“KAHWIN?” Jatuh rahang Darin bila Datin Marlia tiba-tiba memberitahunya Puan Sri Naema berkenan mahu menyatukannya dengan Zareed.
Datin Marlia mengangguk. “Darin tak suka Zareed ke? Mama tengok, kau orang berdua sepadan sangat.”
Darin terdiam. Nafas dihela perlahan. Otaknya cuba menghadam apa yang sedang Datin Marlia sampaikan itu.
Andai saja Datin Marlia tahu Zareed itu bekas kekasihnya. Entah apa agaknya reaksi wanita itu.
“Darin? Darin dengar tak mama cakap ni?”
Darin mengangguk perlahan. “Mama, kahwin ni bukan hal yang main-main.”
Datin Marlia menghela nafas perlahan. “Ya, mama tahulah. Tapi sampai bila Darin nak terus membujang? Nak jadi andartu ke? Kawan-kawan sebaya Darin semuanya dah kahwin. Anak pun dah dua tiga orang. Tapi Darin? Masih nak membujang lagi?”
“Buat apa kita nak bandingkan kehidupan kita dengan orang lain? Semua orang ada jalan masing-masing.”
“Darin, mama ni cuma nak tengok Darin happy je. Selama ni mama tak pernah nampak Darin bercinta. Darin tak teringin ke nak ada pasangan macam orang lain?”
Darin terdiam. Mahu. Dia juga mahu bahagia seperti pasangan yang lain. Bercinta, berkahwin, punya anak. Semua itu impian Darin. Tapi impiannya itu terkubur sebaik saja Zareed melangkah pergi daripada kehidupannya.
“Darin, dah tiba masa untuk Darin fikirkan masa depan Darin. Sebelum mama dengan papa tutup mata buat selamanya, kalau boleh kami nak tengok Darin kahwin. Sekurang-kurangnya kami tahu ada yang boleh jaga Darin kalau kami tak ada.”
“Mama...” Hati Darin mula terusik mendengar kata-kata Datin Marlia.
“Apa kata Darin cuba dulu berkawan dengan Zareed. Kenal-kenal dulu. Kalau Darin tak berkenan, tak perlu teruskan,” pujuk Datin Marlia.
Masalahnya sekarang ini Zareed itu bekas kekasihnya. Nak suruh kenal-kenal? Mereka dah lama berkenalan.
“Darin cuba dulu ya?” Datin Marlia masih tak mengalah memujuk anak tunggalnya itu. Sebelum ini tak adalah dia beria sangat nak paksa Darin berkenalan dengan mana-mana lelaki. Tapi dia berkenan dengan Zareed. Lagi-lagi Zareed itu anak kepada sahabat baiknya sendiri. Dia percaya Zareed boleh menjadi suami yang baik untuk Darin.
Darin tak tahu nak cakap apa lagi. Jauh di sudut hatinya dia masih mengharapkan cinta Zareed. Tapi bagaimana pula dengan lelaki itu? Jelas-jelas Zareed sudah membencinya. Mahukah lelaki itu berkahwin dengannya?
JARUM jam sudah menunjukkan tepat pukul lima petang. Darin mula mengemas meja kerjanya. Waktu kerjanya sudah tamat.
Deringan telefon bimbitnya menghentikan pergerakan Darin. Tanpa melihat nama pemanggil, dia terus menjawab panggilan itu.
“Hello...”
“Darin Arleena.”
Darin kejung saat suara garau itu menampar gegendang telinganya. Hampir terlepas telefon bimbit di tangannya. Dadanya terasa sesak.
Dia kenal suara itu.
Tapi... Tapi macam mana lelaki itu boleh menghubunginya?
“Reed...” Tak terkeluar suara Darin saat ini.
“You masih cam suara I?” soal Zareed di hujung talian.
Jeda. Darin mengetap kuat bibirnya menahan rasa. Kalaulah Zareed tahu tak pernah sedetik pun dia lupakan lelaki itu. Semua tentang Zareed masih kekal di ingatannya.
“I nak jumpa you malam nanti. Sekejap lagi I send location.”
“Untuk apa?” Darin beranikan diri bertanya walaupun dia sudah dapat meneka kenapa Zareed tiba-tiba mengajaknya berjumpa.

YOU ARE READING
Bahagia Yang Tertunda
RomanceAntara mereka pernah ada rasa cinta. Namun hanya kerana fitnah, cinta yang pernah ada bertukar menjadi benci dan dendam. Siapa sangka, selepas lima tahun takdir mempertemukan mereka kembali. "You boleh beritahu family you yang you tak nak kahwin den...