"No, ini ayam goreng yang tinggal satu, aku yang punya."
"Tidak! Aku yang punya, sebab aku yang tolong mommy angkat lauk pigi meja tadi. Kau makan saja tu sosej."
"Tapi aku yang tolong mommy potong sayur tadi."
Pretty Nella dan Pretty Nelly, dua gadis yang kini telah berusia 14 tahun. Kedua-duanya memperebutkan ayam goreng yang hanya tinggal seketul.
Melihat dua beradik yang jarang akur, Thomas dan Lucy menggeleng-geleng kepala. Mereka seakan kehabisan kata untuk menasihati kedua-duanya kerana setiap apa yang mereka bicarakan pasti akan masuk ke telinga kiri dan keluar lagi dari telinga kanan.
"Tidak bagus bah gaduh depan makanan, Nella, Nelly." Hanya itu terdaya keluar dari mulut Thomas sebelum akhirnya dia menyambung semula makannya yang sempat terhenti.
"Supaya adil, biar ini untuk mommy." Lucy mencucuk seketul ayam itu dengan garfu dan langsung dipindahkan ke piring nasinya. Dengan begitu, kedua-dua gadis itu menghentikan pertengkaran dan masing-masing mengambil lauk lain yang terhidang di atas meja sebagai ganti, tapi masih saling bermasam muka.
"Cubalah kamu dua ni satu hari saja tidak bergaduh, bolehkah?" Tegur Lucy dengan ekspresi serius, tapi tetap mempertahankan nada lemah lembut. Dia dan Thomas sememangnya tidak pernah meninggikan suara setiap kali sedang berbicara dengan dua gadis itu walaupun bukanlah darah daging mereka.
Pasangan suami isteri itu amat menyayangi dua gadis itu, dan boleh dikatakan mereka menyayangi lebih dari orang tua kandung menyayangi anak kandung.
"Jadi lepas makan siapa mahu tolong cuci piring?"
Dua Pretty saling menunjuk sebaik saja Lucy memberi soal. Masing-masing tidak mahu disuruh mencuci piring. Lucy mendengus.
"Biarlah mommy saja cuci. Kamu cuma tolong kasih pindah piring-piring pigi sinki saja." Lucy tidak mahu membiarkan dua Pretty itu terus berkelahi. Itu hanya akan membuatnya stress dan menimbulkan sakit kepala.
Setelah diberi perintah, mereka pun bangkit dari bangku dan langsung memindahkan piring-piring kotor ke sinki untuk dicuci Lucy nanti, kemudian mereka pergi ke bilik masing-masing. Pintu kedua bilik ditutup dari dalam dan terus menyepi, tidak kedengaran lagi apa-apa bunyi. Entah apalah yang sedang dilakukan dua Pretty itu di dalam sana.
Kerana belum memiliki pembantu rumah, maka segala pekerjaan rumah dilakukan sendiri oleh Lucy dan sekali-kali akan dibantu oleh dua Pretty. Itu pun perlu disuruh berkali-kali barulah bergerak. Sebelum ini ketika dirinya dan suami sedang sibuk bekerja di luar, dia menghantar dua Pretty itu ke rumah ibunya untuk dijaga, tapi memandangkan kini kedua-dua gadis itu sudah mampu menjaga diri sendiri di rumah, dia dan suami tidak lagi membimbangkan apa-apa.
Lucy memutuskan untuk menenangkan jiwanya secara seorang diri di satu tempat, berehat sejenak dari kesibukan bekerja dari hari ke hari.
Sarawak, Bumi Kenyalang. Dia duduk dan merenung jauh ke pemandangan gunung Santubong jauh di sana, sebuah gunung yang kedudukannya bertentangan dengan satu lagi gunung iaitu Sejinjang. Kedua-duanya memiliki kisah legenda yang masih terhafal jelas dalam kepala Lucy.
'Gunung Santubong... Gunung Sejinjang... Teguh berdiri sampai sekarang. Semoga kehidupan kami pun tetap seteguh kamu, walaupun Nella sama Nelly tidak pernah rukun dari kecil.' Benaknya berkata.
Angin sepoi-sepoi hadir membelai dan membuainya, seolah-olah datang dari arah gunung itu. Ketenangan terasa makin bertambah seakan-akan dia tidak mahu meninggalkan tempat yang baginya nyaman itu. Namun, hari hampir gelap. Dia harus melangkah pergi.
'Bye...' Hatinya mengucap selamat tinggal kepada tempat yang indah itu ketika kakinya mulai melangkah pergi.
Walaupun dia dan suami berasal dari Sarawak, tapi sudah sangat lama mereka menetap di Sabah atas urusan pekerjaan diri dan juga suami. Esok dia akan kembali ke Sabah, menemui suami dan anak-anaknya, si dua Pretty yang saling bertengkar tak pernah akur. Dia akan datang lagi ke situ dalam masa terdekat untuk bermanja-manja lagi dengan pemandangan indah gunung Santubong yang baginya seperti ada tarikan tak terlihat yang membuatnya kalau boleh setiap hari ingin berkunjung ke tempat itu. Banyak kenangan manis dirinya dengan mendiang ayahnya di situ.
Hari ulang tahun perkahwinan Thomas dan Lucy. Pesta diadakan secara kecil-kecilan di rumah, tapi tetap kelihatan dan terasa kesan meriahnya.
Seperti biasa, dua Pretty bertengkar. Kini disebabkan sehelai dress ungu yang berharga cukup mahal. Masing-masing memperebutkan dan ingin mengenakan dress indah itu untuk hari istimewa yang sedang disambut itu.
"Nella, ini dress aku. Mommy beli untuk aku."
"Siapa bilang? Mommy tiada cakap pun itu untuk siapa, jadi siapa-siapa pun boleh pakai. Disebabkan aku duluan jumpa, jadi aku yang punya. Bukan kau."
Hampir terkoyak dress itu saling ditarik mereka.
"Pretty Nella. Pretty Nelly. Apa ni?" Seorang wanita menghentikan mereka, Erin.
Dengan tatapan serius wanita itu memandang dua Pretty itu yang juga terpaku menatap ke arahnya. Perlahan-lahan cengkaman pada dress melonggar dan kini sepenuhnya berada di tangan Pretty Nelly.
Erin maju untuk lebih dekat dan langsung berkata, "Walaupun kamu dua ni tiada talian darah, tapi tidak bagus bah kamu gaduh-gaduh."
Kata 'tiada talian darah' sengaja ditekankan dengan harapan ada orang di luar bilik mendengar. Dan memang benar, Lucy yang kebetulan lalu mendengar apa yang diucapkannya. Bergegas Lucy mendekati pintu bilik Pretty Nella untuk mengintip apa yang sedang terjadi.
Dua Pretty dibuat terkejut dengan kenyataan Erin. Wanita itu mengatakan bahawa mereka berdua tiada talian darah. Itu bermakna salah seorang dari mereka bukan anak kandung Thomas dan Lucy, atau bahkan kedua-duanya sekaligus bukan anak kandung pasangan suami isteri itu.
"Apa?" Nella dan Nelly terlopong.
Saat itulah Lucy maju dan menarik perlahan tangan Erin mengajak keluar dari bilik, pergi ke tempat yang agak sepi di rumah itu.
"Apa maksud kau cakap begitu sama diorang, Erin?" Soalnya dengan tegas.
Erin tersenyum tenang dan berkata, "Sampai bila kau mahu kasih sembunyi kenyataan yang diorang dua memang bukan anak kandung kamu? Lagi-lagi diorang dua bukan adik-beradik kandung."
"Itu urusan aku sama husband aku. Kau tidak perlulah masuk campur hal keluarga kami, Erin."
Erin tidak mahu lagi berbicara lebih banyak, selain hanya tersenyum dan berkata singkat, "Okey, aku minta maaf."
Tapi jauh di lubuk hatinya ada rasa kepuasan kerana telah membuat wanita itu kesal. Dia sememangnya sejak dahulu tidak pernah menyukai wanita itu.
YOU ARE READING
SETEGUH SANTUBONG DAN SEJINJANG
General FictionLegenda Rakyat Sarawak 'Puteri Santubong & Puteri Sejinjang' menginspirasikan sebuah cerita tentang dua gadis jelita bernama Pretty Nella dan Pretty Nelly yang seringkali berselisih. Nella dan Nelly merupakan anak angkat kepada sepasang suami isteri...