“MANA Darin?” soal Dato’ Nordin apabila kelibat anak tunggalnya itu tidak singgah di mata.
“Darin cakap dia tak nak breakfast,” balas Datin Marlia sambil menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan suaminya.
Dahi Dato’ Nordin berkerut halus. Kebiasaannya hari minggu begini mereka tiga beranak akan bersarapan bersama-sama. Waktu inilah mereka dapat luangkan masa bersama. Selalunya masing-masing akan sibuk dengan urusan masing-masing.
“Abang perasan tak lepas balik daripada majlis hari jadi anak Kak Naema hari tu, Darin banyak diam je. Pelik betul. Macam ada yang tak kena,” luah Datin Marlia. Dia perasan sejak dua tiga hari ini Darin banyak menghabiskan masa berkurung di dalam bilik saja.
Dato’ Nordin diam seketika. Gayanya seperti sedang berfikir.
“Mar rasa kenapa?” soalnya.
Datin Marlia angkat bahu. “Abang bukannya tak kenal anak abang tu. Darin tu bukannya suka berkongsi dengan kita. Lebih banyak memendam sendiri je.”
Dato’ Nordin menghela nafas perlahan. Betul lah tu apa yang isterinya katakan. Darin memang jarang meluahkan isi hatinya pada mereka berdua.
“Nanti Mar cubalah slow talk dengan Darin. Manalah kalau dia tengah ada masalah.”
Datin Marlia mengangguk kecil. “Ya lah, nanti Mar cuba berbual dengan Darin.”
LANGKAH diatur masuk ke dalam sebuah kedai serbaneka. Cuaca panas begini, tekaknya teringin nak makan aiskrim. Dia menghampiri peti besar aiskrim. Pantas tangannya mencapai aiskrim cornetto berperisa coklat.
Usai itu dia melangkah pula ke rak yang menempatkan pelbagai jenis coklat. Sebungkus coklat Kit Kat berperisa green tea diambil. Selepas itu Darin terus bergerak ke kaunter pembayaran.
“Semuanya sepuluh ringgit,” ujar pekerja itu kepada seorang lelaki di kaunter.
Darin menanti di belakang lelaki itu. Dahinya berkerut halus. Tengok lelaki itu daripada belakang, mengingatkan dia pada seseorang. Figura lelaki itu sama seperti...
Zareed.
“Beg duit saya tertinggal.”
Mendengar suara lelaki itu buatkan Darin terdiam seketika. Sah! Lelaki di hadapannya itu ialah Zareed. Dia kenal sungguh dengan suara lelaki itu.
“Biar saya bayarkan dulu.” Darin terus hulur sekeping not RM50 pada pekerja di kaunter itu.
Zareed tersentak. Riak wajahnya langsung berubah saat melihat Darin.
“Tak payah. Saya letak semula barang-barang ni,” balas Zareed. Matanya masih tak lepas daripada memandang Darin. Entah macam mana boleh pula mereka bertembung di sini. Darin sibuk nak jadi hero pula tu!
Pekerja itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah dibuatnya. Duit yang Darin hulurkan tadi sudah berada di tangannya. Wajah Zareed dan Darin dipandang silih berganti.
“I tak nak hutang apa-apa dengan you,” ujar Zareed tegas.
Darin mengetap bibirnya. Benci betul Zareed dekat dia. Padahal dia bukannya ada niat lain pun. Dia cuma mahu membantu lelaki itu. Sempat Darin menjeling barang yang dibeli oleh lelaki itu.
Ada empat kotak air berperisa laici dan empat plastik roti jagung. Darin tak rasa Zareed beli semua air dan roti itu untuknya. Lelaki itu bukannya gemar minum air manis.
“I tak akan tuntut apa-apa pun daripada you,” balas Darin kembali.
“Err... Nak bayar ke tak akak, abang?” soal pekerja itu. Kut ya pun nak berdrama janganlah dekat kedai serbaneka ni. Dia ada banyak kerja lagi nak buat daripada melayan drama swasta pasangan itu.
YOU ARE READING
Bahagia Yang Tertunda
Storie d'amoreAntara mereka pernah ada rasa cinta. Namun hanya kerana fitnah, cinta yang pernah ada bertukar menjadi benci dan dendam. Siapa sangka, selepas lima tahun takdir mempertemukan mereka kembali. "You boleh beritahu family you yang you tak nak kahwin den...