Part 3
Sudah 4 hari Adawiyah dengan rajuknya. Aku pula berdiam, sikapku juga dingin. Entah mengapa aku juga terasa bosan dengan tingkahnya. Seringkali ucapan ramahku dipersia. Tidak dihargai langsung usaha aku, dalam memohon kemaafan. Sudah berbagai cara aku lakukan. Dia kekal begitu. Dan aku, keletihan. Tempat kerja semakin menimbun dengan kerja yang tidak pernah habis. Aku lebih sibuk melayan klien, tidak putus klien datang memandangkan projek kali ini lebih besar dan membawa keuntungan kepada syarikat. Mr Chen, CEO Chen Trading Sdn Bdn juga tak menang tangan. Oleh itu, dibuka peluang pekerjaan untuk staf terbaru, supaya kelancaran projek kali ini lebih mudah.
Ah, semuanya benar-benar melelahkan. Aku terkadang tiada daya hendak berkata-kata, inikan pula hendak memujuk orang yang tidak sudi. Ekor mataku merenung jauh Adawiyah yang sedang duduk di meja makan. Ralit dia menjamah kuih apam tanpa mempelawa aku. Selalunya ada saja mulut comel itu mengajak aku berbual tidak kira topik apa pun. Sejujurnya aku rindu celotehnya. Tapi, apakan daya? Semua ini berlaku dan aku masih tidak berjaya memujuk dia. Nek Siti di dalam bilik, mungkin solat. Sepanjang operasi Adawiyah merajuk, bebelan Nek Siti begitu menyakitkan halwa telinga. Ada saja benda aku buat ditegurnya. Aku banyakkan bersabar walaupun banyak kali aku terasa hendak melawan. Namun, mengenangkan Nek Siti sangat berjasa padaku, terkubur saja hasrat itu.
Memang semua bebelan itu perlu aku hadam sebaiknya. Nek Siti lebih makan garam daripada aku. Banyak ilmu rumah tangga dia tahu. Perit macam mana pun, aku perlu juga mengambil nasihatnya dan pahatkan dalam hati dan ingatanku.
Bibirku terasa ringan hendak menegur si dia. Aku bangkit dan ingin mendekati dia. Tangannya yang mulus itu aku capai lalu kukucup hangat. Rindu...
"Abang rindu sayang... Rindu sangat..." Aku runtuhkan egoku sendiri demi meraih kemaafannya. Sudah cukup aku bersikap dingin. Jika dua-dua dingin, bekulah kami sampai bila-bila. Oleh itu, aku perlu beralah dalam hal ini. Adawiyah tidak berkata apa, namun bibirnya terhenti memakan kuih apam. Tangannya dibiarkan tidak ditepis seperti selalunya. Tatapannya tidak beralih kepadaku, tunak saja memandang kuih di pinggan.
Aku mula berani hendak bertindak lebih. Kepalaku menunduk ke bawah, pipi sang isteri menjadi sasaran bibirku. Cup!
Secara drastik, tubuhku ditolak menjauh. Adawiyah mengesat-ngesat pipinya dengan kasar, seperti jijjk dengan ciuman itu. Dia bangun dan berlalu begitu saja tanpa mengulas apa-apa. Aku tergamam di situ. Sakit... Hatiku sakit dilayan begini. Apa lagi mahunya dia? Tak bolehkah memaafkan aku, besar sangatkah kesalahan aku?
Perlahan kaki menapak semula ke sofa. Aku membaringkan badan di situ. Jika Adawiyah bencikan aku sangat, lebih baik aku tidur di sini. Sabarlah, Adha. Ini dugaan menghadapi kerenah isteri. Tidak menghairankan semua ini, ombak berliku tetap akan dijalani dengan sabar. Sabar kan separuh dari iman?
"Adha... Kenapa curik tempat nenek? Nek nak layan sinetron. Kamu baring sini, kenapa?" Teguran Nek Siti membantutkan mataku yang mahu terkatup. Kerana kepenatan, bila-bila masa saja mata ini akan terlena. Aku bangkit dan duduk ke hujung sedikit, memberi ruang untuk Nek Siti duduk.
"Boleh tak Adha tidur sini malam ni?" Saja suaraku bertanya dengan nada suram. Iyalah, rumah ini tidak ada bilik kosong. Yang ada stor. Ada banyak barang dalam tu. Takkanlah aku nak tidur situ, karang ada lipas. Mesti muka aku bengkak esok, gara-gara dikencing lipas. Naya! Klien lari nanti.
"Tidur lah dengan bini kamu. Haish, masalah betul kamu ni, Adha!" Tangan tua Nek Siti menampar bahuku. Sikit jelah sakitnya. Aku tayang senyum tipis, berharap Nek Siti memberi keizinan.
"Nek, Adha tidur malam ni je." Masih berharap. Wajahku juga terhias riak minta kesian. Nek Siti tidak endah, dia melabuhkan punggung sambil mengaut remote tv. Siaran sinetron terpampang menunjukkan aksi pemain drama berbicara antara satu sama lain. Indah-indah belaka perangai mereka. Tak seindah perangai manusia realiti. Jika heroin, bukan main lagi elok perangai. Suci murni begitu. Tiada cacat cela.
"Tidur dengan bini. Pujuk dia. Isteri mengandung lain moodnya, Adha." Suara Nek Siti mengejutkan aku yang terleka merenung siaran televisyen itu. Aku pegun sebentar. Hanya keluhan sebagai tindak balas. Masalahnya aku pun tiada mood nak memujuk, lain jadinya nanti. Bimbang aku akan melukai lagi sekeping hati Adawiyah. Kalau bertambah merajuk, pasti lebih sukar. Aku tak larat nak menghadap perangai dia, yang juga telah membuatkan aku makan hati berulam jantung. Aku manusia biasa tau? Bukan malaikat. Perasaan marah juga akan merasuk aku jika kesabaran kian menipis.
Aku menarik nafas dan menghembusnya deras. Tangan tua Nek Siti aku kucup sebelum melangkah longlai ke muka pintu bilik. Tanpa ketukan aku masuk juga ke dalam bilik. Mata melatari sekeliling. Kelibat sang isteri tidak muncul. Ke mana dia pergi?
Aku duduk di birai katil, melepaskan lelah. Mulalah mata hendak kuyu semula. Pandangan aku halakan di depan pintu toilet, tertutup rapat. Kemungkinan Adawiyah berada di dalam. Aku pun malas nak berfikir, kepala melentok ke bawah. Tilam empuk itu membuai-buai anganku agar menyelami alam mimpi. Baru nak terkatup, ada deraian bunyi kaca. Aku tersentak dan bangkit macam direnjat elektrik.
Baru kaki hendak diangkat untuk menuju ke toilet. Aku terpaku melihat tubuh sang isteri keluar dari toilet. Bibir Adawiyah terketar-ketar, dan wajahnya sangat muram. Rambutnya kusut masai. Aku hilang bicara melihat ada titisan darah mengalir dari celah lengannya, menjejeh jatuh ke lantai mozek.
"S... sayang? K... kenapa ni?" Aku menyoal dengan perasaan membuak-buak kegusaran. Tidak sempat aku meneruskan pertanyaan, Adawiyah mendekati katil dan membawa selimut dan bantalnya. Aku dianggap halimunan. Bicaraku ini juga tidak terdengar di pelupuk telinganya. Aku cuba kuatkan tenagaku, sejujurnya aku ketakutan bercampur bimbang melihat dia dalam keadaan tidak terurus. Dan, fikiranku berkecamuk ingin mengetahui punca mengapa lengannya boleh berdarah? Tidak mungkin Adawiyah sanggup mencederakan diri sendiri. Tidak mungkin! Dia tidak pernah berperangai begini.
"S... sayang?" Seruku dengan nafas tertahan.
"Jangan panggil saya sayang!" Suara itu naik seoktaf. Aku terkedu tidak terjangkau akal bahawa Adawiyah akan menjerkah aku dalam situasi begini. Perlahan kaki menapak, tidak akan aku biarkan dia terus-terusan dinoda marah. Tangan cuba merampas bantal itu. Terlerai jua. Namun, sebiji penampar hinggap ke mukaku dengan tidak semena-mena. Perit. Sangat perit. Hatiku juga sangat pedih kerana menerima tamparan daripada isteriku sendiri yang telah aku tatang bagai minyak yang penuh. Setega itu dia mengasari aku sedangkan aku tidak pernah mencubit dia walaupun sekali.
"Teruskan dengan hidup awak! Jangan ganggu saya lagi!"
Sekali lagi aku terpempan. Kesabaranku hilang sekelip mata. Kerana imanku senipis kulit bawang, aku menjauh dan menggapai kunci kereta beserta handphone. Panas yang membara dalam dada tidak akan berhenti jika aku terus-terusan menghadap dia. Aku perlu tenangkan jiwa aku, agar tidak berperangai teruk sekaligus mengasari dia. Emosi dan nafsu amarah yang bergelaja ini perlu aku padamkan. Oleh itu, aku memilih pergi jauh dari dia!
...
Writer's comment : I miss my reader so much... 🥺❤️
YOU ARE READING
𝐀𝐃𝐇𝐀 𝐊𝐇𝐔𝐒𝐘𝐀𝐈𝐑𝐈 | 𝐂
RomanceCOMPLETE ✓ Nur Adawiyah & Adha Khusyairi Sedutan kisah ~ "Sayang. Abang... minta maaf ya. Abang silent handphone. Tak dengar sayang call." Tangan kekarku berlabuh atas bahunya, mengusap lembut hendak memujuk duka isteriku. Namun, pantas saja ditepi...