KONSENTRASI Nadia pada televisyen canggih itu terganggu apabila ibunya melabuhkan punggung di sebelahnya. Wanita separuh abad itu juga meletakkan muk cawan di atas meja kecil.
“Tak tidur lagi ma?” soal Nadia. Matanya memandang jam yang tergantung kemas di dinding. Sudah menunjukkan angka 11:10 minit malam. Dia pelik kerana ibunya belum tidur di waktu begini. Puan Natrah menguntum senyum.
“Mama masuk tidur lepas berbual sikit dengan Nad. Minumlah air milo tu,” kata Puan Natrah. Nadia ukir senyuman kecil.
“Terima kasih. Mama nak cakap apa?” Nadia menyoal seraya mencapai muk cawan yang berisi air milo itu. Air milo bancuhan ibu tercintanya memang sedap. Tak akan sama dengan air milo yang dia buat sendiri.
“Umur Nad dah 27 tahun. Bila Nad nak bersuami? Ibu teringin nak tengok kamu dah berkeluarga.” Puan Natrah bertanya dengan penuh berhati-hati. Sebolehnya dia tak mahu anak gadisnya itu tersinggung dengan soalannya.
Nadia meletakkan kembali muk cawan itu di atas meja. Dia memandang ibunya.
“Kenapa? Mama dah tak sudi nak Nad jaga mama ke?” soal Nadia.
“Hesh... bukan itu maksud mama. Mama ni dah berusia Nad. Kalau mama dah tak ada nanti, siapa nak jaga Nad? Kalau Nad dah berkahwin, sekurang-kurangnya ada suami yang boleh jaga Nad. Hati mama pun rasa tenang,” kata Puan Natrah.
Nadia hela nafas berat. Apabila ibunya mengutarakan hal begini memang hatinya terasa berat. Yalah, sudah 3 tahun mereka hidup berdua. Ayahnya sudah 3 tahun kembali ke negeri abadi. Malah, dia juga tak ada adik beradik. Dia anak tunggal.
Puan Natrah pernah mengandung. Namun, mengalami keguguran apabila kandungannya sudah mencecah usia 3 bulan. Setelah itu, doktor mengesahkan ibunya tidak boleh mengandung lagi.
“Nad bukan tak nak kahwin ma. Tapi Nad tak jumpa seseorang yang boleh jaga Nad macam mana mama jaga Nad. Lagipun, mama mesti nak Nad bahagia kan?”
Puan Natrah raih tangan anak gadisnya. Dia genggam erat seraya mengusap-usap tangan Nadia.
“Mestilah mama nak Nad bahagia. Mana ada seorang ibu mahu melihat anaknya menderita. Kalau boleh, mama nak Nad kahwin dalam tahun ni juga.”
“Mama ni... ingat senang ke nak cari bakal suami? Cari bakal suami ni macam cari baju juga. Tak ada orang nak baju buruk, koyak rabak sana sini. Mestilah orang nak baju yang cantik,” ujar Nadia. Ada pula samakan orang dengan baju.
“Sebab tu mama nak bagi Nad dua pilihan.”
“Apa dia?” Melihat respons baik anak gadisnya itu, terus terpancar sinar ceria di wajah Puan Natrah.
“Pilihan pertama, terima pilihan mama. Pilihan kedua, Nad cari sendiri calon pilihan Nad. Mama tak peduli kalau Nad nak kata mama kejam. Mama tetap nak Nad kahwin dalam tahun ni juga,” tegas Puan Natrah. Nadia urut pelipis.
YOU ARE READING
[COMPLETED] AIDAN DAN NADIA
RomanceAIDAN NAZHAN x NADIA ATHIRAH Tidak pernah terlintas dalam fikiran Nadia Athirah untuk berkahwin. Namun gara-gara desakan daripada sang ibu yang memintanya kahwin, terpaksa juga dia mencari calon suami. Jika dia tidak jumpa calon suami dalam tempoh y...