2 | 41

48 5 0
                                    

[Porta - 21 Ogos 513]

BULATAN cahaya yang dimasukinya perlahan-lahan hilang dan meresap masuk semula ke dalam tanah. Kelopak matanya dibuka Han dan serentak dengan itu dia terus dijamu dengan pemandangan yang paling dia tidak mahu lihat. Pemandangan sama yang sudah berulang kali dia cuba ubah dan ternyata masih lagi tidak berjaya.

BADUMM!!!

Bunyi letupan dan tembakan kedengaran di mana-mana. Langit Porta kini kemerahan dan penuh dengan asap berwarna hitam. Pepohon habis tumbang dan tanah dibasahi dengan cecair berwarna merah. Jeritan dan tangisan mengiringi bunyi letupan serta tembakan.

Han terundur setapak. Lututnya terasa begitu lemah kini, sedar yang usahanya selama ini ternyata sia-sia. Han berundur dan terus berundur sehinggalah tubuhnya terlanggar sesuatu.

"Eshan?"

Tubuhnya dipalingkan tatkala mendengar suara tersebut. Seorang Hakim muncul di layar matanya. Jejaka itu sedang tercungap-cungap seolah-olah baru sahaja lari dari sesuatu. Badannya penuh luka dan bajunya lencun dengan peluh dan darah. Sebelah matanya sudah membengkak. Tinggal sebelah sahaja yang terbuka. Han tergamam melihat keadaan si putera dari puak Poudreitte itu. Hilang terus suara dari kerongkongnya sehingga dia tak mampu berkata apa-apa.

Hakim memandang Han atas bawah.

"Kau betul-betul Eshan? Bukan perempuan tu dah tangkap kau ke?" Soal Hakim.

Han tidak bersuara. Hakim melangkah setapak menghampiri jejaka di hadapannya.

"Baju dan penampilan kau terlampau kemas untuk situasi Porta sekarang."

Bahu Han digapai.

"Kau ada cahaya biru. Kau bukan Han dari masa sekarangkan? Kau... kau Han yang ugut aku guna Irsa dulu ke?" Duga Hakim.

Satu lagi letupan kedengaran sehingga Han dan Hakim serentak menutup telinga. Setelah letupan itu reda, Hakim terus menarik Han untuk bersembunyi di belakang sebiji batu yang agak besar. Pada pengamatan Han, mereka kini berada di hutan belakang istana Sora. Namun hutan ini sudah tidak terlihat seperti hutan melainkan padang jarak padang terkukur.

Di dalam kekalutan itu, Hakim menanggal kalungnya lalu menyerahkan kalung itu ke tangan Han. Han memandang Hakim dengan pandangan tidak mengerti.

"Itu kalung puak Poudreitte. Walaupun tak sekuat kuasa aku tapi kau masih boleh manipulasi masa."

Hakim berundur sedikit dari Han lalu memejamkan matanya. Bulatan masa yang dibentuk dengan cahaya biru dilukis Hakim menggunakan kakinya di tanah.

"Aku yakin kau yang dulu paksa aku guna kuasa aku sebab benda yang jadi sekarangkan? Aku tahu kau tahu keadaan Porta sekarang. Balik ke masa lampau semula Han. Halang dia. Kali ni halang dia walau dengan apa cara sekali pun. Ini..."

Air mata yang sudah bercampur dengan darah dari matanya dikesat Hakim.

"Ini peluang terakhir kita." 









-THE SECOND PAGE-

[Casa - 1 Disember 2008]

KINI sudah tiga bulan berlalu semenjak kejadian Han menjadikan Irsa sebagai tebusan. Hal itu juga bermakna sudah tiga bulan Han hilang tanpa khabar berita.

Sedar yang dirinya sekali lagi dipergunakan oleh Han, Irsa sudah tidak ambil hati lagi. Dia cuma mahu berjumpa kembali dengan lelaki itu dan membalas perbuatan Han terhadap dirinya. Dia juga mahu bertanya, mengapa sanggup Han ingin membunuhnya. Walaupun hanya untuk mengugut Hakim, bukankan tindakan Han sudah keterlaluan?

Berbagai soalan ingin dipertanyakan oleh Irsa namun lelaki itu sampai kini masih tidak memunculkan diri. Setelah Han tiba-tiba menghilangkan diri tiga bulan yang lalu, Irsa tidak mengambil masa yang lama untuk pergi dari Hakim dan cari haluannya sendiri. Penat juga dia mahu meyakinkan Hakim yang dia boleh pergi sendiri sehinggalah Hakim melepaskan dirinya pergi.

Tahu yang dirinya tak punya tempat untuk dituju, Irsa akhirnya kembali ke rumah persembunyiaan Han di Casa. Kini dia sekadar membuang masa seorang diri di rumah ini, menunggu kedatangan Han.

Sejujurnya setelah hampir 3 bulan berlalu, Irsa memang ada rasa mahu berhenti menunggu. Namun tatkala teringat kata-kata Han yang dia akan sentiasa kembali ke rumah ini, Irsa memutuskan untuk terus menghitung hari.

Hujan kedengaran lebat menimpa atap rumah. Guruh turut berdentum dan kilat juga saling sabung menyabung. Irsa duduk di tepi tingkap seraya memerhati kilat yang muncul sekali sekala bagi menerangi bumi. Dia mengeluh.

"Kau janji nak jadi hujan lebat yang akan sentiasa teman petir. Petir ada. Hujan lebat pun ada. Tapi kau ke mana sebenarnya?" Soalan itu diucapkan oleh Irsa perlahan.

Baru sahaja Irsa mahu beredar dari tingkap itu seraya menutup langsir, ketukan bertalu-talu di pintu rumah menarik perhatian Irsa. Irsa jadi hairan. Siapa pula yang datang ke rumah ini ketika hujan lebat sebegini?

Ketukan bertalu-talu itu kedengaran kuat pada mulanya namun perlahan-lahan menjadi lemah tatkala disaingi dengan air hujan. Irsa menghampiri pintu dengan penuh tanda tanya. Sejenak memberanikan diri, tombol pintu akhirnya dicapai.

"Si..."

Tak sempat mahu mengajukan soalan, sekujur tubuh terus sahaja rebah ke dalam pelukan Irsa apabila pintu dibuka. Irsa terkejut. Pada ketika itu juga dia akhirnya tersedar sesuatu.

"Han?"

PORTA : The Second PageWhere stories live. Discover now