PAGI yang damai tapi hatinya tidak sedamai suasana di sekelilingnya.
Termenung di meja kerja, Hareez tarik nafas panjang. Tak tahu kenapa hari ni hatinya jadi serba tak kena. Banyak perkara singgah di mindanya.
Dari duduk, dia berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.
Seketika berdiri di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di dalam ruang pejabat pula.
Saat itulah matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa.
Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik. Bertahun dia cuba membenam semua rasa yang sering mengusik jiwanya saat melihat Lya. Tapi sehingga ke hari ini, dia gagal
Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.
Baru saja nafas yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.
"Masuk." Lemah saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.
Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk menghampiri mejanya.
"Boleh I duduk?"
"Hah!" Hareez bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar permintaan Lya itu.
Rupanya Lya sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya duduk.
"Fail yang you minta semalam." Lya bersuara sambil meletakkan fail yang dibawa ke atas meja.
Hareez berikan isyarat tangan agar Lya duduk.
Mengikut arahan, Lya labuhkan duduk. Namun, beberapa ketika dia di situ, Hareez hanya diam.
Kalau ditanya kata hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan.
Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?
"Anak kita dah okey?" Terbit soalan tersebut di bibir Hareez.
Dia sendiri tak tahu kenapa selalu bila dengan Lya, dia lebih suka menyebut 'anak kita'.
Lya tergelak perlahan. Setiap kali pun, begitulah reaksinya bila Hareez sebut 'anak kita'. Kalau Zhafran dengar, mahunya berasap telinga. Dan kalau orang lain dengar, pasti akan jadi salah faham.
"Anak I, bukan anak kita." Dibetulkan sebutan Hareez.
Memang petang semalam si comel tu demam dan merengek ketika dia menjemput di rumah keluarga mentuanya.
Sejak dia kembali bekerja di Danau Crystal ini, waktu itu Antasya sudah berusia setahun, ditinggalkan si anak di bawah jagaan mentuanya. Itu permintaan Mama J dan Zhafran setuju.
Mungkin kerana itu, si anak menjadi rapat dengan Hareez sebab bertemu setiap hari.
"Tadi Zhaf call kata dah okey." Perkhabaran si anak disampaikan pada yang bertanya.
Hari ni Zhafran bercuti menjaga si anak sebab dia ada kerja penting yang perlu diselesaikan.
"Tak tengok dia pagi ni, rindu pula."
YOU ARE READING
YANG DIA PILIH (New Version)
RomanceKisah kesinambungan Hati Kala Cinta. Kisah Hareez yang cintanya tak kesampaian dengan Lya. Adakah dia akan bertemu cinta yang baru?