Bab 47 Pertarungan 1 v 1

176 22 11
                                    

Sang anak Raja mulai langkah tarinya berpencak lembut. Tampak agak asing gerakannya namun bersemi indah serinya.

Langsung Siantan cuba menelah.
Hanya yang bergerak dan digerak pasti mengerti hakikat gerak. Sah! Gerak tari orang ini seakan handalan lagaknya.

Siantan lantas memulakan jurus Keris Melata ke Puncak. Serangan bertali arus dilepaskan dari bawah cuba menoreh pelipat mangsa, namun ditampan kemas dengan kaki Raja Husin. Dalam mengelak serangan, sempat jua Raja Husin menerjah ke sisi Siantan dan melepaskan satu tumbukan ke arah mukanya. Hampir sahaja mengena rahang Siantan.

Siantan kembali mengatur tapak menyusun langkah. Dia menurut firasat hati.

Ya, rentak harus diubah. Mainan perlu diolah.

Perlahan sahaja Siantan menarik nafas sedalam mungkin dan menahannya beberapa detik. Lalu dihembus kembali sama perlahan seraya menjengkitkan sedikit kaki kanan yang tersedia untuk melonjak. Dengan separuh kekuatan, jurus Lang Menyusur Angin dilancarkan. Siantan melompat tinggi ke udara menerkam, menikam dan menendang si anak raja serentak.

Agak tergamam Raja Husin melihat serangan empat serangkai Siantan hingga hampir tidak mengenal mana hendak ditangkis dahulu. Dua daripada serangan berjaya dielak dan dipatahkan. Kaki yang mensasarkan dadanya gagal dielak. Tubuh Raja Husin terundur ke belakang. Imbangannya hilang lalu dia terjatuh ke tanah.

Siantan berhasrat untuk memastikan lelaki itu tidak dapat berdiri megah lagi dengan serangannya yang terakhir itu. Wajah pemuda itu tepat berada dalam sasarannya. Tiba-tiba, sekilas wajah yang serupa menjelma di dalam busana mewah berlatar belakangkan... Istana!

Mujur sahaja dia sempat mengubah posisi tubuh. Sasaran terlepas, Siantan tergolek di sebelah Raja Husin. Cepat-cepat dia bangun dan berada di kedudukan bersedia. Begitu jua halnya dengan Raja Husin. Dia juga bangun dan bersedia untuk bertempur kembali.

Dalam mengatur pernafasan, Siantan cuba mengingat semula imbasan tadi. Wajah Raja Husin diteliti dan diamati dalam lelah. Setelah itu keyakinan mula bertapak. Siantan mencuri masa dengan berlegar-legar seketika, tidak pasti apa tindakan yang selayaknya bagi rakyat bawahan seperti dirinya.

Raja Husin dapat membaca perubahan di wajah dan gerakan Siantan. Lelaki itu kini teragak-agak. Keterujaan sudah pudar tidak seperti di pembukaan pertarungan. Kenapa? Raja Husin yakin benar, jurus tendangan tadi sengaja berubah di saat akhir. Akhirnya Raja Husin putuskan untuk mengakhiri sayembara mereka.
Tak mengapa jika tiada pemenang. Hanya hati budi Siantan sahaja yang ingin diketahui.

Melangkah ke tengah gelanggang, Raja Husin tegakkan tubuh sebelum membongkok sedikit bagi menghormati lawan.

Siantan juga melangkah ke tengah. Dia terus sahaja bersila, lalu mengangkat kedua tangan yang telah dirapatkan sehingga ke dahi.

Sedikit terpempan dengan cara penghormatan Siantan, pandangan Raja Husin cepat-cepat melayang ke wajah Bidasari. Gadis itu tersenyum girang membalas pandang. Raja Husin bergegas mendapatkan Siantan lalu memegang kedua bahu lelaki itu.

"Bangunlah."

Siantan gugup. Rasa bersalah sebegitu menekan diri dengan niat yang hadir di dalam pertarungan tadi.
Apakah tindakan tadi telah dianggap menderhaka?

Tak lama perasaan itu bertamu berganti pula kehairanan. Bidasari dengan senyuman lebar merapati mereka berdua. Siku Bidasari jelas bertenggek di bahu Raja Husin. Hati kecil Siantan membantah.

Bidasari, masakan kau tidak tahu bertatasusila dengan golongan pemerintah!

"Aduhai Siantan, tidak perlulah beradab sopan sehingga sebegini jika hanya ingin memohon keampunan. Kekalahan tetap kekalahan biar seribu cara kau mengelaknya."

Raja Husin tidak menyampuk. Dia turut menggaris senyuman. Tangan dihulur kepada Siantan bagi membantu lelaki itu berdiri.

"Hamba tidak boleh berlama-lama di sini. Permainan yang cukup hebat tadi. Syabas! Mungkin kita bisa bertarung lagi di lain masa."

Lalu Raja Husin dan Bidasari beredar meninggalkan Siantan keseorangan di tengah gelanggang. Malim mengekori mereka berdua dari belakang.

Kedua-dua bibir teruna dan dara itu menyepi sedangkan hati mereka berkocak ingin meluah perasaan. Langkah kaki diatur sama sekata sehingga ke pangkal jalan utama. Raja Husin tahu mereka berdua masih lagi dalam situasi kekok. Meskipun begitu, di saat itupun dia masih sempat membayangkan andai tangan gadis itu sedang dipimpin...

"Oh! Iya. Hamba hampir terlupa akan keris tuan hamba."

Senjata panjang buatan pandai besi orang Jawa diserahkan kepada Bidasari.

"Kau kenal keris ini?"

Suara Bidasari gugup. Dadanya mula berombak.

"Emm... Jua wajah indah pemiliknya."

Mendengar kata-kata Raja Husin, Bidasari segera berpaling. Betapa mudah benar hatinya terpedaya dengan lakonan lelaki itu. Dia benar-benar menyangka Raja Husin percaya pertemuan semalam merupakan pertemuan pertama mereka.

"Aku tak mampu melupakan wajah indahmu. Semalam dan juga hari-hari sebelumnya. Aku juga tidak peduli andai wajah itu milik siapa, baju apa yang tersarung ditubuhnya."

Raja Husin menyambung lagi kata-katanya.

"Usahlah berpaling. Aku akan terima walau siapa pun gerangan tuan hamba."

Raja Husin mencapai jemari Bidasari. Satu bungkusan kecil dikeluarkan dari dalam saku baju lalu diselitkan ke dalam genggaman Bidasari.

"Ini hadiah perkenalan semula kita. Harap kau sudi terima."

Bidasari berdiam diri. Raja Husin mengerti, pasti Bidasari terkejut dengan sebahagian daripada kebenaran ini. Dan dia tak pasti apakah gadis itu boleh menerima sebahagian lagi kebenaran yang disembunyikannya pula.

"Hamba pohon untuk berundur diri. Mari Malim!"

Langkah Raja Husin terhenti mendengar nama itu dipanggil.

"Syah. Terima kasih... di gelanggang tadi. "

Senyuman Raja Husin hambar. Betapa dia ingin mendengar nama lain yang diseru Bidasari. Namun, mungkin nama samaran itu sudah cukup baik buat masa ini.

Setelah Raja Husin dan Malim hilang dari pandangan, Siantan keluar dari tempat persembunyian. Segala duka ditelan laju sebelum wajah dimaniskan seperti biasa.

"Sudah selesai? Urusan kau dan dia. Siapa lelaki itu? Dia kah yang tangannya kau siram dengan air panas kelmarin?"

Siantan tak dipandang. Fikiran Bidasari jauh menerawang.

"Kenalan. Anak orang bangsawan."

Benar telahan Siantan. Bidasari masih tidak tahu latar belakang sebenar lelaki itu.

"Marilah aku hantarkan kau pulang."

Perjalanan balik hanya diriuhkan dengan suara cengkerik dan binatang hutan. Sepatah katapun tidak keluar dari mulut Bidasari. Gadis itu banyak bermenung lagi. Tetapi kali ini bersulam wajah nan suram.

"Sari."

"Hmm. "

"Andai suatu hari kelak, kau dikecewakan oleh cinta. Aku mahu kau sentiasa tahu bahawa tanganku ini senantiasa sedia untuk menyembuh lukamu."

Lirih hati Siantan mengungkap pilu.
Ayam ditambat disambar helang, padi ditangan lalang.

Cinta. Bidasari sendiri tidak pasti apakah dia sedang dilamun cinta atau hatinya sedang dipatahkan oleh cinta. 

DUA PEWARIS TAKHTAWhere stories live. Discover now