Bab 13

380 33 0
                                    

BADAN disandarkan ke belakang. Pandangan didongakkan ke atas dan mata dipejam rapat. Sampai bilakah dia harus hidup begini?

Tersepit dan dihimpit dengan pelbagai perasaan yang dia sendiri tidak tahu untuk dikategorikan sebagai apa. Yang pasti, dia makin rimas dan lemas.

Seketika kemudian, terasa seperti ada seseorang duduk di depannya. Pantas dia membuka mata dan wajah Zhafran yang sukar untuk ditafsirkan riaknya sedang duduk di sofa bertentang dengannya menyapa pandangan.

Lama juga mereka saling berbalas pandang. Hanya mata yang berbicara meluahkan rasa. Kalau adapun yang lain, deruan nafas yang panjang berselang seli mengiring bicara bisu tersebut.

"Lya tu isteri aku, bang. Kau tak boleh terus menyimpan perasaan pada dia." Akhirnya, terluah jua suara dari bibir Zhafran.

Dia mahu berbicara dari hati ke hati dengan Hareez. Dia tidak mahu ada sengketa antara mereka kerana kisah lama.

Lya sudah memilihnya dan mereka sudah bahagia. Doanya, biarlah Hareez menemui jodoh lain dan hidup bahagia seperti dia dan Lya sekarang.

"Aku tak pernah ganggu rumah tangga kau, Zhaf." Perlahan suara Hareez menafikannya.

Memang dia tak pernah ganggu. Soal Hati, kalau tuan sendiri tak boleh nak kawal, tak ada orang lain yang boleh mengawalnya.

"Memang kau tak pernah ganggu. Tapi, cara kau pandang dan renung isteri aku memberitahu semua orang yang hati kau masih ada perasaan pada dia."

Hareez terus terdiam. Apa yang harus dia buat kalau hatinya tak punya telinga untuk mendengar kata?

Dia juga tak ingin begitu. Dia juga ingin melepaskan Lya pergi dari hatinya kerana mencintai hak milik orang adalah sesuatu yang paling menyakitkan di atas muka bumi ini.

Sama seperti ditikam berkali-kali tetapi nyawa tetap juga tidak ingin berpisah dari jasad. Sama seperti luka yang dalam direndam ke dalam air garam. Sakitnya, hanya orang yang merasa saja tahu bagaimana.

"Bang, aku tahu kau punya hak ke atas hati sendiri dan aku tak layak untuk masuk campur soal hati kau." Zhafran tarik nafas panjang.

"Tapi... Kau jangan lupa bang, aku sebagai suami punya kuasa penuh ke atas isteri aku." Wajah Hareez yang diam tanpa kata dipandang tepat.

"Kalau aku rasa tak selamat, aku akan gunakan kuasa seorang suami untuk memaksa Lya berhenti dari Danau Crystal dan waktu itu, semua orang tak boleh salahkan aku lagi." Terus Zhafran bangkit dan berlalu.

Dia tak kuat untuk terus berada di situ. Di tak kuat untuk menahan hati dari meluahkan rasa tak sukanya dengan situasi antara mereka.

Hareez tetap dia di situ. Hanya mata memerhati langkah si adik berlalu.

"Kau tak perlu guna kuasa kau Zhaf. Kau tak perlu paksa Lya kerana aku sendiri yang akan paksa hati aku untuk melepaskan semuanya." Seolah berkata pada diri sendiri, itu nekad Hareez.

Dan dia bisikkan ke hati sendiri agar pergi ke mana saja mencari bahagia. Jangan lagi ditunggu dan diintai insan bernama Lya.

Tidak mahu bersua muka dengan Lya, Hareez naik ke bilik. Rasa malas untuk kembali ke pejabat, dia baringkan tubuh ke tilam.

Nampak telefon bimbit di atas meja, tiba-tiba dia teringatkan seseorang.

Pantas dia kembali bangkit. Berfikir bagaimana untuk menghubungi orang tersebut.

YANG DIA PILIH (New Version)Where stories live. Discover now