Bab 7

59 7 0
                                    

DARIN mengetap kuat bibirnya. Entah kenapa mereka asyik bertembung. Melihat gadis yang berada di dalam dukungan Zareed sudah cukup buat hati Darin bagai dirobek-robek.

Sudah tentu gadis itu istimewa bagi Zareed. Darin masih ingat gadis itulah yang dia lihat bersama dengan Zareed malam itu.

“Darin, jom.” Iman datang menghampirinya.

Darin tersentak. Dia mengangguk lalu terus beredar daripada situ bersama dengan Iman. Melalui hujung matanya, dia dapat melihat jelingan tajam Zareed padanya.

“Siapa tu?” soal Misha. Dia yakin Zareed tentu kenal gadis itu. Sekarang baru dia ingat, gadis itulah yang dia jumpa pada malam majlis hari jadi Zareen.

Zareed hanya diam. Dia terus membuka langkah tanpa sepatah kata.




ZAREED melabuhkan duduknya di ruang menunggu. Wajah diraup perlahan. Terbayang-bayang di ruang mata pertemuannya dengan Darin sebentar tadi.

Apa Darin buat di hospital? Ah, ini kan hospital keluarga dia. Dia boleh datang bila-bila masa saja.

Tapi apa pula hubungan Darin dengan lelaki tadi? Zareed tak senang duduk memikirkannya. Entah mengapa hatinya jadi tak senang melihat Darin bersama dengan lelaki itu.

Adakah lelaki itu kekasih Darin? Memikirkan hakikat itu buatkan Zareed semakin tidak senang duduk. Jika benar lelaki itu adalah kekasih Darin, ini tidak adil buatnya.

Ya, tak adil. Bagaimana Darin boleh baik-baik saja selepas apa yang gadis itu sudah lakukan padanya? Bagaimana Darin senang-senang saja mencari penggantinya sedangkan dia di sini masih berusaha untuk menyembuhkan sakit yang telah Darin berikan padanya?

Lima tahun memang satu tempoh yang lama tapi sehingga ke hari ini Zareed tak mampu untuk mencari pengganti Darin. Jangankan cari pengganti, nak melupakan Darin sepenuhnya pun dia masih belum mampu.

Keluhan kasar terlepas daripada bibir. Zareed bangun daripada duduknya. Dia terus berlalu keluar daripada bangunan hospital itu. Pandai-pandailah Misha balik sendiri nanti. Lagipun kecederaan di kakinya bukan teruk mana.




ALISNYA berkerut memandang Darin. Sedari tadi gadis itu termenung sambil mengacau-ngacau air di dalam gelas menggunakan straw.

“Darin.”

Diam.

“Darin.” Kali ini Iman memanggilnya dengan lebih kuat.

Darin tersentak daripada lamunannya. Dia terus pandang muka Iman. "Ya? Abang cakap apa tadi?"

Iman menggeleng perlahan. “Abang tak ada cakap apa-apa pun.”

“Oh...” Darin termalu sendiri. Dia menyedut sedikit air di dalam gelas.

“Darin okey?” soal Iman risau. Rasa macam ada yang tak kena dengan gadis itu. Tak pernah-pernah dia tengok Darin mengelamun.

“Darin okey,” balas Darin. Duduk dibetulkan. Matanya meliar memerhati pelanggan yang ada di dalam restoran itu.

“Siapa lelaki tadi tu?”

Soalan Iman buatkan tubuh Darin mengeras. Sudah tentu lelaki yang dimaksudkan Iman ialah Zareed.

“Lelaki yang mana?” soal Darin kembali. Saja berpura-pura tidak mengerti.

“Lelaki yang dekat hospital tadi tu. Darin kenal dia?”

Darin jeda seketika. Lambat-lambat dia mengangguk.

“Dia... Dia lelaki yang Darin pernah ceritakan pada abang sebelum ni.”

Bahagia Yang TertundaWhere stories live. Discover now