Seperti yang diharapkan Thomas dan Lucy, dua Pretty melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kedua-duanya dapat bekerjasama tanpa terjadi sedikit pun selisih di antara mereka. Mereka bersama beberapa orang ahli persatuan yang dibuat Thomas mendatangi berbagai tempat hanya untuk bertemu golongan yang serba kekurangan dan yang memerlukan pertolongan. Banyak orang yang berhasil tertolong oleh mereka, dan dua Pretty itu sangat berpuas hati.
Thomas terbang ke luar negara kerana ada urusan penting yang harus diselesaikan dengan segera, sedangkan dua Pretty terus sibuk dengan aktiviti mereka di daerah B. Hanya tinggal Lucy bersama Lisa di rumah malam itu.
Lisa sedang memasak, dan Lucy tengah membancuh teh hijau dalam satu teko kecil. Mereka dikejutkan dengan bunyi bell rumah. Lucy yang tadinya terlihat tenang, kini bernafas dengan laju seiring perasaan takut. Gangguan yang sering dialaminya kebelakangan ini betul-betul memberi kesan ketara pada dirinya.
"Lisa, cuba kau pigi tengok siapa datang." Katanya.
Lisa juga agak takut, tetapi masa kan dia berani mengabaikan perintah majikannya sendiri? Mahu tidak mahu, dia terpaksa melangkah.
"Kau siapa?" Sebaik saja pintu dibuka, dia langsung disapa dengan pertanyaan oleh seorang wanita yang hairan melihat keberadaan orang asing di rumah itu. Erin.
"Aku maid di sini." Jelas Lisa.
"Aku Erin, biras si Lucy. Dia ada di dalam?"
Lisa mengiakan dan langsung mengajak Erin masuk.
Lucy jengkel dengan kehadiran wanita itu, tapi tidak mungkin dia menunjukkan rasa tidak sukanya secara terang-terangan. Dia hanya mampu tersenyum dan mempersilakan wanita itu duduk di sofa.
"Kau datang sama siapa, Erin?"
"Sama bayang-bayang akulah." Gurau Erin.
Perbualan mereka terhenti saat Lucy melangkah ke dapur untuk menyediakan minuman dan sedikit makanan ringan untuk dihidangkan. Erin menyungging seulas senyum samar-samar. Itu masa yang tepat untuk melakukan apa yang sudah lama ingin dilakukan tapi tak kunjung kesampaian.
Matanya mengarah lurus ke pintu bilik Lucy yang terngangah lebar.
'Ini masanya.'
Dia memastikan keadaan betul-betul aman sebelum akhirnya dia masuk ke situ, dan mencucukkan beberapa kuntum bunga hidup dalam karangan bunga pasu di meja samping katil Lucy. Bunga-bunga itu berukuran lebih kecil dari karangan bunga di pasu itu, hingga tiada seorang pun akan perasan keberadaannya di situ.
Setelah selesai, dan bergegas keluar, takut sekiranya mereka melihat keberadaannya di situ. Dia kembali duduk di sofa dengan bibir mengukir senyum kemenangan.
'Macam mana bapa kau dulu buat adik aku jadi gila sampai mati bunuh diri, macam begitu juga nasib kau sekarang, Lucy.' Benaknya berkata. Dendamnya berhubungan peristiwa masa lalu masih belum sirna. Masih jelas dalam ingatannya apa yang pernah berlaku dulu.
Dua beradik tertawa senang mendongak kepala ke arah layang-layang yang sudah melayang dengan tinggi di atas. Angin yang bertiup menyokong benda itu terus melayang dengan baik di udara. Si kakak memegang talinya dengan kuat, sementara adik lelakinya menepuk tangan riang. Setelah puas mencuba dan tetap gagal, akhirnya layang-layang itu berhasil dilayangkan dengan sempurna.
"Kak, biar aku lagi pegang tali." Si adik menawarkan diri, tapi si kakak menolak untuk memberikan.
"Kau bubut aku sampai dapat, baru kau boleh pegang ni tali." Kata si kakak tertawa dan langsung berlari. Si adik mengejar dan berusaha mendapatkannya.
"Erin... Jangan lari terlampau laju bah."
Seorang lelaki yang dalam suasana hati yang tidak baik memandu kereta dengan laju, dan hampir melanggar dua beradik itu. Dia yang berang langsung memberhentikan kereta dan segera keluar.
"Hoi, budak-budak bodoh. Kamu mahu mati awalkah?" Tengkingnya seraya maju mendekati kedua-duanya.
"Banyak tempat luas di sini, kenapa di tengah-tengah jalan raya ni juga kamu main layang-layang, ahh?"
"Hey, uncle! Tidak bolehkah cakap bagus-bagus sikit sama kami?" Si budak lelaki yang berusia kira-kira 8 tahun itu balas menengking, tidak terima dirinya dan kakaknya dikasari, tak peduli lelaki itu sebaya dengan ayah mereka.
Lelaki itu maju dan langsung menampar dengan keras si budak lelaki hingga jatuh ke tanah, "Budak kurang ajar."
"Daniel..." Kakaknya bergegas mendapatkannya dan membantunya berdiri. Kakaknya melihat ada darah merah di mulutnya.
"Uncle, bapa kami sendiri pun tidak pernah tampar kami macam begini." Kesal si kakak.
Lelaki itu tidak berkata apa-apa lagi, sebaliknya kembali masuk ke kereta dan langsung bergerak meninggalkan mereka.
"Daniel, kau okey?" Si kakak yang panik ingin memastikan adiknya tidak apa-apa, namun budak lelaki itu tak bersuara sedikit pun.
Dia tertunduk dan badannya menggigil. Itu pertama kali dirinya menerima tamparan sekeras itu. Saat itulah bermula traumanya.
Mengingat semua itu, mata Erin langsung merah. Dia hampir menangis. Kedua-dua tangan dikepal dengan erat.
'Bapa kau bikin adik kesayangan aku jadi gila, sebelum dia bunuh diri dia. Bapa kau pembunuh, Lucy.'
'Kau perlu bayar balik perbuatan bapa kau.'
Lucy hampir saja membaringkan diri ketika dia terhidu aroma sejenis bunga yang entah datang dari arah mana. Belum pernah dia menghidu aroma itu sebelum ini.
Dia ingin berdiri untuk mencari sumber bau harum itu, namun aroma itu membuat dirinya semakin rasa mengantuk.
'Kenapa aku cepat ngantuk ni malam?'
Dia berkali-kali menguap dan akhirnya tertidur kerana tidak terdaya melawan mata yang terasa kian berat.
Pretty Nella kesal kerana keretanya bermasalah. Dia terpaksa memberhentikannya di tepi jalan.
"Kurang asam juga ni kereta. Masa orang kelam-kabut beginilah pula dia bikin hal." Dia memukul stereng dan langsung keluar.
Dia berdiri menyandar pada punggung kereta dan mencuba menghubungi Pretty Nelly. Dia berharap Nelly dapat menolongnya, tapi berakhir dengan kecewa. Nelly sedang sibuk mengurus kedainya yang telah mula beroperasi.
Di tengah-tengah kekesalannya, sebuah kereta berhenti tepat di dekatnya. Tidak lama kemudian dari perut kereta itu keluar seorang lelaki tinggi dan tampan. Dia tak terdaya mengalihkan pandangnya dari wajah kacak yang hampir tidak terlihat sedikitpun kekurangan. Wajah itu benar-benar sempurna.
"Ada yang boleh saya tolong?" Lelaki itu menyungging senyum mesra dan memberikan penawaran.
"Kereta aku ada problem." Hanya itu yang mampu terucap oleh mulut Nella sebagai jawapan. Hatinya masih terus mengagumi ketampanan lelaki di depannya.
Belum pernah dia bersikap seperti itu, walaupun puas bersemuka dengan bermacam-macam jenis lelaki dengan beragam rupa dan karakter. Dia merasa dirinya kini benar-benar untuk pertama kalinya jatuh cinta kepada lawan jenis.
"Aku boleh tolong kau." Kata si lelaki.
"Aku Pretty Nella." Walaupun sedang tersipu-sipu, Nella memberanikan diri menghulurkan tangan dan langsung digapai oleh si lelaki.
"Maxwel."
YOU ARE READING
SETEGUH SANTUBONG DAN SEJINJANG
General FictionLegenda Rakyat Sarawak 'Puteri Santubong & Puteri Sejinjang' menginspirasikan sebuah cerita tentang dua gadis jelita bernama Pretty Nella dan Pretty Nelly yang seringkali berselisih. Nella dan Nelly merupakan anak angkat kepada sepasang suami isteri...