Bab 7

519 32 5
                                    

LANGKAH Hareez termati tatkala terpandang seseorang yang dia kenali sedang duduk sendirian di meja tepi laluan keluar dari coffee house tersebut.

Dia terus beri isyarat agar Shahrul pergi dulu. Dia mahu menegur dan berbasa basi.

Langkahnya diatur mendekati meja di mana wanita dalam lingkungan 40 an itu duduk sambil sibuk membelek telefon di tangan.

"Kak Yam, Assalamualaikum...."

Wajah terkejut, perempuan yang dipanggil Kak Yam atau nama sebenarnya Puan Mariam terus bangkit dari duduk sambil menjawab salam.

"Reezzz... Lamanya Kak Yam tak jumpa kamu." Seperti biasa, Puan Mariam sentiasa kecoh dan mesra.

"Mari duduk, lama Kak Yam tak sembang dengan kamu." Ditarik kerusi di sebelahnya dan dia kembali duduk.

Hareez serba salah. Apatah lagi bila melihat ada dua cawan dan dua piring makanan di atas meja. Maknanya Puan Mariam bukan sendirian.

"Kak Yam dengan staf. Dia pergi ladies." Seolah faham maksud pandangan Hareez, Puan Mariam menjelaskan.

"Tak ganggu ke?" Hareez ragu-ragu. Kot la ajak-ajak ayam, takut pula dia mengganggu.

"Alah! Macam tak biasa dengan Kak Yam. Kami saja lepak-lepak, baru habis job tadi."

Sambil mengangguk, Hareez terus menarik kerusi dan duduk.

Walau dia menolak, Kak Yam terus memesan minuman untuknya. Terpaksalah dia reda. Nak membantah kalau dengan Puan Mariam ni, memang susah sikit.

"Hah! Fatia..." Suara Puan Mariam buatkan Hareez memanggung kepala mencari gerangan orang yang dipanggil itu.

Buat seketika mata terus terlupa untuk berkelip.

Kebetulan apakah ini?

"Ingat lagi Encik Hareez? Yang you interviu hari tu." Pandangan Puan Mariam beralih-alih antara stafnya dan juga Hareez.

Seolah menyambut ketibaan tetamu, Hareez bangkit dan tunduk hormat sebagai menyapa.

"Ingat, Encik Hareez apa khabar?" Fatia berbasa basi, buat-buat seperti biasa-biasa walhal hatinya sudah melompat-melompat macam ikan dibuang ke daratan.

Sesak nafas tanpa sebab.

Punggung terus dilabuhkan di kerusi yang dia tinggalkan tadi.

Hareez hanya senyum dan angguk. Tak terkeluar pula suara untuk membalas.

"Sebenarnya, Hareez ni anak jiran I masa di Johor dulu." Cerita sebenar didedahkan Puan Mariam.

Fatia terangguk-angguk. Patutlah Puan Mariam beria-ia. Orang yang dikenali rupanya.

"I nak ke ladies sekejap, kamu berdua sembanglah dulu." Tanpa menunggu kata balas dari Hareez dan Fatia, Puan Mariam capai beg tangannya dan terus berlalu pergi.

Tinggal berdua, walau tidak duduk bertentang, Fatia tahu mata Hareez menghala ke arahnya.

"Encik buat apa kat sini?" Fatia pecah sunyi, cuba menghilangkan rasa gemuruh di hati. Mata Hareez yang bagaikan melekat ke wajahnya buatkan dia tidak selesa.

"Ingat nak jual basikal. You nak beli?" Hareez simpan senyum, buat muka tak bersalah sebab beri jawapan begitu.

Tangan mencapai cawan minuman yang baru tiba di atas meja.

Fatia ketap bibir. Tahu sangat Hareez sedang menyindirnya.

"Kenapa Encik duduk kat meja ni? Banyak lagi meja kosong yang lain, kan?" Nada tak puas hati, soalan diajukan lagi oleh Fatia.

Itu kiranya cara untuk menunjukkan yang dia tak suka Hareez duduk di meja tersebut. Banyak lagi meja lain yang kosong tidak berpenghuni.

Hareez tidak menjawab sebaliknya menoleh kiri kanan, belakang dan depan. Lepas itu, dia angkat letak segala cawan dan piring di atas meja seolah sedang mencari sesuatu.

"Encik cari apa?" Fatia jadi hairan melihatnya.

"Tak ada pun tulis yang I tak boleh duduk sini." Selamba wajah Hareez mengenakan Fatia.

Dalam hatinya tergelak sakan melihat wajah Fatia yang terus bertukar kelat.

Comel dan menarik. Hatinya memuji tanpa sedar.

Fatia ketap bibir. Selalu sangat dia terkena dengan lelaki ini.

Sandwic di pinggan, Fatia kuis-kuis perlahan sambil matanya mengerling tajam ke arah lelaki yang masih bersahaja duduk di sebelahnya.

"Kenapa tak makan?" Hareez pandang Fatia dan makanan yang dikuis-kuis silih berganti.

"Selera dah mati." Spontan jawapan tersebut keluar dari bibir Fatia tanpa sempat otaknya berfikir mencerna ayat yang sesuai.

"Oh! Nak I hidupkan kembali ke?"

Fatia pandang Hareez dan lelaki itu pantas menghulurkan senyuman.

Liur terus tertelan. Senyuman itu bagai ada kuasa elektrik, menghantar renjatan ke hatinya.

Pertama kali!

Ya, pertama kali Fatia mengalami keadaan sebegitu dalam seumur hidupnya. Belum pernah lagi sebelum ini dia mengalami rasa yang sebegini.

Apa benar lelaki ini ada 'saka'?

Tiba-tiba saja badan Fatia berpeluh.

"Nak ke tak nak?" Hareez mengasak.

"Nak apa?" Fatia tiba-tiba jadi blur.

"Nak kahwin dengan I?"

Mata Fatia terus membulat.

"Encik ni memang ada penyakit gatal ke? Atau memang keturunan macam ni?" Geram Fatia membuak keluar.

Geramnya makin melimpah ruah apabila melihat Hareez hanya tergelak perlahan.

"I memang ada penyakit gatal sejak lahir. Tapi...." Hareez hentikan bicaranya di situ. Badannya dicondongkan ke kanan agar kedudukan mereka lebih rapat.

"Penyakit tu hanya datang apabila you ada depan I." Bibir menayang sengih.

Hati Fatia kembang kuncup akibat angin geram yang sudah berubah skala tiupannya. Sudu di tangan diketuk-ketuk ke pinggan. Silap hari bulan, sudu tersebut naik mengetuk kepala lelaki yang sedang tersenyum gaya menggoda ini.

"You teringin nak ketuk kepala I ke?"

Hah? Fatia terkejut.

Bagaimana lelaki ini boleh tahu apa yang sedang dia fikirkan? Ketara sangatkan reaksi di wajahnya?

Fatia pandang Hareez dan lelaki itu angkat kening sebelah gaya bertanya. Belum sempat membuka mulut, Puan Mariam sudah muncul di situ.

Nasib baik!

Kalau tak, dia seperti tak jamin saja lelaki bernama Hareez ini akan selamat dan pulang dalam keadaan sihat. Takut juga kalau-kalau tangannya jadi ringan dan sudu yang berat itu akan menjadi senjata.

Entah kenapa, berdepan dengan lelaki ini, perasaannya jadi bergelombang dengan pelbagai rentak irama sedangkan sejak dulu dia memang terkenal sebagai wanita yang kalis rasa. 

YANG DIA PILIH (New Version)Where stories live. Discover now