9 : What You See, I See

43 12 8
                                    

BATANG tubuh pemuda kacak itu dihantar dengan lirikan mata. Selesai urusan mereka, dia terus menghantar Zaquan ke tempat yang lebih selamat. Bukan di motel tempat lelaki itu menginap, tetapi di rumah yang sudah disewa khas untuk pelajar itu.

     "Kita nak buat apa lepas ni, Cik Catherine?" tanya Louis setelah lama berdiri di sebelah Bella. Tangannya masih setia memegang sebuah payung untuk melindungi majikannya itu dari terkena hujan. Dibiarkan sahaja dirinya dibasahi hujan.

     "Panggil mereka." Setelah itu, Bella memboloskan diri ke dalam perut kereta. Louis mengangguk faham lantas menutup payung tersebut sebelum membolos masuk ke dalam kereta.

     Sepanjang perjalanan menuju ke kediamannya, fikiran Bella melayang jauh memikirkan perbualannya bersama Zaquan sebentar tadi. Tidak disangka, pelajar cemerlang itu yang menjadi saksi kepada apa yang dikejarnya selama ini.

     "Maya, dah hantar surat tu?" Maya yang berada di sebelah pemandu yakni Brian sekadar mengangguk. Bella tersenyum lega. Sememangnya, Maya boleh diharap. Kerja-kerjanya semua dilaksanakan dengan cepat dan penuh teliti.

     Begitu juga dengan Louis. Lelaki itu nampak sahaja seperti seorang butler yang naif dan bodoh. Tidak sehingga Louis menunjukkan kepakarannya dalam memanipulasikan minda.

     Tidak kurang juga Brian, si gergasi yang nampak pendiam tapi menggerunkan. Kelebihan hormon dalam badannya menjadikan Benjamin orang hadapan sebelum Bella dan yang lain. Tiada apa yang dapat menakutkan Brian kecuali seekor tikus.

     "Tapi Cik Catherine, untuk apa cik hantar surat tu?" Maya bertanya ingin tahu. Sebelum surat itu dihantar, dia sempat membaca isi di dalamnya. Apa yang tertulis di dalamnya agak mengelirukan Maya.

     "Saya sengaja nak kenalkan kamu semua dengan seseorang. Seseorang yang dah lama bantu kita tanpa sedar," ujarnya dengan makna yang tersirat. Maya dan Brian saling berpandangan sebelum kedua-dua mereka sekadar mengangguk faham.

     Tiada siapa yang boleh membaca perancangan yang sedang diatur di kepala otak gadis itu, termasuklah mereka yang boleh dikatakan orang paling terdekat sekali.

     Bella kembali membuang pandang ke luar cermin kereta. Mindanya kembali menerawang memikirkan Zaquan. Dia kasihankan nasib pelajar cemerlang itu. Dalam usianya yang masih muda, dia telah menjadi saksi kepada satu kegiatan yang langsung tidak boleh dipertontonkan kepada orang-orang muda.

     "Cik ni siapa?"

     Zaquan bertanya lagi. Lampu dalam kereta yang dihidupkan telah menjelaskan imej gadis bangsawan di sebelahnya. Namun, dia masih tidak dapat mengecamnya.

     "Dengar-dengar, universiti kamu menjadi tumpuan 'jual-beli'. Boleh berterus terang dengan saya? Di mana kamu jumpa benda tu dan siapa yang pegang benda tu?"

     Zaquan seperti baru tersedar dari mimpi yang lama. Dia faham maksud gadis itu. Dia teragak-agak untuk mengeluarkan suara menceritakan segala yang dia nampak. Dia takut. Jika dia menceritakan perkara itu, dia akan dicari.

     Lagipun, siapa gadis ini? Siapa mereka untuk tahu perkara itu? Polis? Rasanya, mereka bukan pegawai polis.

     "Disebabkan sikap kamu yang berdegil untuk tidak membuka mulut inilah, ada nyawa yang melayang."

CATHERINE'SWhere stories live. Discover now