20 : Suspicious Adore

17 1 0
                                    

SEBULAN berlalu, kes pembunuhan Tuan Albert semakin dilupakan. Berita mengenai saudara kembar yang membunuh diri dipercayai adalah dalang pembunuhan Tuan Albert. Dikatakan, mereka menyesal dengan perbuatan mereka dan menebus salah dengan membunuh diri. Disebabkan kedua-dua suspek pembunuhan telah membunuh diri, kes Tuan Albert ditutup begitu sahaja. Tiada siasatan lanjut dijalankan, tiada pula yang mahu menyetujui bedah siasat ke atas tubuh mayat.

     Namun, cuma seorang sahaja yang masih belum meneruskan kehidupan tanpa memikir walau sesaat mengenai kes Tuan Albert. Selama sebulan kes ini disenyapkan, Charlotte asyik terfikirkan kata-kata saudara kembar mengenai si dia yang mengagung-agungkan namanya di hadapan mereka. Charlotte mula terfikir semula. Apa jadi jikalau dia memilih untuk menembak Jason? Adakah identiti si dia akan dibongkarkan seperti yang dijanjikan oleh Jason?

     "Penjamin aku tertarik dengan kau. Nama kau tak henti-henti keluar daripada mulutnya. Dia kata kau pandai, kaulah orang yang selayaknya untuk selesaikan kes ni."

     Pandangan gadis itu kian tertumpu pada sepucuk pistol miliknya yang disimpan di atas sebuah meja. Punggung diangkat lalu dengan langkah perlahan, Charlotte mengorak langkah menghampiri meja itu.

     "Cik Charlotte, penjamin aku percaya yang kau boleh selesaikan apa sahaja yang dia lakukan. Dia cuma mahukan kau."

     Apa jadi kalau aku tembak Jason hari tu? Apa jadi selepas sahaja aku menembaknya?

     "Ketika kami buntuh memikirkan rancangannya, dia datang melebarkan sayap bersedia untuk kami."

     Dia... Adakah dia akan datang kalau aku bagitahu yang aku juga buntuh mencari tahu tentangnya? Adakah semudah itu dia akan datang?

     Charlotte kini berdiri di tepi meja. Merenung dengan dalam sepucuk pistol dengan perasaan yang bercampur-baur. Dia ditarik oleh rasa ingin tahunya. Dia didorong oleh kekeliruan sehingga dia tidak sedar pistol itu sudah berada dalam genggaman.

     "Dia tak henti-henti sebut nama kau, Charlotte! Dia mahukan kau selesaikan kes yang dia sendiri buat! Dia tergilakan cara kau selesaikan kes!"

     Gadis itu tersenyum sendiri. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia menyesal atas perbuatannya di mana dia memilih untuk tidak menembak Jason. Atau, dia gembira kerana pilihannya untuk mencari tahu si dia dengan caranya sendiri adalah pilihan tepat.

     "Kau akan tahu selepas kau bunuh aku. Ambil pistol tu dan tembak aku. Selepas sahaja kau tembak aku, orang yang di sana akan turun dan bagitahu kau mengenai si dia."

     Pistol dihala ke dinding. Kekeliruan dan kebuntuan yang menyelubungi diri telah membuatkan Charlotte berimaginasi. Jason, kelihatan masih segar seperti kali pertama mereka bertemu, berdiri mendepakan tangan di hadapannya. Lelaki itu tersenyum. Memprovokasinya untuk melepaskan tembakan.

     "Bagitahu aku... Siapa dia!" teriak Charlotte pada bayangan Jason.

     "Kau akan tahu selepas kau bunuh aku. Ambil pistol tu dan tembak aku. Selepas sahaja kau tembak aku, orang yang di sana akan turun dan bagitahu kau mengenai si dia."

     Ayat itu diulangi semula menyebabkan perasaan Charlotte semakin tidak menentu.

     "Jangan bagi aku pilihan!"

     BANG!

     "Tembak aku!"

     BANG!

     "Nikmati perjalanan awak!"

     BANG!

     Bunyi tiga das tembakan mengejutkan mereka semua. Burung-burung yang hinggap di atas bumbung balai polis berterbangan akibat terkejut dengan bunyi tembakan. Segera, mereka berlari mendapatkan Charlotte di pejabatnya. Begitu juga dengan Danish yang kebetulan baru hendak ke pejabat gadis itu.

CATHERINE'SWhere stories live. Discover now