DERINGAN telefon bimbit di atas meja, Fatia pandang dengan perasaan berbaur. Sejak menjadi 'pelarian', sejak bertukar nombor telefon baru, dia jarang sangat menerima panggilan daripada nombor yang tak dikenali.
Atau kalau ada panggilan pun, dia memang tak jawab.
"Kenapa tak jawab. Bisinglah!" Tiba-tiba ada suara menegur.
Fatia toleh pada rakan sekerja dan menyengih. Dia lupa nak tular ke mood silent pagi tadi.
Telefon dicapai dan tanpa sedar jemarinya menekan butang hijau. Langkah diatur menjauh dari rakan sekerja sambil telefon dilekat ke telinga.
"Tia!" Suara di hujung sana buat dada Fatia turun naik tanda geram.
"Mana abang dapat nombor Tia?" Fatia balas dengan soalan. Setahunya, nombor baru ini hanya orang-orang tertentu saja yang tahu.
"Itu tak penting. Abang nak jumpa Tia." Tegas nada di hujung sana seperti selalunya.
"Boleh tak kalau abang biarkan Tia hidup tenang?"
"Tiaaaa...." Nada di hujung sana kedengaran mengendur.
"Tia tak rindu abang ke?" Soalan psiko itu Fatia sudah tahu apa tujuannya. Pastinya mahu memancing simpatinya.
Berpuluh tahun mengenali Tengku Badri Tan Sri Tengku Badarudin itu, sudah cukup buat Fatia kenal luar dan dalam lelaki itu.
"Rindu?" Fatia gelak perlahan.
Gelak bukan kerana suka tetapi dia sendiri tidak tahu gelak itu untuk mewakili apa. Yang pasti, dia jelak mendengar perkataan itu.
"Sorry to say, perkataan rindu tu tak pernah wujud untuk abang." Nah! Itulah yang dia ingin cakap sejak lama dulu.
Tetapi, di atas dasar hormat, suaranya disimpan kemas-kemas dan dikunci di dalam peti suara.
Sudah lama dia jadi manusia bodoh, mengikut saja apa kata orang. Tapi sekarang, saat ini, dia tidak ingin lagi jadi pak turut. Dia ingin jadi diri sendiri.
Sebuah keluhan panjang kedengaran di hujung sana menampar telinga Fatia. Seketika, si pemanggil seperti kehilangan suara.
"Tak rindu pun takpe, abang nak jumpa Tia juga." Perlahan suara Tengku Badri di hujung sana. Pastilah sudah kehilangan daya untuk memujuk.
"Tia tak nak jumpa abang!" Tegas nada Fatia.
"Tia, pleaseee...Abang tahu Tia ada di KL. Kawan abang ada nampak Tia."
Terdiam sesaat, Fatia teringat dua lelaki mengekorinya tempoh hari dan dia diselamatkan oleh Hareez. Maknanya tekaannya tepat
"Bang, tolonglah! Hanya untuk kali ni, Tia pohon abang jangan cari Tia lagi. Anggap saja kita tak pernah kenal antara satu sama lain. Itu yang terbaik untuk kita berdua." Sehabis berkata-kata, Fatia terus menamatkan panggilan.
Nafasnya terasa semput. Lelah dan penat. Susah benar untuk lari dari sebuah kehidupan lampau.
Seketika termenung, Fatia cuba menghubungi Jasmin, sahabat sehidup sematinya.
"Tia!!!" Suara Jasmin yang terjerit di hujung sana sebaik talian bersambung membingitkan telinga Fatia.
"Yang kau menjerit macam orang sawan ni kenapa?"
Ada gelak di hujung sana tapi nadanya kedengaran canggung di telinga Fatia. Tak ceria seperti selalunya.
"Kau ada buat salah dengan aku?" Terus Fatia serkap jarang.
Kali ini hatinya meneka, Jasmin yang menjadi dalangnya. Yang membocorkan rahsianya pada Tengku Badri.
"Tia..." Satu keluhan keluar dari bibir Jasmin.
"Sampai bila kau nak lari?" Soalan pula diajukan Jasmin.
"Apa yang dia umpan kau?" Serius nada Fatia. Tiada gurau senda seperti selalunya.
"Aku..." Jasmin jadi tergagap.
"Aku minta maaf beb. Dia tak bagi aku apa-apa pun tapi aku kesian tengok dia. Hari-hari cari aku, merayu tanya tentang kau."
Fatia geleng kepala.
Ah! Jasmin hanya tahu segala isi ceritanya tetapi tidak pernah merasainya. Jasmin tak pernah tahu apa yang dirasainya. Betapa sukarnya menjadi seorang Fatia Alesya
"Bumi yang mana tak ditimpa hujan, Tia." Nada memujuk dari Jasmin.
Betullah, tak ada manusia yang tak pernah buat silap. Tapi dalam kes dia dan Tengku Badri ini, bukan silap yang tidak disengajakan.
Ya! Tengku Badri memilih untuk sengaja melalukan kesilapan itu.
"Aku tak fikir dia dengan Tengku Farah. Sebab aku tak pernah nampak pun. Entahlah! Macam-macam cerita yang aku dengar tapi semua yang tak eloknya dituding pada kau."
Senyum, hanya itu yang mampu Fatia lakukan. Haruslah yang tak elok semuanya akan dilonggokkan di bahunya.
Fatia lari dari rumah.
Fatia ada lelaki lain dan curang dengan tunang sendiri.
Walhal yang curang itu bukan dia tapi lelaki itu. Ya! Curang dengan Tengku Farah di depan matanya sendiri.
![](https://img.wattpad.com/cover/319508004-288-k259563.jpg)
YOU ARE READING
YANG DIA PILIH (New Version)
RomanceKisah kesinambungan Hati Kala Cinta. Kisah Hareez yang cintanya tak kesampaian dengan Lya. Adakah dia akan bertemu cinta yang baru?