Saat Ayra buka mata, seluruh tubuhnya terasa sakit dan sengal. Tekaknya juga turut rasa perit. Dia mencari cari telefon bimbitnya di atas meja sisi katil, tiada. Jam pada dinding dikerling sekilas, pukul 4.40 pagi. Pejam celik matanya seketika, cuba mentafsir apa yang telah berlaku sebelum ini.
Ayra menggigit bibir saat menyedari tubuhnya berada dalam keadaan tanpa seurat benang, hanya ditutup dengan selimut nipis sahaja. Rasa pedih dan nyeri pada bahagian bawah tubuh turut membuatkan dia faham bahawa sesuatu yang dia jaga selama ini telah diragut tanpa rela.
Mulut ditekup dengan telapak tangan kanan. Tangisan yang ditahan dari tadi akhirnya terhambur jua. Dia mengongoi dalam cahaya remang. Selimut nipis itu diramas dan digenggam sekuatnya, seolah menzahirkan rasa hati yang teramat sakit. Kepalanya dihantukkan beberapa kali ke lutut. Sakitnya sudah tidak terasa. Dia hanya mahu menangis dan menangis sepuas hati.
Lampu bilik dibuka, matanya liar memerhati sekeliling. Baju tidur di atas lantai dicapai dan disarung ke tubuh. Cadar yang mempunyai kesan darah ditanggalkan daripada tilam. Dengan menahan kesakitan pada bahagian celah peha, Ayra berjalan perlahan menuju ke bilik air.
Jam 6.30 pagi, Ayra ketuk pintu bilik mak. Berkerut dahi mak bila tengok Ayra dah bersiap cantik sambil galas beg baju. Ayra ukir senyum dan beritahu pada mak yang Ayra dah kena masuk pejabat bermula hari ini. Ayra salam dan cium tangan mak, ucap terima kasih sebab mak dan pakcik Amir sudi tumpangkan dia untuk beberapa hari.
Lama Ayra peluk mak. Ayra sendiri tak pasti bila lagi dia boleh jumpa mak. Waktu bersalaman dengan pakcik Amir pun, Ayra peluk tubuh lelaki itu seolah olah dia sedang peluk abah. Tumpah air mata Ayra apabila pakcik Amir tepuk tepuk belakang tubuhnya sambil beritahu rumah ini sentiasa terbuka menerima kedatangan Ayra.
***
Eddy dah mula tak tentu arah apabila sudah masuk hari ketiga Ayra menyepikan diri. Pesanan yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp langsung tidak dibaca. Panggilan yang dibuat juga hanya masuk ke peti simpanan suara.
Facebook, Instagram, Wattpad dan juga Twitter tidak menunjukkan Ayra aktif. Eddy mula tertanya tanya, ke mana menghilangnya si gadis yang cantik dan bijaksana itu? Dia mula terasa sakitnya menanggung rindu.
Jarang la Ayra nak hilang lama lama. Merajuk macam manapun, tak sampai 24 jam mesti Ayra dah hubungi Eddy. Ayra agak clingy dengan Eddy. Tapi kali ni Ayra hilang tanpa jejak. Eddy mati akal nak cari di mana.
"Baby, where have you been?"
Eddy scroll balik chat dia dengan Ayra. Ada banyak gif gabungan gambar dia dan Ayra yang mereka buat sama sama. Puisi yang Eddy dan Ayra tulis secara spontan pun dijadikan gif sebagai tanda kenangan. Ayra selalu cakap kat Eddy, semua benda yang libatkan Eddy, Ayra nak simpan baik baik, biar jadi kenangan terindah dalam hidupnya.
Saat ini, Eddy mengaku yang Ayra memang sangat sangat menghargai status perhubungan mereka berdua. Sejak declare couple dengan Ayra, Eddy dah tak padam chat dengan orang lain dalam semua aplikasi sebab Ayra cakap nanti dah tak ada peristiwa manis dan pahit untuk dikenang. Tengok je la posting MB kat Wattpad Ayra, tak pernah sekalipun dia padam, sedangkan Eddy suka padam posting MB dia yang lama lama sebab rasa macam bodoh je tulis benda merapu kat situ.
Seharian Eddy tak boleh buat kerja sebab fikirkan tentang Ayra. Dia betul betul rasa kehilangan. Habis Eddy stalk semua akaun media sosial Ayra, cuba mencari klu di sebalik kehilangan baby sayangnya. Tapi Eddy temui jalan buntu. Nak tanya pada abang atau mak Ayra, Eddy macam belum betul betul berani lagi. Sudahnya Eddy hanya mampu berserah dan berdoa semoga Ayra baik baik sahaja.
Pagi Ahad itu, ketika Eddy sedang makan biskut Hup Seng cicah nescafe panas, terdengar bunyi ketukan di pintu rumahnya. Hampir luruh jantung Eddy apabila melihat Ayra berdiri di muka pintu. Wajah gadis itu muram, tiada langsung senyuman menghiasi wajah. Di bahunya tergalas sebuah beg yang sering dibawa ke mana sahaja.
Eddy peluk tubuh Ayra untuk menzahirkan kerinduan yang bersarang di dada, namun tiada tindak balas dari Ayra.
"I nak tumpang tidur, I penat." Usai berkata, Ayra langsung berjalan masuk ke bilik Eddy. Eddy ikut dari belakang dengan seribu satu persoalan yang tak berani dilontarkan. Melihat kepada wajah Ayra yang beku, Eddy tahu ada sesuatu yang telah berlaku. Tak mengapa, Eddy takkan memaksa. Dia akan tunggu Ayra cerita sendiri kepadanya.
Penghawa dingin dihidupkan. Dia mahu Ayra tidur dengan selesa. Beg galas Ayra diletakkan di atas meja sisi katil. Tubuh Ayra diselimutkan. Baru sahaja dia hendak pergi, tangannya ditarik.
"Teman I..."
Ayra menatap wajahnya dengan mata yang berkaca. Eddy jatuh belas sebaik sahaja menatap pandangan itu. Dia berbaring di sebelah Ayra, menarik kepala gadis itu ke atas dadanya. Dahi Ayra dicium sekilas.
"I'm here, baby sayang..."
Dahi Ayra dikucup lagi, dan lagi.
Esakan Ayra mula kedengaran. Pelukan Eddy semakin erat. Tiba tiba hatinya berasa sayu dan sebak. Tak terasa, dia juga ikut sama menangis.