#unedited
AKU dan Icarus kini berdiri di hadapan satu dinding sekolah yang boleh dikatakan agak lebar. Nasib tidak terlalu tinggi, hanya perlu panjat tangga sedikit untuk cat bahagian atas. Tapi kalau difikirkan balik, ada baiknya aku suruh Icarus cat bahagian atas. Yelah, dia boleh terbang. Tak perlu susah-susah capai tangga. Betul tak?
Oh, bijaknya aku!
Hari ini hari ketiga tugasan. Pelajar lain juga sudah mula melakar pada dinding. Cat putih juga sudah siap kering. Selepas memaklumkan pembahagian dinding, Madam Flora terus meminta bantuan tukang kebun untuk mengecat putih bahagian-bahagian dinding tertentu untuk kami.
“Kita nak lukis apa?”
Hubungan aku dengan Icarus boleh dikatakan masih janggal. Balik dari sekolah, Luna pasti meluru pada aku memesan macam-macam. Balik-balik dia ingatkan aku tentang nenda dan pesanannya.
Ya, aku tahu nenda suruh aku jauhi Icarus tapi ini kerja kumpulan. Kalau Luna tahu aku sekumpulan dengan Icarus, memang dia kerjakan aku cukup-cukup. Yang aku pelik tentang Luna selepas perginya nenda, dia lebih kerap keluar rumah. Dibuat rumah nenda ibarat rumah tumpangan. Keluar masuk sesuka hati.
Aku hendak menegur, malas. Nanti macam-macam alasannya. Tambahan pula, aku tak berkenan dengan sikap dinginnya. Jadi, aku biarkan saja dia buat hal dia asalkan dia tak ganggu aku.
“Kau duduk tepi, biar aku lukis.”
Kerutan pada dahi aku terukir. Jawapan Icarus mengelirukan aku.
“Tapi... Ini kerja kumpulan. Mana boleh awak buat seorang diri.”
“Madam takkan tahu kalau kau tak bagitahu dia.”
“Putera, tak adil la macam ni. Biarlah saya lukis sama.” Aku enggan mengalah. Bukan apa, buatnya Madam Flora datang secara mengejut bagaimana? Kantoilah kami nanti!
“Hesy, kau ni. Degil.” Dia ketawa kecil seraya menggosok kepala aku. Habis rosak rambut aku diurainya. Aku berdecit. Tangan membetulkan kedudukan rambut.
“Muncung panjang-panjang nak pergi mana? Ke kau memang ada gen itik dalam diri tu?” usik Icarus bersama gelak kecil. Spontan mataku terjuling ke atas. Nakalnya sudah kembali muncul!
“Okeylah. Kalau kau nak tolong, lukiskan pemandangan hutan dengan keliling. Bahagian tengah nanti kita lukis air terjun dengan bukit bukau. Sekarang, kau pergi lukis bahagian tepi. Aku nak lukis tengah,” arahnya. Aku herotkan bibir, sedikit tak puas hati dengan arahannya.
Dia nak lukis pemandangan? Tak syoknya.
Malas nak ambi pusing, aku capai hulurannya dan berlalu ke sudut dinding. Ah, hutan pun hutanlah! Masih ada dua tugasan lain yang kami perlu buat. Kalau Icarus masih tak benarkan aku keluarkan idea, siap dia!
Aku terleka lukis bahagian sudut dinding sehingga tak sedar jam menginjak 6 petang. Matahari juga sudah turun. Langit menjadi oren terang sebagai tanda matahari bakal hilang ditelan bumi.
“Beauty?”
Aku berpaling sebaik ada yang memanggil aku. Serentak itu, aku terasa pipi aku dioles sesuatu. Icarus sudah tersengih nakal dan terbang ke atas menjauhi aku. Laju aku lap dengan hujung tangan dan bila dilihat, rupanya kesan arang hitam.
“Putera!” laungku kuat. Berkali-kali aku sapu pipi. Pengotornya dia! Dah lukis pergi lap kesan arang tu pada pipi aku pula. Hesy!
“Turunlah putera! Biar saya conteng muka awak dengan kesan arang ni juga!” tempelakku kasar. Tangan sudah mencekak pinggang. Untung dia ada sayap, kalau tak memang tak cukup tanah kami berkejar antara satu sama lain.
YOU ARE READING
Love You Kill Me | TERBIT
FantasyTajuk baru: Apricus Penulis: Adhara Syakil Terbitan: Fajar Pakeer ☀️☀️☀️ RM28.00 (SEMENANJUNG) RM31.00 (SABAH & SARAWAK) Kalau tanya pada aku, apa perkara terindah dalam hidup aku... Jawapan aku pastilah dia. Dia, jejaka idaman semua orang. Pemuda...