Bab 1

441 23 2
                                    

BERKERUT dahi Kayyisa apabila tersedar akan renungan yang Hajar berikan kepadanya. Tak senang pula dia nak sambung tulis final year project apabila dipandang sebegitu rupa.

"Ya, Hajar? Awak nak cakap apa-apa ke?" soal Kayyisa. Anak matanya memandang tepat ke arah Hajar yang duduk di kerusi bertentangan. Kedudukan mereka terpisah dengan sebuah meja makan.

Hajar senyum dahulu. Komputer riba dialihkan ke tepi sebelum tangannya diletakkan di atas meja untuk menongkat kepala.

"Saya ada sesuatu nak bagitahu." Mata bersinar-sinar memandang Kayyisa.

"Hmm... bagitahu apa?"

"Saya nak kahwin."

"Hah? Apa? Ulang balik." Kayyisa mendekatkan wajahnya ke hadapan. Dahi semakin berlapis-lapis. Dia tak silap dengar, kan?

"Saya nak kahwin, Kayyisa," beritahu Hajar lagi, sebutir demi sebutir. Terangkat-angkat keningnya, cuba meyakinkan si kawan baik dengan apa yang dibicarakan. Bukan setakat Kayyisa malah dia juga sukar mempercayai kenyataan ini pada awalnya.

Benarlah, jodoh itu hadir tanpa disangka-sangka.

"Sejak bila awak bercinta, Hajar? Awak ada sorokkan hubungan belakang saya, eh? Baik awak jujur sekarang." Kayyisa dah bersedia nak menjeling tetapi pukulan Hajar sampai ke lengannya dahulu.

"Hesy! Mana adalah. Awak pun tahu kan saya tak pernah bercinta." Hajar geleng kepala. Itu sajalah yang Kayyisa fikirkan. Tak semestinya kena bercinta dahulu baru boleh kahwin.

"Habis tu? Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba awak nak kahwin. Kena tangkap basah, eh?" Kayyisa serkap jarang. Main lepas saja mulutnya bercakap. Walaupun dia tahu Hajar tak akan terjebak dengan perkara-perkara seperti itu.

Hajar seorang gadis yang sangat menjaga ikhtilat. Tidak seperti dirinya yang bergaul bebas dan mempunyai teman lelaki.

"Kayyisa! Awak ni... saya dah pesan jaga mulut, kan?"

Kayyisa kemam bibir. Baru sedar dia terlanjur kata. Lupa pula kena kawal percakapan apabila dengan Hajar.

"Okay, sorry..."

"Saya nak kahwin dengan Yusuf la."

"Yusuf mana? Bekas senior awak tu? Yang suka awak waktu zaman sekolah?" Membulat mata Kayyisa. Kalau betullah tebakannya, memang patut dia terkejut.

Hajar mengangguk laju.

"Awak keep in touch ke dengan dia? Kenapa saya tak pernah perasan pun?" tanya Kayyisa lagi, semakin ingin tahu. Dia rasakan kisah mereka ini terlalu menarik. Tak bercinta, tak apa, tiba-tiba nak kahwin.

"Mana adalah. Saya dah lama tak jumpa dia, bertukar cerita tu lagilah. Kali terakhir saya nampak dia, waktu sekolah menengah dulu. Lepas dia habis STAM, terus dia terbang pergi Mesir. Saya sendiri tak pasti dah berapa lama dia balik Malaysia tapi sekarang dia kerja sebagai mutawif. Tak sangka pula baru-baru ni keluarga dia datang merisik. Rupanya, dia masih berhubung dengan abang saya."

Terangguk-angguk kepala Kayyisa mendengar cerita Hajar. Dalam diam, dia sangat kagum dengan mereka berdua.

Melalui apa yang Hajar pernah beritahu, Yusuf ada menyimpan perasaan terhadapnya. Itu pun, abang Hajar sekadar menyampaikan sebagai orang tengah. Sangkaan Hajar, selama ini dia bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanya, mereka saling menyimpan rasa, dan hebatnya langsung tidak berhubung. Kata Hajar, cukuplah doa mereka saja yang bertautan.

"Wah... jadi, dengan doa je awak boleh sampai ke tahap ni dengan Yusuf?"

Hajar sengih panjang. "Ya, Kayyisa. Tapi, kenalah sertakan dengan usaha juga. Sebab tu kita tak boleh pandang rendah dengan kuasa doa. Doa ni adalah senjata mukmin yang paling ampuh. Saya pun tak sangka sebenarnya. Saya doa dan berserah seratus peratus dekat Allah. Sebab saya yakin, Dia akan bagi jodoh yang terbaik untuk saya, di waktu yang paling tepat bagiNya."

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now