Part 1 (Prolog)

2.2K 77 9
                                    

Tatapanku pada frame termati lama. Kekesalan membuak-buak menikam serangkai hatiku. Tersangat menyakitkan dan menebarkan kebencian yang teramat dalam. Rasa benci ini menghunus tepat pada sasaran tentang perasaan yang sering diketepikan kerana aku tenggelam dalam keegoanku yang tidak bertepi. Sebagai seorang suami, aku gagal. Kegagalan ini telah meranapkan kebahagiaan yang selama ini aku biarkan tidak bersambut.

Suami apakah aku seperti ini? Membiarkan anakku mati begitu sahaja, dan tidak berada di sisi isteriku di saat dia mengalami situasi yang begitu sukar. Aku sepatutnya tidak layak hidup di dunia ini. Aku selayaknya menjadi pengganti anak tidak berdosa itu. Seharusnya aku tidak wujud di dunia ini. Ya Allah... Mengapa aku masih hidup dan menyakiti insan yang paling aku cintai itu? Mengapa aku hadir dalam hidupnya? Mengapa?

Tangan menggigil mengusap frame yang tertera gambar isteriku, Adawiyah. Isteri yang paling baik akhlaknya, tak pernah melawan kata meskipun sering terusik dengan perangaiku yang berubah sejak akhir-akhir ini kerana menempuh puncak kejayaan meraih jawatan yang aku impikan selama ini. Keadaan isteriku sering diabaikan. Perhatianku padanya juga berkurangan. Tidak bermesra seperti selalu. Aku memilih duniawi, kerja dan kerja terlebih aku utamakan tanpa mengambil tahu emosi isteriku yang sedang bergelut dengan perasan kecewanya.

Air mata berlinangan hangat di pipiku. Lencun menuruni fabrik baju kemejaku. Cecair ini tidak mampu tertahan. Penyesalan ini sangat menyakitkan pabila memikirkan kenangan lama yang merobek jiwaku dengan kejam. Kerana khilafku, aku kehilangan cahaya mata yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama mengharapkan kewujudannya. Aku memang suami tidak berguna dan tidak layak mempunyai seorang cahaya mata. Kerana itu, Allah menarik kembali nikmat memiliki anugerah terindah itu.

Terlayang gambaran peristiwa lama. Aku dan dia. Wajah kebahagiaan Adawiyah menjelma bagaikan ingin membunuh seluruh raga ini. Senyuman dia menghiris-hiris dinding luka, yang bergentayangan bersama penyesalan yang tidak terperi sakitnya. Aku mengusap wajah, menekup esakan kian bergema nyaring.

"Abang... saya ada surprise buat abang... Nak tahu tak?" Bibir Adawiyah mengungkap bisikan manja. Pipiku diapit lembut oleh sepasang tangan kecilnya. Riak polos Adawiyah merupakan kebahagiaan aku, mengurangkan tekananku di tempat kerja. Dia selalu memberi aku sinar harapan di saat aku hampir kecundang. Kehadiran dia memberi cahaya, menyuluh perjalananku yang serba kelam tanpa siapa yang sudi menemani. Dia... Insan yang hadir membawa keindahan yang tidak aku sangka akan berlaku pada hidup aku yang berjalan penuh duri-duri luka.

Aku, seorang anak yatim piatu sejak kecil. Tidak pernah memandangi seraut wajah mereka. Yang aku dapat tatapi hanyalah gambar lusuh, yang terkoyak sana sini. Gambarnya tidak sempurna. Kisahku lebih menyedihkan kerana yang menjagaku adalah nenek angkatku. Dia menjadikan aku cucunya semasa umurku jejak 12 tahun. Nenek angkatku tidak punya sebarang saudara mara mahupun keluarga lainnya. Kehidupannya juga menyedihkan seperti aku. Ahli keluarganya meninggal kerana kemalangan, yang tersisa adalah dia.

Aku dan dia sudah menjadi sebati. Sering bersama, menjadi sebuah keluarga yang bahagia dalam kesederhanaan. Dan, Adawiyah perlahan-lahan datang menyerikan butiran kelopak mawar dalam hidupku. Pertemuan pertama kami sangatlah bermakna, tidak pernah lupus dari ingatanku walaupun sedetik.

"Apa sayang?" Terkerdip mataku menyapu wajahnya yang bercahaya bagai bulan terang. Isteriku yang aku nikahi selama setahun ini sangat kurang berkeluh kesah, sering tersenyum walaupun pada awal perkahwinan kami ditimpa berita kesedihan mengenai kondisinya yang tidak dapat mengandung kerana penyakit sindrom polisistik ovari (PCOS). Doktor memberitahu berita ini dan kami benar-benar kecewa. Seharian tidak bercakap sesama sendiri, Adawiyah juga murung kerana itu. Aku pula bagai dipanah petir, tidak menyangka dugaan hebat ini akan berlaku ketika kami sangat mengimpikan cahaya mata. Namun, lama kelamaan aku cuba redha tentang segalanya. Mungkin ada hikmah tersembunyi. Allah sahaja yang tahu.

Aku tidak mampu menyalahkan takdir. Segalanya ketentuan Tuhan. Sudah cukup Allah meminjamkan Adawiyah untukku. Tidak perlu aku berlaku tamak dan meminta yang lain. Adawiyah sudah cukup di sisi. Isteri paling baik dan mendinginkan keresahanku yang bergelombang kerana masalah kerja yang menimbun di pejabat.

"Ada dua line abang. Saya mengandung." Duniaku serasa terhenti dengan sendirinya. Mataku terbuntang luas, seiring akal fikiranku berhenti sejenak. Aku hilang dalam kekeliruan yang bukan kepalang. Mata rakus menilik wajah Adawiyah. Riaknya terlalu bersinar, matanya terang dengan kebahagiaan. Aku terpesona sebentar. Lupa apa yang diperkatakan, hanya menjadi seorang insan yang mengagumi wajah rupawan sang isteri yang sangat indah luar biasa sekarang. Sangat mempersona.

"Abang? Saya mengandung anak abang. Saya mengandung anak kita... Kita dapat anak, abang!" Pipiku dikucup bertalu-talu. Lekuk di bibir sebelah itu, kelihatan dalam. Allah, indahnya perasaan ini. Sangat tidak nyata dunia ini. Aku salah dengar. Aku mungkin tertimbus dalam mimpi yang tidak pernah akan berlaku. Ini sangat mustahil!

"A... bang... S... saya mengandung!" Bibir merah bak delima itu mengungkap lagi bicara itu. Aku tergamam lama. Pandanganku jatuh pada pipinya yang teralir manik-manik jernih. Diseka dengan belakang tangannya. Aku terikut sebak. Meskipun ini sekadar mimpi, aku terlalu inginkan semuanya jadi kenyataan. Aku ingin menjadi seorang ayah dan melihat anakku. Wajahnya persis siapa? Aku atau Adawiyah. Pasti anak kami sangat beruntung kerana memiliki ayah dan ibu penyayang seperti kami. Meskipun isteriku berlainan daripada wanita lain. Bagiku, dia sangat istimewa dimataku.

"A... abang bermimpi kan, sayang?" Tubir matanya aku usapi dengan sepenuh kasih sayang. Kenaifannya telah lama mengikat hatiku. Sayangnya aku pada dia tidak terkira banyaknya. Dia banyak mengajar aku erti memiliki keluarga bagaimana. Dia menjagaku dengan baik. Makan pakaiku tidak pernah terabai. Isteri solehah.

"A... abang mana ada! Saya tak tipulah!" Bibirnya memuncung itik. Cubitan ketam dihadiahkan pada bahu kiriku. Tak sempat mengelak! Mengancam pedihnya! Aku baru hendak mengaduh sakit namun badanku keras tidak bergerak. Degupanku juga terhenti mengepam. Ya Allah... benarkah ini bukan mimpi?

"S... sayang betul ke ni? A... Abang..."

Jeda. Mata kami saling bertatapan. Adawiyah mengangguk laju. Pipiku diusap-usap lembut, menghadirkan kehangatan yang menyenangkan. Dek kerana kegembiraan, tengkuknya aku tarik perlahan. Dahinya aku kucup lembut, menghadiahkan penuh kasih. Setelah terlerai, kulit pipinya timbul merah jambu. Dia tertunduk segan. Adawiyah memang pemalu orangnya. Dengan lembut, dagunya aku dongak. Renungan aku berlaga dengannya. Rasa bersyukur aku panjatkan pada Ilahi kerana mengurniakan kami cahaya mata walaupun perkara itu mustahil. Allah... Sekelip mata perkara mustahil telah terjadi. Sungguh Allah Maha Hebat! Doa hamba-Nya tidak pernah diabaikan.

"Terima kasih, sayang..." Gemersik suaraku menyalurkan penghargaan. Rambut Adawiyah yang menutup dahi aku kiraikan. Senyuman paling manis aku hadiahkan pada dia. Isteriku membalas senyuman juga dengan lesung pipitnya itu. Aku mencair seperti ais dipanah mentari. Adawiyah tidak pernah gagal mencuri hatiku.

"Sama-sama, abang. Saya pun nak ucap terima kasih kat abang sebab abang..." Dia tak sambung kata-katanya, pipinya merah kembali. Tersipu-sipu dia malu. Aku yang mula faham apa ayat seterusnya segera bangun. Tubuh kecilnya aku cempung. Dia terjerit kegirangan. Aku tertawa kecil, sambil kaki ligat mendaki tangga.

"Abang... S... saya nak turun. Takut!"

Aku tundukkan sedikit kepala ke bawah. Telinganya aku hembuskan nafas hangat.

"Abang takkan lepaskan sayang. You're mine, tonight!"


...

Writer's comment : Okay tak? Dah lama tak menulis. Huhu.

𝐀𝐃𝐇𝐀 𝐊𝐇𝐔𝐒𝐘𝐀𝐈𝐑𝐈 | 𝐂Where stories live. Discover now