11 : Dance to Death

51 13 22
                                    

KERIUHAN yang senantiasa mengisi kesunyian di restoran itu sedikit pun tidak menganggu si gadis di ruangan atas restoran. Dia masih duduk berpeluk lutut di tepi jendela sambil melayan perasaan. Sudah berjam-jam lamanya dia berada dalam situasi ini.

     Tidak makan dan tidak mahu bergaul dengan rakan sekerja mahupun majikannya, Kak Jane. Sedangkan kekasihnya, Zaquan ingin datang berjumpa pun dia tidak mahu. Bila Kak Jane tanya, kenapa dia tidak mahu turun berjumpa kekasih hatinya itu. Pandai pula Laura menjawab, kononnya ada salah faham sedikit.

     Jika ia salah faham, mengapa sampai menangis tidak ingat dunia? Kenapa sampai tidak lalu makan dan minum? Puas dipujuk, diberi makanan kegemaran, tapi Laura tetap berkeras. Termenung entah apa, menangis atas masalah apa. Semua itu, sudah ditanya tapi dijawab dengan gelengan kepala sahaja.

     Laura mengeluh untuk yang kesekian kalinya. Air mata dilap menggunakan lengan bajunya sendiri. Ini baru sehari dia tinggalkan universiti dan cinta hatinya. Belum lagi bertahun-tahun. Barangkali, masa itu Zaquan sudah mempunyai anak dan hidup bahagia bersama pilihan keluarganya, Rhea.

     Beberapa meter di bawah sana, hanya Kak Jane sahaja yang kurang sibuk berbanding para pekerjanya. Masing-masing sedang melayan pelanggan yang datang hanya untuk berfoya-foya. Mahu buat macam mana lagi? Restoran ini turut memberikan khidmat layanan 'sentuhan' kepada sesiapa sahaja yang mahu.

     Kecuali Laura. Kak Jane amat bertegas melarang Laura melayan pelanggan lebih dari layanan seorang pelayan restoran. Cukup hanya Laura mengambil pesanan dan menghantarnya sahaja. Bagi Kak Jane, Laura masih mentah dan harus dilindungi. Pedulikan pekerjanya yang lain yang sudah menyerahkan segalanya kerana sejak awal lagi mereka itu sudah rosak.

     Seseorang menghumban sepucuk sampul surat yang agak tebal tepat di hadapan mata Kak Jane. Wanita itu mendongak memandang gerangan yang kurang sopan itu dengan pandangan tidak puas hati. Dia kembali menunduk memandang sampul surat tadi dengan senyuman sinis.

     "Aku cuti. Tiada layanan untuk..."

     "Bukan kau. Tapi gadis yang bernama Laura itu." Pintas lelaki tadi dengan suara angkuhnya.

     "Jika wanita lain yang kau mahukan, aku boleh bagi. Tapi, tidak Laura. Dia masih dara." Jawab Kak Jane, agak tidak kedengaran ramah di pendengaran lelaki itu.

     "Kau kenal aku atau tidak? Kalau bukan disebabkan aku, Lauren tidak diterima masuk ke asrama Universiti Edith. Aku datang ke sini cara baik, mahu memujuk Laura supaya menyambung pengajiannya semula. Bukankah itu yang kau mahukan?"

     Kak Jane pantas mendongak. Matanya dikecilkan ketika dia sedang mengecam wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, dia mula tersedar. Lelaki itu merupakan penyelia asrama, Donny Miller. Lelaki yang pernah dia berurusan bersama semasa proses pendaftaran Laura ke asrama.

     "Ak... Aku bukan apa, Encik Miller. Aku kurang jelas tadi. Maaflah jika aku berkelakuan kurang sopan sedikit." Sampul surat yang dipercayai berisi sejumlah wang yang banyak itu dicapai lalu isinya dikeluarkan.

     Donny tersenyum senget. Memang dasar orang kelas bawahan! Bagi duit sahaja, terus berubah sikap.

     "Laura ada di biliknya. Dia susah sedikit mahu dipujuk. Harapnya, Encik Miller berjayalah pujuk dia."

     Donny sekadar mengangguk dan terus mendaki tangga naik ke tingkat atas. Aras yang menempatkan bilik-bilik para pekerja dan juga bilik-bilik tempat mereka memberikan segala yang mereka ada untuk kepuasan pelanggan.

CATHERINE'SWhere stories live. Discover now