TERGAMAM dua wanita itu apabila mendengar perkhabaran dari Aidan. Tidak menyangka berita yang mahu disampaikan oleh Aidan merupakan berita buruk buat keluarga mereka. Aidan telah menceritakan segalanya kepada mereka.
“Betul ke ni Naz?” soal Puan Mariam bersama riak tidak percaya. Aidan angguk kepala perlahan.
“Betul mak,” jawab Aidan dengan nada perlahan. Rambut yang menutup dahi diraup kasar kebelakang.
“Habis tu macam mana dengan majlis tu nanti? Semuanya dah siap.” Puan Mariam menyoal lagi.
“Nak tak nak terpaksalah batalkan. Nak buat apa lagi, mak. Pengantin perempuan dah tak ada,” ujar Aidan dengan nada lirih. Naziha menggeleng kepala. Sungguh dia kesian dengan adiknya itu.
“Kak Ziha tak faham betul dengan Safira ni. Apa dia fikir sebenarnya? Semudah itu dia buat keputusan macam tu. Tak fikir yang dia dah malukan kedua-dua belah pihak,” ujar Naziha dengan nada geram.
“Entahlah Kak Ziha. Naz pun dah penat cari apa salah Naz dekat dia. Sebelum ni, dia nampak okey. Tak ada masalah pun,” kata Aidan.
“Itulah. Masa bincang tarikh nikah dulu, dia nampak gembira aje. Nampak macam dah bersedia,” kata Puan Mariam lagi. Jelas riak kecewa di wajah wanita separuh usia itu.
“Betul tu mak. Tak sangka pula cepat betul dia berubah hati,” sokong Naziha. Aidan menghela nafas berat.
“Naz minta maaf mak. Mungkin Naz yang salah,” kata Aidan. Naziha geleng kepala.
“Naz tak salah. Kak Ziha yakin pasti ada orang pengaruh fikiran dia. Kalau tak, dia tak akan buat keputusan terburu-buru macam ni. Sudah, jangan salahkan diri Naz lagi.”
“Betul kata Kak Ziha tu. Benda dah jadi pun. Kita reda ajelah,” kata Puan Mariam. Aidan menguntum senyum nipis.
“Terima kasih. Maafkan Naz sebab dah menyusahkan mak dan Kak Ziha.”
“Tak menyusahkan pun Naz.”
Dada Aidan terasa lapang apabila semua masalahnya sudah diceritakan kepada ibu dan kakaknya.
“Assalamualaikum.”
Panggilan salam mengundang perhatian mereka.
“Ziha, pergi tengok siapa datang,” arah Puan Mariam. Naziha hanya mengangguk kepala. Terus dia bangun dari sofa dan bergerak ke pintu utama.
“Waalaikumussalam. Lah kau rupanya. Masuklah.” Naziha mengukir senyuman buat sahabatnya. Tak sangka Nadia menepati janji untuk datang ke rumahnya.
Sandal ditanggalkan sebelum Nadia menapak masuk ke dalam rumah keluarga Naziha.
“Nanti adik kau nikah dekat mana?” soal Nadia sekadar ingin tahu. Langkah Naziha terhenti membuatkan langkah Nadia juga turut terhenti. Wajah keruh Naziha menyapa pandangannya.
YOU ARE READING
[COMPLETED] AIDAN DAN NADIA
RomanceAIDAN NAZHAN x NADIA ATHIRAH Tidak pernah terlintas dalam fikiran Nadia Athirah untuk berkahwin. Namun gara-gara desakan daripada sang ibu yang memintanya kahwin, terpaksa juga dia mencari calon suami. Jika dia tidak jumpa calon suami dalam tempoh y...