February - Primrose

576 78 25
                                    

Note: January has been published into hardcopy book (in kompilasi cerpen by manés wordworks)


Primrose

-A wild plant with pale yellow flower. Primroses are showy, semi-evergreen garden plants that produce delicate flowers in a range of colors.








GERIMIS yang membasahi bumi aku tenung lama. Titisan-titisan air yang turun menghempas tanah ternampak begitu indah di kaca mata. Apatah lagi apabila disinari cahaya-cahaya lampu jalan juga kalimantang berwarna warni yang disangkutkan pada pepohon, semakin mencantikkan ruangan yang menyapa retina.

            Tangan aku hulur sedikit ke luar, menyambut tetamu yang dihadirkan awan. Hujung lengan baju tidurku sedikit basah akibat tempias, namun aku tidak ambil peduli. Aku hanya mahu merasai sejuk dingin yang dibawa bayu angin, bersama tangisan si awan.

            "Ah.... Ah..." Sayup-sayup terdengar suara seseorang menyeru. Laju aku tarik tangan yang dibanjiri air lalu memusingkan tubuh. Kaki melangkah sepantas mungkin untuk masuk ke dalam rumah kembali. Pintu sliding yang menghubungkan balkoni dan bilik aku tutup lalu aku berlari-lari anak keluar dari bilik. Tombol pintu bilik yang berdepan dengan bilikku aku pulas sebelum nafas terasa disentak tajam melihat pemandangan yang terhidang. Mata membulat besar. Kaki aku kaku di lantai buat sesaat.

            "Ah..." Sayu saja bunyi suara itu menyedarkan aku. Pantas aku berlari mendapatkan satu tubuh yang sudah tertiarap di atas lantai.

            "Abang!" Bahu abang aku paut. Tenaga dikerah sedaya upaya untuk memusingkan tubuh abang yang sedikit besar daripada aku. Bibir bawah aku gigit kuat.

            "Macam mana abang boleh jatuh?" Sambil menolak tubuh abang, sambil aku bertanya. Sebelum aku tinggalkan abang tadi, dia elok saja berbaring di atas katil. Sudah mula hendak hanyut ke alam mimpi.

            "Aa... us..."

            Aku tahan keluh yang hendak terlepas. Tidak mahu abang terasa hati jika mendengar nafas panjang yang hendak kuhembus. Bimbang abang fikir yang dia menjadi beban aku. Ah, setakat menjaga abang, apa lah sangat. Sudah bermacam hal yang abang lakukan untuk aku. Ini masanya untuk aku membalas jasa abang yang tak terhitung. Apa saja, aku sanggup lakukan untuk abang.

            Apa saja.

            Botol mineral di atas meja kecil di tepi katil aku ambil lalu tuang ke dalam cawan. Kemudian, cawan itu aku bawa mendekat ke mulut abang yang menampan kepalanya di lenganku. Straw yang sudah sedia ada aku tolak sedikit ke bibir yang pucat dan merekah itu. Laju abang sedut, lagak haus benar. Terus aku dihimpit rasa bersalah.

            "Ah minta maaf."

            Aku nampak bibir senget abang yang cuba mengukir senyum. Matanya terkelip beberapa kali, seolah meminta aku untuk bertenang. Tidak perlu tenggelam dengan rasa bersalah yang hadir.

Tubuh abang dengan katil aku pandang silih berganti. Berfikir cara untuk mengangkat dan meletakkan abang ke tempat baringnya semula. Nampaknya, sel mitokondria di dalam tubuh terpaksa aku guna semaksimum mungkin untuk menghasilkan tenaga. Tak mungkin mahu membiar abang berbaring di atas lantai yang sejuk ini.

            "Ah nak angkat abang. Nanti abang lembutkan badan sikit. Ah tak la-"

            "Kenapa ni?" Satu suara garau yang menyampuk dari belakang membuatkan pergerakanku terus kaku. Liur yang ditelan terasa kesat menuruni rengkung. Keyakinan tiba-tiba menghilang untuk aku kalih ke belakang. Hanya membiarkan si penegur membuka langkah menghampiri.

Flower Of The MonthWhere stories live. Discover now