2 | 40

58 8 0
                                    

MATA Hakim membulat dengan pandangan yang disajikan di hadapannya sekarang. Dia naik ke puncak bukit berhampiran kawasan perumahannya dan ternyata telahannya tepat. Irsa ada di atas puncak bukit itu.

Bersama dengan Han yang kelihatan seperti bila-bila masa sahaja akan menolak Irsa jatuh ke jurang.

"Han... apa yang... apa yang kau cuba buat?" Soal Hakim seraya menghampiri dua orang manusia itu setapak demi setapak.

"Kau tanya apa tujuan aku datang sini jumpa kaukan? Aku akan bagitahu. Aku datang sini sebab nak kau buka pintu masa," beritahu Han.

"Untuk apa?"

"Untuk apa... erm... itu... urusan aku. Kau tak perlu tahu."

Hakim memandang Irsa yang kini berada betul-betul di pinggir bukit. Bukit yang mereka berada kini boleh dikira agak curam. Jika terjatuh, kemungkinan besar akan menempah maut. Tangan diangkat secara sembunyi, cuba untuk menghentikan masa tetapi tindakannya lebih pantas dicelah oleh Han.

"Kalau kau tengah fikir nak hentikan masa, lebih baik kau lupakannya."

Dahi Hakim berkerut. Han tersenyum sinis.

"Aku dah letak jampi dekat badan perempuan ni. Kalau kau sentuh dia, dia sendiri akan terjun bunuh diri."

Irsa memandang Han dengan pandangan tidak percaya tetapi Han langsung tidak kesah. Irsa cuba melepaskan diri daripada pegangan Han namun sia-sia.

"Dan... aku tak rasa kau boleh ulang masa sekarang. Disebabkan percubaan berkali-kali larikan diri, kau dah terlampau banyak lalu ruang masa. Pada pengamatan aku, kalau kau lalu ruang masa sekali lagi, badan kau mesti akan hancur."

Rahang Hakim bergesel atas bawah. Dia tidak pasti bagaimana Han boleh mengetahui tentang hal tersebut tetapi kata-kata lelaki itu memang benar. Sewaktu cuba lari dan hidup bersama Qaisara, Hakim sudah terlampau banyak kali meneroka ruang masa. Memiliki kuasa mengawal masa memberi kelebihan yang besar kepada Hakim kerana dia boleh mengawal sesuatu situasi semahunya.

Namun setiap tubuh manusia ada had. Tak semua manusia boleh melalui ruang masa. Jika ada yang mampu sekalipun, mereka tetap tidak boleh melalui ruang itu sebanyak mana yang mereka mahu. Melalui ruang masa memerlukan semangat dari dalam tubuh. Dalam erti kata lain, mereka sebenarnya membayar peluang untuk melalui ruang masa dengan menggunakan nyawa sendiri. Apabila sampai ke satu tahap, sesiapa yang pernah melalui ruang masa itu sendiri akan sedar, tubuh mereka tak mungkin akan mampu melalui ruangan itu.

"Lama fikir? Daripada kau sibuk cari jalan macam mana nak halang aku lebih baik kau ikut saja permintaan aku. Anak kau dan Qaisara tengah tunggu kau. Kalau perempuan ni mati, kau pun akan mati. Hidup isteri dan anak kau akan terumbang ambing tak ubah macam pelarian. Kau betul-betul nak ambil risiko tu hanya atas sebab kau tak nak ikut permintaan aku?"

Hakim mengetap bibir. Han yang pada awalnya sekadar memegang lengan Irsa dan menolak gadis itu ke jurang kini bertindak mencekik leher gadis itu. Irsa tersentak. Tangan terkapai-kapai cuba meleraikan cengkaman Han di lehernya.

"Cepatlah! Kau tunggu apalagi?! Kau tahu aku macam manakan? Bila aku cakap sesuatu..."

Cengkaman di leher Irsa semakin ketat.

"Aku betul-betul maksudkannya."

Penumbuknya Hakim genggam. Tak ada pilihan lain, dia akhirnya mengalah. Dia berdiri tegak lalu memejam mata. Bibirnya terkumat kamit membaca sesuatu. Apabila matanya dibuka semula, iris matanya kini sudah bertukar ke biru berkilau. Kulit badannya juga kini jadi berkilau-kilau, seolah-olah tubuhnya diperbuat daripada kaca. 

Hakim membuat satu bulatan menggunakan kakinya. Serentak dengan itu, cahaya berwarna biru keluar dari tanah dan terus naik sehingga ke langit. Hakim keluar dari bulatan tersebut lalu memandang Han.

PORTA : The Second PageWhere stories live. Discover now