19 : Sweet Innocence

12 0 0
                                    

BUNYI tapak kasut bergema di setiap ruang lorong gelap di antara dua buah bangunan. Lorong itu gelap dan sempit. Tiada apa-apa di lorong itu kecuali tong-tong sampah yang telah menjadi rumah kepada tikus dan beberapa ekor lagi haiwan kotor. Kawasan itu juga berbau longkang disebabkan lorong itu berada berhampiran dengan longkang yang tersumbat.

     Langkah yang diambil oleh Jason tersangatlah berhati-hati. Dia tidak mahu terpijak lopak air yang sudah tentunya dipenuhi najis-najis tikus. Tiba di sebuah lorong kecil yang merupakan jalan mati, Jason bersandar pada dinding. Terlebih dahulu, dia menoleh kiri dan kanan. Memastikan cuma dia seorang sahaja di situ bersama seorang lagi di sebalik dinding sana.

     "Kau yakin detektif tu akan cari aku?" tanya Jason terus kepada teka-teki yang bermain di mindanya sendiri.
     "Kau tak percayakan penjamin kau?" soalan dibalas dengan soalan.

     "Bukan begitu maksud aku. Bukti yang aku tinggalkan belum dijumpai oleh mana-mana pihak berkuasa. Aku takut kalau bukti itu dijumpai oleh pensyarah matematik dan bukannya detektif itu."

     Segala kebimbangannya mengenai bukti yang sengaja dia tinggalkan di kediaman Tuan Albert disuarakan. Dia sendiri mengakui kebijaksanaan dan ketelitian Charlotte dalam menyelesaikan kes serta membuat kesimpulan. Begitu juga dengan Badri, pensyarah matematik yang sudah banyak membongkar rahsia gelap Universiti Tinggi Edith.

     "Itu kau tak payah risau. Ingat sahaja rancangannya," ujar Ameer yang berada di sebalik dinding. Dia faham perasaan Jason yang berkecamuk. Lebih-lebih lagi saat mengetahui 'umpan' kepada jenayah kali ini adalah Badri.

     "Aku serahkan nyawa aku."

     Pemergian Jason dihantar dengan lirikan mata sehingga bayang lelaki tinggi sasa itu tidak lagi kelihatan. Kemudian, Ameer bergerak pergi daripada situ. Urusannya bersama Jason sudah selesai.








SETELAH mayat Tuan Albert selamat berada di dalam ambulan, kediaman bangsawan Yohan itu terus ditutup bagi menghalang sesiapa untuk masuk. Hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang dibenarkan masuk untuk menjalankan siasatan dan mencari tahu dalang pembunuhan Tuan Albert. Begitu juga dengan pembantu serta pelayan rumah yang tidak sama sekali dibenarkan untuk keluar daripada kawasan kediaman. Mereka masih berada dalam senarai suspek.

     "Kau tengok apa?" tegur Charlotte saat menyedari Badri yang kian fokus dengan jalan di hadapan rumah Tuan Albert.

     "Sejak petang kelmarin hujan turun renyai-renyai membuatkan jalan sedikit berlumpur." Bagitahu Badri seraya bangkit semula daripada bercangkung.

     "Saya tak jumpa kesan kenderaan berhenti di kawasan rumah ni. Kecuali, kesan tayar yang bersaiz agak kecil berbanding kesan tayar lain."

     Badri menoleh ke satu arah seolah-olah memberi isyarat kepada Charlotte dan juga Danish untuk memandang kesan tayar yang dia maksudkan. Danish bercangkung tepat di hadapan kesan tayar kecil itu. Dia mula mengamatinya. Jika dilihat dengan teliti, cuma kesan tayar ini sahaja yang berhenti tepat di kawasan kediaman Tuan Albert. Terdapat kesan break pada hujung kesan tayar.

     "Detektif Andrew, macam mana dengan surat-surat ni?" pertanyaan daripada seorang pegawai kepada Andrew yang berada tidak jauh daripada mereka memasuki halwa telinga masing-masing.

     "Buang sahaja." Jawapan Andrew memaksa mereka bertiga menolehkan pandangan.

     "Sekejap!" Charlotte segera menghalang apabila si pegawai hendak berura-ura memasukkan beberapa pucuk surat ke dalam sebuah plastik hitam.

     "Kita tak tahu kalau surat ni merupakan bukti baru," ujar Charlotte seakan-akan faham dengan pandangan hairan Andrew dan pegawai tadi.

     Charlotte dengan dibantu oleh pegawai tadi mula memeriksa setiap surat. Alamat dan nama si pengirim dibaca satu persatu. Rata-rata datang daripada pejabat pos Bandar Edith.

CATHERINE'SWhere stories live. Discover now