2 | 24

81 9 0
                                    

[23 Januari 501 - Porta]

BUNYI tumit kasut tinggi menghentak lantai memenuhi ruangan kafe itu. Seorang wanita yang mengenakan blazer berwarna merah menyala bersama high-waisted slack dengan warna senada menarik perhatian semua pekerja di dalam kafe tersebut. Para pekerja yang tadi masing-masing menunduk semuanya sudah terpukau dek kerana karisma dan kejelitaan wanita yang baru sahaja tiba di kafe mereka. Wanita itu berhenti melangkah lalu memerhati segenap penjuru kafe.

Di sisi kafe kini penuh dengan beg tangan, alat solek dan pelbagai jenis barangan berjenama yang digilai oleh para wanita. Ada beberapa orang pekerja berdiri di hadapan kaunter dan di tengah-tengah kafe ada seorang lelaki sedang duduk menunggu kehadiran dirinya. Sebelah tangan diletakkan ke dada lalu kepala ditunduk sedikit tanda memberi hormat kepada sang jejaka.

"Tuanku nak jumpa saya untuk apa?" Soal Helina sebaik sahaja kepalanya diangkat semula. Di hadapannya kini ada Eijaz yang sedang tepat merenung ke arahnya. Eijaz mengangkat sebelah tangan, memberi isyarat agar semua yang berada di dalam kafe beredar.

"Duduk," arah Eijaz sebaik sahaja hanya mereka berdua yang tinggal.

Helina menurut tanpa banyak soal. Gerak geri wanita itu diperhati Eijaz tanpa lepas. Jika Eijaz perlu memilih perkataan untuk menggambarkan seorang Helina, perkataan itu sudah semestinya watak utama.

Ke mana pun wanita ini pergi, mata-mata manusia pasti akan terarah kepadanya. Berbeza dengan Irsa, Helina berkali ganda lebih matang, bijaksana, jelita, pandai membawa diri dan petah berkata-kata. Bukan sahaja lelaki boleh jatuh cinta apabila melihat Helina, wanita pun sama. Femme fatale. Itu gelaran untuk Helina yang diberi oleh para pengikut setianya. Nak dibandingkan dengan menteri-menteri lain, boleh dikatakan kebanyakan anak muda Yildiz sangatlah memberi sokongan padu kepada Helina sebagai wakil mereka bersuara.

Wanita di hadapan Eijaz ini sangatlah sempurna. Langsung tiada cacat cela. Terlampau sempurna sehingga tidak tercapai oleh mana-mana lelaki di Porta. Ke mana pun dia pergi dia sentiasa bersinar. Bagaikan bintang yang dapat dilihat pada mata kasar tetapi tidak boleh digapai.

Jika bintang secerah Helina tidak mahu berada di langit para putera Yildiz, bintang itu pasti akan jatuh terhempas memusnahkan segala-galanya. Sebelum hal itu berlaku, Eijaz perlu menghalang gadis di hadapannya ini.

"Berdasarkan semua barang-barang yang ada dekat meja sebelah sana, saya kira tuanku masih tak berputus asa untuk meyakinkan saya." Helina memulakan kata.

Beberapa hari lepas ada juga dia bertemu dengan Eijaz. Putera dari puak Painite itu terang-terang memerintahkan Helina agar menghentikan usul yang dia telah bentangkan di sidang parlimen kabinet menteri. Namun Helina tetap Helina. Prinsip hidupnya adalah dia perlu sentiasa menegakkan perkara yang dirasakan oleh dirinya benar. Jadi tanpa berfikir dua kali, perintah Eijaz terus ditolak mentah-mentah.

Walapun Helina tahu perbuatannya bakal mendatangkan akibat buruk pada diri sendiri, dia tidak gentar. Dia tak akan memulakan sesuatu perjuangan semata-mata untuk berputus asa di pertengahan jalan.

"Beg, kasut. Semua barang yang ada dekat atas meja tu milik kau. Tanah di rimba Zanith, tak lama lagi akan dibangunkan. Dalam masa sepuluh tahun, satu lagi kota bakal dibuka untuk rakyat Yildiz. Kami para putera setuju untuk beri kau kuasa sebagai menteri besar di sana. Jadi..."

"Jadi batalkan semula usul saya? Tak akan pernah terjadi Putera Eijaz. Saya tak akan tarik usul tu," tegas Helina.

"Apa yang putera buat sekarang ni, sejujurnya sangat mengecewakan saya."

Helina bangun dari duduknya. Tanpa kata, dia terus mencapai barang paling mahal di atas meja bersebelahan mereka iaitu sebuah beg bertatah tujuh permata. Tidak berfikir dua kali, beg itu terus dijatuhkan ke lantai. Betul-betul di hadapan muka Eijaz.

"Saya nak putera tahu, saya tak buat semua ni untuk harta atau kuasa. Saya buat semua ni untuk lindungi Porta. Sedangkan putera Yildiz sendiri boleh mengkhianati kami, jadi kenapa kami perlu terus berada di bawah para putera yang tak boleh lindungi kami? Kenapa kami perlu terus percayakan kalian?"

"Jadi maksudnya kau tak akan pernah berpihak pada kami dan akan terus pilih untuk menentang?"

"Ya," jawab Helina dengan yakin.

Eijaz bangun dari duduknya lalu berjalan mendekati Helina. Beg yang Helina jatuhkan ke lantai dengan selamba dipijak dan Helina terus dirapati sehingga gadis itu terundur ke belakang. Tubuh Helina terlanggar meja di belakangnya dan Eijaz terus mengepung gadis itu. Helina menelan air liur tetapi wajah yakin tetap ditayang, tidak mahu kalah dengan wajah Eijaz yang tidak berekspresi. Jarak mereka berdua kini terasa sangat dekat sehingga mereka dapat mendengar degupan jantung masing-masing.

Eijaz menundukkan kepalanya sedikit, mereka berdua kini saling bertentang mata.

"Aku cuba dapatkan kau dengan cara baik tapi kau tolak. Nampaknya aku kena buktikan dekat kau kenapa kami terpilih untuk jadi pemerintah tanah ni. Aku akan buktikannya..."

Bibir dirapatkan ke telinga Helina lalu Eijaz berbisik.

"Walaupun dengan cara kekerasan."

Usai menyatakan amaran itu, Eijaz menjarakkan tubuhnya kembali. Fikirnya dia sudah berjaya menggertak Helina tetapi belakang lehernya tiba-tiba ditarik sehingga Eijaz terdorong ke hadapan. Hidung mereka hampir sahaja bersentuhan tetapi tubuhnya sempat ditahan Eijaz. Helina tersenyum sinis.

"Cubalah kalau boleh."






-THE SECOND PAGE-

"BERDASARKAN semua barang yang tak terusik ni, aku yakin dia tolak tawaran kita lagikan?" Soal Lutfan sebaik sahaja dia masuk ke dalam Rose Kafe bersama Lee dan Idlan. Pandangan dialihkan ke arah Eijaz dan kening Lutfan terus bertaut.

"Kenapa muka kau merah?" Soal Lutfan kepada Eijaz yang langsung tidak bersuara.

"Haah. Panas ke dekat dalam kafe ni?" Idlan turut pelik.

Eijaz berdeham. Wajahnya yang berona merah cuba disembunyikan dengan sebelah tangan.

"Tak ada apalah. Tapi ni tadi aku ada dapat bayangan. Pengkhianat tu ada dekat sawah padi."

"Sawah padi? Sawah padi dekat mana?"

"Tak pasti."

"Ya, memang ada satu je sawah padi dekat bumi ni," sindir Idlan dan dia terus sahaja mendapat jelingan Han.

"Aku ada dapat berita dari perisik yang kita kirim ke Casa. Dia ada singgah dekat Kerajaan Mayang. Dan dia ada bertunang dengan puteri kerajaan tu tapi pertunangan tu diputuskan," beritahu Lee.

"Aku tahu dia tu gila tapi makin lama makin gila masalahnya. Kahwin dengan bangsa bukan manusia? Apa yang dia rancang sebenarnya?"

Keempat-empat putera tersebut masing-masing menayangkan wajah beriak khuatir.

"Pengkhianat tu pun kita masih tak dapat tangkap. Sekarang rakyat pun dah tak setia dan percayakan kita. Apa kita nak buat ni?" Idlan mengeluh.

Lee menalakan pandangannya ke arah Eijaz. Nafas lemah dihela Eijaz. Dia bangun dari duduknya dengan tangan yang dimasukkan ke dalam poket.

"Dah tak ada cara lain. Nampaknya aku kena gunakan kuasa aku juga."

PORTA : The Second PageWhere stories live. Discover now