“PERNAH.”
“Tak pernah.”
“Pernah ke tak pernah ni?” soal Puan Sri Naema hairan. Jawapan mereka tak sama. Seorang jawab pernah. Seorang lagi jawab tak pernah. Mana satu ni?
Darin angkat wajah memandang Zareed. Hanya ALLAH yang tahu apa yang dia rasakan ketika ini.
Tak pernah? Zareed cakap mereka tak pernah berjumpa langsung? Lalu bagaimana dengan kisah cinta mereka yang pernah tercipta?
“Reed tak pernah jumpa Darin,” balas Zareed.
“Darin pernah terserempak dengan Reed ke?” soal Datin Marlia pula.
“Rasa macam pernah.” Darin tersenyum kelat menutupi rasa hatinya. Kalau dah Zareed jawab begitu, takkan dia nak beria-ia cakap mereka pernah kenal pula.
“Ya lah, mungkin pernah terserempak. Lagipun dah lima tahun kan. Manalah nak ingat,” ujar Puan Sri Naema.
Tak. Darin tak pernah lupa langsung. Darin masih ingat semuanya.
“Rasanya makanan dah siap hidang tu. Jomlah kita makan,” ajak Datin Marlia.
Datin Marlia dan Puan Sri Naema bangun terlebih dahulu dan meninggalkan ruang tamu. Darin turut bangun tapi baru dia nak melangkah pergi, suara Zareed membuatkan langkahnya terhenti.
“Masih berani mengaku yang kita pernah berjumpa lepas apa yang you dah buat?” Sinis ayatnya kedengaran.
Darin mengetap kuat bibirnya. Dia memusingkan tubuhnya menghadap Zareed.
“Sekurang-kurangnya I jujur.”
Zareed ketawa sinis. “Jujur? Baru sekarang nak jujur?”
“Reed, jangan mula. I tak nak bergaduh dengan you.”
“Tapi you yang mulakan semuanya,” bidas Zareed kembali.
“I pun tak pernah minta kita dipertemukan kembali. Lebih baik kita tak jumpa langsung.”
Zap! Tersentap hati Zareed mendengar balasan Darin. Dia bangun daripada sofa. Selangkah demi selangkah dia menghampiri Darin. Sehinggalah jarak mereka benar-benar dekat saat ini.
Dia merenung dalam-dalam mata berwarna hazel itu. Dulu, mata ini mampu meluruhkan hatinya. Tapi sekarang setiap kali menatap sepasang mata ini hatinya jadi panas.
Tak sanggup ditatap begitu, Darin angkat kaki mahu beredar tapi Zareed lebih pantas menarik pergelangan tangannya membuatkan tubuhnya terdorong ke dada lelaki itu.
“Reed...” Dada Darin rasa nak pecah sekarang ni. Jarak mereka begitu dekat sehingga dia dapat merasai hembusan nafas lelaki itu. Dia cuba melarikan diri tetapi pegangan Zareed begitu kuat.
Zareed terdiam. Tubuhnya terasa melemah apabila suara gadis itu menampar gegendang telinganya. Suara itu... Menenangkan hatinya. Dia rindu ingin mendengar suara itu memanggil namanya.
“Darin! Reed! Mari makan.” Suara Datin Marlia kedengaran.
Darin terus merentap tangannya yang dipegang Zareed lalu cepat-cepat beredar daripada situ.
Zareed menghela nafas berat. Wajahnya diraup perlahan. Detak jantungnya berdegup kencang.
Darin... Kenapa kau muncul semula? Kenapa kau muncul semula bila aku dah mula selesa hidup tanpa kau? Kenapa? Kenapa kau buat jantung aku berdegup kencang lagi?
“DARIN tu... Cantik kan?” Puan Sri Naema menjeling sekilas ke arah Zareed yang sedang memandu itu.
“Hmm... Biasa je,” balas Zareed bersahaja. Ya ke biasa? Kalau biasa takkanlah dia jatuh cinta dekat Darin dulu. Jatuh cinta pandang pertama pula tu.
YOU ARE READING
Bahagia Yang Tertunda
RomanceAntara mereka pernah ada rasa cinta. Namun hanya kerana fitnah, cinta yang pernah ada bertukar menjadi benci dan dendam. Siapa sangka, selepas lima tahun takdir mempertemukan mereka kembali. "You boleh beritahu family you yang you tak nak kahwin den...