Bab 10

47 5 0
                                    

DARIN terlebih dahulu masuk ke dalam butik sementara Zareed mencari parking. Masuk saja ke dalam butik, Darin terus disambut mesra oleh pekerja butik itu.

“Hai Cik Darin,” sapa pekerja itu ceria.

Darin tersenyum nipis. “Hai.” Dia kenal pekerja itu. Maklumlah dia selalu datang ke sini menemani Datin Marlia menempah pakaiannya.

“Datin Marlia ada beritahu yang Cik Darin nak tempah baju kahwin. Wah! Tak sangka Cik Darin dah nak kahwin. Tahniah ya Cik Darin.” Pekerja itu nampak teruja.

Darin ketawa kecil. “Terima kasih. Err... Baju gaun yang...”

“Baju gaun yang Cik Darin tengok hari tu?” pintas pekerja itu sebelum sempat Darin menghabiskan ayatnya.

Darin mengangguk. "Masih ada ke?" soal Darin. Dia memang berkenan betul dengan gaun itu. Tapi waktu kali pertama dia tengok gaun pengantin itu, Darin tak terfikir pun akan berkahwin dalam tempoh masa yang terdekat ini.

Tapi siapa sangka, tiba-tiba jodohnya sampai. Dengan cinta pertamanya pula tu.

“Gaun tu masih ada. Cik Darin nak cuba pakai dulu?”

“Hmm... Boleh juga.” Darin mengangguk setuju.

“Cik Darin datang seorang je ke?” soal pekerja itu.

“Saya datang dengan...” Tak sempat Darin nak habiskan ayatnya, Zareed sudah melangkah masuk ke dalam butik. Dia datang menghampiri Darin.

Pekerja itu langsung tersenyum saat melihat Zareed. “Jadi inilah bakal suami Cik Darin ya? Sepadan betul. Sama cantik, sama kacak.”

Zareed dan Darin hanya tersenyum mendengarnya.

“Jom Cik Darin, ikut saya cuba gaun tu,” ajaknya.

Darin hanya menurut.

“Encik...”

“Zareed,” jawab Zareed.

“Encik Zareed boleh duduk dekat kerusi tu dulu ya.”

Zareed mengangguk. Sementara menunggu Darin mencuba pakaian, dia melabuhkan duduk di kerusi yang di sediakan di butik itu.

Lebih kurang lima belas minit kemudian, pekerja butik itu memanggil Zareed.

“Encik Zareed, your bride is here.”

Zareed yang sibuk menatal telefon bimbitnya itu terus panggung kepala. Dia terpegun seketika saat melihat Darin yang memakai gaun pengantin itu.

Tubuhnya mengeras. Matanya tak berkedip memandang bakal isterinya itu. Gambaran Darin di hadapannya sekarang ini sama macam dalam mimpinya sebelum ini. Ya, dia pernah bermimpi Darin datang kepadanya dengan memakai gaun pengantin.

“Flower...” Tanpa sedar bibirnya menyebut perlahan nama panggilan itu.

Darin terkedu. Flower? Dia tak salah dengarkan? Dia nampak gerak bibir Zareed menyebut nama panggilan itu walaupun suara lelaki itu terdengar sangat perlahan.

“Saya tinggalkan Encik Zareed dan Cik Darin berdua dulu ya. Kalau ada apa-apa, boleh panggil saya.” Pekerja tadi meminta diri.

Tinggallah Darin berdua dengan Zareed sahaja di situ. Sungguh, keadaan begitu canggung sekarang ni. Darin tak tahu nak buat apa. Zareed pula sedari tadi asyik merenungnya. Buatkan Darin tak senang duduk.

Zareed tak tahu ke panahan matanya itu buat jantung Darin macam nak melompat keluar sekarang ni.

“Okey ke kalau I pakai baju ni?” Akhirnya Darin memberanikan diri bertanya. Biarlah Zareed nak cakap apa pun. Dia tak tahan bila daripada tadi mereka hanya diam. Sampai bila nak terus berdiam je?

“Hmm... Bolehlah. I tak kisah pun you nak pakai baju apa,” balas Zareed bersahaja. Nampak macam tak kisah. Padahal hati sudah bergelora melihat Darin dalam persalinan gaun pengantin. Ego!

Jawapan Zareed buat Darin sedikit kecewa. Bukan jawapan itu yang dia mahu dengar. Tu lah Darin, siapa suruh berharap lebih-lebih? Kan hati sendiri juga yang sakit.

“Lagipun kita kahwin bukannya atas dasar cinta,” sambung Zareed.

Darin mengetap kuat bibirnya. Siapa kata bukan atas dasar cinta? Sehingga ke hari ini dia masih mencintai Zareed. Perasaannya masih sama seperti lima tahun lalu. Malah sedikit pun tidak berkurang walaupun Zareed melayaninya dengan teruk!

Perkahwinan ini atas dasar cinta. Tapi cinta yang hanya bertepuk sebelah tangan. Hanya Darin yang masih mencintai sedangkan Zareed sudah membenci.

“I nak pergi tukar baju.” Darin terus beredar meninggalkan Zareed sendirian di situ. Tak sanggup lagi dia nak dengar kata-kata yang menyakitkan hatinya.

Zareed menghela nafas berat. Dadanya diurut perlahan. Jantungnya berdetak laju.

Kalau you tak khianati I dulu, hubungan kita tak akan jadi macam ni Darin. Gumam Zareed dalam hati.




DARIN pulang dengan rasa kecewa bila hari ini dia tidak dapat bertemu dengan Iman lagi. Kata jururawat di hospital, Iman sibuk. Tapi entah mengapa Darin rasa Iman sengaja mencari alasan kerana ingin menjauhinya.

Tapi kenapa? Dia ada buat salah ke?

Nafas dihela berat. Langkah kaki dibawa ke kereta. Masuk saja ke dalam kereta, Darin menghantar pesanan pada Iman.

To : Abang Iman
Bila abang dah free nanti beritahu Darin. Kita boleh keluar makan sama-sama.

Sekali lagi helaan berat terlepas daripada bibirnya apabila menyedari pesanan-pesanan yang dihantar sebelum ini juga masih tiada balasan.

Hairan betul. Entah apa agaknya yang dia sudah lakukan sampai Iman tiba-tiba menjauhinya. Takkan Iman merajuk tanpa sebab pula. Mesti ada sesuatu yang buatkan lelaki itu tiba-tiba menjauhinya.

Adakah kerana dia bakal berkahwin tak lama lagi?

Tapi...

Rungsing Darin memikirkannya. Sejujurnya dia mula rindukan Iman. Dia hilang tempat mengadunya. Ada banyak perkara yang ingin dia ceritakan pada lelaki itu.

Takpalah. Mungkin Iman betul-betul sibuk sekarang ini. Darin cuba memujuk hatinya sendiri.




DARIPADA kejauhan dia hanya mampu memandang Darin berlalu keluar meninggalkan bangunan hospital.

Ya, Iman memang sengaja mengelak daripada bertemu dengan gadis itu. Hatinya masih belum cukup kuat untuk berhadapan dengan Darin selepas tahu Darin bakal berkahwin tidak lama lagi.

Mungkin dia yang terlalu berharap pada Darin selama ini. Silapnya juga kerana tidak pernah meluahkan perasaannya pada gadis itu.

Tengoklah sekarang... Darin dah jatuh ke tangan lelaki lain dan dia tidak mampu untuk buat apa-apa.

Dan Iman tak sangka Darin akan kembali kepada bekas kekasihnya kembali. Bukankah Darin kata lelaki itu sudah bencikannya?

Betul lah orang cakap, yang baru tetap akan kalah dengan yang lama. Sekuat mana pun Iman mencuba, jika Darin masih mencintai masa lalunya, Iman tak mampu nak buat apa-apa. Awal-awal lagi dia sudah kalah tanpa bertanding.

Bahagia Yang TertundaWhere stories live. Discover now