DARIPADA kejauhan Zareed dapat lihat seorang gadis tersenyum kepadanya sambil melambaikan tangan. Bibirnya ikut sama tersenyum. Teragak-agak dia ingin melambai kembali.
“Flower...” gumamnya perlahan.
Tapi semakin lama gadis itu semakin hilang daripada pandangan matanya.
“Flower! Flower tunggu!” Dia langsung berlari ke arah gadis itu.
Belum sempat Zareed menghampiri gadis itu, gadis itu sudah hilang daripada pandangan matanya.
“Flower...” Langkah kakinya mati di situ. Dia tak mampu buat apa-apa. Dadanya terasa ketat. Rasa sakit menjalar ke segenap hati.
“Flower!” Zareed terjaga daripada tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap. Peluh merenik di dahi.
Perlahan-lahan Zareed bangun daripada pembaringannya. Mimpi itu datang lagi. Entah mengapa sejak dua menjak ini dia kerap mengalami mimpi yang sama.
Gadis itu...
Dan setiap kali dia bermimpi tentang gadis itu, setiap kali itu juga hatinya bagai dirobek-robek. Sakitnya tak mampu dia jelaskan dengan kata-kata.
Nafas dihela berat. Wajahnya diraup kasar. Sudah lima tahun berlalu dan sehingga hari ini dia masih belum mampu melupakan memori lama itu.
Memori yang dia benci! Kalau boleh Zareed tidak mahu mengingati lagi hal yang menyakitkan itu.
DARIN tergesa-gesa turun ke tingkat bawah. Dia sudah terlewat untuk ke tempat kerja.
“Darin, makanlah breakfast dulu,” ujar Datin Marlia saat melihat kelibat anaknya itu.
“Dah tak sempat mama,” balasnya sambil berlalu ke arah pintu utama rumah agam mereka.
Stiletto berwarna putih yang tersusun di rak kasut dicapainya sebelum disarungkan ke kaki.
“Sebab tu lah mama nak Darin kerja dengan papa je. Kan lagi senang.”
Darin menghela nafas perlahan. Haa dah mula dah...
“Mama, kalau kerja dengan papa pun Darin makan gaji juga. Sama je.”
“Tapi kalau lambat pergi kerja, tak ada siapa yang nak marah Darin,” bidas Datin Marlia.
Darin mencebik. “Nak buat macam mana, Darin yang silap sebab bangun lewat.”
“Okeylah mama, Darin pergi dulu. Bye!” Selepas menyalami tangan Datin Marlia, Darin langsung berlalu pergi.
Datin Marlia hanya mampu geleng kepala melihat kedegilan anak tunggalnya itu. Darin itu seorang yang berpendirian tegas. Tak suka diatur hidupnya. Jadi Datin Marlia tak mampu buat apa-apa lagi.
Suaminya, Dato’ Nordin mempunyai sebuah hospital sendiri. Puas mereka memujuk Darin bekerja dengan syarikat keluarga saja tetapi Darin tetap berkeras untuk menjadi seorang arkitek.
Dan sekarang sudah hampir tiga tahun Darin bekerja sebagai arkitek di syarikat Syed & CO. Architecture. Dia lebih selesa begini. Berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan ibu bapanya.
HABIS waktu kerja, Darin tidak terus memandu pulang ke rumah. Kereta dipandu menuju ke Majestic Medical Centre.
Selepas memarkir keretanya, Darin melangkah masuk ke dalam bangunan hospital itu. Staf di hospital langsung menegurnya saat melihat kelibat Darin.
Hampir semua staf di hospital itu mengenali Darin. Siapa je yang tak kenal dengan anak tunggal Dato’ Nordin itu. Lagipun Darin kerap juga berkunjung ke sini.

YOU ARE READING
Bahagia Yang Tertunda
RomanceAntara mereka pernah ada rasa cinta. Namun hanya kerana fitnah, cinta yang pernah ada bertukar menjadi benci dan dendam. Siapa sangka, selepas lima tahun takdir mempertemukan mereka kembali. "You boleh beritahu family you yang you tak nak kahwin den...