarnya dia agak terkejut juga dengan apa yang terjadi. Tidak sangka ayah mertuanya akan memarahi Johan hingga terkena serangan jantung. Apa yang paling tidak dimahukannya telah terjadi.

"Belum tahu lagi, Lyn. Daddy masih kat dalam bilik rawatan. Siapa yang bagi tahu Lyn?" Jawapan Puan Sri Sakinah amat lemah, bagaikan sudah kehilangan sebahagian daripada nyawanya.

"Kak long call Lyn sekejap tadi," jawab Lyn sambil matanya memandang Johan yang menekur lantai, selang beberapa kerusi. Dia melihat keresahan pada wajah lelaki itu.

"Apa yang sebenarnya dah terjadi, mummy? Kenapa daddy sampai sakit?" Lyn cuba memancing cerita selengkapnya daripada emak mertuanya itu. Sebelum ini dia ada bercakap dengan bapa mertuanya melalui telefon tetapi lelaki itu kedengaran sihat sahaja. Tidak ada tanda-tanda yang lelaki itu sedang sakit.

"Dia marahkan Johan. Johan pun melawan cakap dia. Itu yang dia jadi macam ni. Entahlah, Lyn. Susah begitu rasanya. Johan pun degil tak kena tempat. Mummy pun dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan Johan. Ikut kepala dia aje. Dah jadi macam ni siapa yang susah? Mummy jugak yang sengsara," kata Puan Sri Sakinah bergetar dalam menahan debaran dan rasa sayu. Kecewa benar dia dengan anak lelakinya yang sudah pandai bersuara lantang kepada ayahnya sendiri.

Lyn diam sahaja walaupun dia terlalu ingin tahu apa yang mereka gaduhkan. Apakah kerana dirinya atau mengenai perkara lain? Namun dia bagaikan kelu. Melihat kerunsingan pada wajah orang tua itu, dia seakan-akan tidak sanggup bertanya banyak. Harap-harap bapa mertuanya itu bertengkar dengan Johan bukan kerana dirinya. Lyn mengusap bahu Puan Sri Sakinah lembut.

Sedang mereka berdiam begitu Adrean dan Mukhriz yang
baru selesai solat zuhur dari surau menghampiri mereka.

"Mummy nak solat? Kat dalam sana ada telekung untuk solat," kata Adrean perlahan. Bimbang melihat ibunya. Ibunya tidak menangis, namun sugul sahaja. Dia tahu ibunya memendam rasa dengan perbuatan Johan. Dia juga terkejut dengan kelancangan Johan sebentar tadi.

Puan Sri Sakinah hanya mengangguk saja. Dia mahu berlalu. Saat dia melintasi Johan, tiba-tiba Johan bangun dan memegang tangan ibunya. Dia tahu ibunya marah kepadanya. Semenjak tadi ibunya tidak ada bercakap walau sepatah pun dengannya. Memandangnya juga tidak mahu.

"Mummy, I'm so sorry. Johan tak ada niat untuk buat keadaan sampai begini sekali," rayu Johan kepada ibunya.

Namun entah bagaimana tangan Puan Sri Sakinah dengan pantas melayang ke pipi Johan. Puas hatinya setelah dendam yang disimpan semenjak tadi dapat dilampiaskan kepada anak lelakinya itu. Dia benar-benar sebal dengan sikap kepala batu Johan.

Johan terkedu. Dia hanya terpaku sambil memegang pipinya yang telah ditampar. Pedih pipinya setelah mendapat hadiah penampar ibunya itu. Malunya dia bukan kepalang apabila bukan hanya dia ada di situ. Lyn juga melihat dirinya ditampar ibunya. Namun menyedari dia memang berhak menerima semua itu, dia hanya berdiam diri.

"Tak ada siapa yang boleh menyakitkan hati daddy sesuka hati. Johan tak ada hak untuk buat macam tu. Tapi Johan ni degil. Lepas ni buatlah apa yang Johan suka. Kalau itu yang Johan rasa betul, buatlah. Mummy takkan cakap apa-apa lagi. Dah jemu rasanya, Johan. Apa gunanya mummy dengan daddy ni ada kalau kau orang semua tak tahu nak hargai. Buatlah apa yang Johan rasa baik," ucap Puan Sri Sakinah agak tawar kepada Johan yang memandangnya.

"Mummy, I'm sorry...." rayu Johan sambil memegang lagi tangan emaknya itu.

"Johan tak ada niat nak sakitkan hati daddy. Johan tengah marah tadi. Apa yang Johan cakap Johan sendiri pun tak sedar," keluh Johan lagi. Merayu agar Puan Sri Sakinah mengerti akan keadaan dirinya pula.

Puan Sri Sakinah terus sahaja menarik tangannya daripada pegangan Johan. Dia enggan memandang anak lelakinya itu. Baginya sikap Johan amat mengecewakannya. "Mummy dah muak dengan sikap Johan yang suka bercakap ikut sedap mulut. Bila dah terlepas cakap senang aja minta maaf. Apa Johan ingat kami semua ni tunggul?"

"Mummy, Johan tak ada niat macam tu. Johan minta ampun." Merayu-rayu Johan. Sedih dia apabila ibunya juga marah kepadanya. Seakan-akan menyalahkannya atas apa yang terjadi.

"Susah sangat ke untuk mendengar kata, Johan? Permintaan mummy dengan daddy terlalu besar? Sekali ini Johan tak sanggup berkorban keegoan Johan untuk daddy? Johan tahu kan yang daddy amat sayangkan Johan. Johan anak harapan dia. Satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini. Apa sahaja yang kami buat semuanya untuk kebaikan Johan. Bukannya untuk menghancurkan seperti ini," balas Puan Sri Sakinah mula lirih. Empangan air matanya hampir pecah.

Johan diam. Dia tunduk, tidak sanggup menentang kesedihan ibunya. Sesungguhnya, sebagai anak sudah tentu dia takut air mata ibu dan ayahnya mengalir kerananya. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka.

"Sudahlah. Mummy nak solat. Fikirlah apa yang baik untuk Johan. Mummy takkan halang Johan lagi. Kalau kerana harta yang kau orang nak gaduhkan, mummy boleh tukarkan semua yang mummy ada atas nama Johan. Ambillah semua. Kalau itu yang boleh membahagiakan, ambillah semua. Bagi mummy, dalam keadaan begini harta dunia takkan membantu apa-apa. Hanya Allah saja yang boleh membantu. Duit bukan segala-galanya, hanya kasih sayang yang akan kekal. Kalau Johan faham, fahamlah. Kalau tidak, terpulanglah. Mummy dah tak tahu nak cakap apa lagi," ujar Puan Sri Sakinah perlahan sebelum pergi meninggalkan Johan.

Travelog Mr TravellerWhere stories live. Discover now