Bab 7

215 18 3
                                    

PULANGNYA Puan Sajidah, Nadhif pula datang sebagai ganti. Okey, hal itu tidaklah pelik sebab Nadhif adalah abang kandung Kayyisa. Lagipun, cuma lelaki itu punya masa untuk menemani dia di hospital sementara diberi pelepasan untuk keluar wad pada petang ini.

Puan Sajidah dan Encik Hasan perlu membuka kedai sejadah, Anaqi pula sibuk dengan ofis, Eijaz lagilah... perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pegawai penjara. Wajihah tak usah kata, wanita itu mengandung jadi menyusahkanlah sekiranya dia pula yang menemani.

Tetapi yang mengundang tanda tanya Kayyisa sekarang ini, kenapa pula Fayyad dibawa sekali ke mari? Semalam dia ada, hari ini juga dia ada. Bila dibisikkan perkara itu kepada abang sulungnya sebentar tadi, Nadhif cuma memberi jawapan bahawa Fayyad sekadar melawat kerana ada masa terluang.

Kayyisa bukan tak suka, tetapi dia masih rasa asing dengan kehadiran Fayyad. Dia belum dapat terima lelaki itu sebagaimana keluarganya terima. Lebih-lebih lagi, usikan tentang mereka semakin menambahkan rasa janggal.

Apabila Nadhif ke tandas, Kayyisa mengambil peluang untuk berbicara dengan Fayyad.

"Awak ada tujuan apa ya datang sini dengan abang long?" Kayyisa bertanya terus. Tak nak bersimpang-siur. Wajahnya tidak berperasaan.

Fayyad yang sedang canggung berdiri menghadap tingkap lantas berpusing melihat Kayyisa di atas katil. Dia terpinga-pinga apabila disoal sebegitu rupa.

"Erm, saja. Nak tengok awak."

"Huh, pardon?"

"Maksud saya, nak tengok keadaan awak. Dah sihat ke belum, dah okey ke tak." Fayyad garu tepi dahi. Ringkas sangat pula ayatnya tadi sehingga boleh disalah tafsir. Dia tidak mahu Kayyisa tahu tentang perasaannya kepada gadis itu. Biarlah ia tersimpan sehingga menjadi debu.

Sebab Fayyad tahu, di hati Kayyisa cuma ada Airil. Masakan tidak, dia boleh masuk hospital kerana tekanan emosi sehingga demam panas. Fayyad kurang pasti apa yang terjadi sebenar-benarnya antara Kayyisa dengan Airil, tetapi dia tahu nak move on itu pun bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi, mereka sudah bercinta selama empat tahun.

"Okay, whatever. Awak ada sebarkan berita palsu ke dekat keluarga saya pasal saya dengan Airil?" Kali ini Kayyisa memberi soalan lain pula. Dan, hal inilah yang dia nak tahu sangat. Macam mana Eijaz boleh kata dia dah putus dengan Airil sedangkan mereka belum?

Fayyad diam sekejap. Raut wajahnya berubah serta-merta. Dari gaya Kayyisa menyoal, seolah-olah dia ini mahu memecah-belahkan keluarga mereka. Fayyad tak ubah seperti seorang pesalah.

"Saya cuma cakap awak mungkin ada masalah dengan Airil pada malam tu. Itu je, saya minta maaf kalau awak rasa saya menyibuk ambil tahu hal awak. Saya tak sampai hati nak diam bila tengok abi awak termenung dekat surau risaukan awak." Nada Fayyad perlahan. Cuba memberi balasan sebaiknya kepada Kayyisa.

"Saya tak pernah kesah awak nak rapat dengan abi ke, abang saya ke, but please don't mind my business. Saya tak suka. Apa-apa pasal diri saya, biar saya sendiri yang cakap. Awak tak perlu masuk campur." Jujur Kayyisa memberitahu. Bukan niat dia ingin menyakiti Fayyad tetapi sungguh dia tak selesa. Dan, dia tak betah mendiamkan hal ini.

Fayyad angguk. Bibirnya terkunci, buntu ingin memberi respon apa. Dia sedar, di mata Kayyisa, dia cuma orang luar.

Bagaimana Fayyad ingin luahkan apa yang terbuku di hati sekiranya inilah yang terjadi?

"Faham. Jadi, maksudnya awak masih ada hubungan dengan Airil?" Entah mengapa, Fayyad keluarkan pertanyaan itu. Mungkin tertanya apakah punca dia dipandang sebegitu oleh Kayyisa.

"Ya. Saya masih sayangkan Airil." Namun, hubungan itu juga hampir tiba di penghujungnya. Kata-kata tersebut acap kali disematkan dalam fikiran. Tak tahu mengapa Kayyisa bertindak memberi jawapan itu kepada Fayyad. Mungkin dia mahu Fayyad tahu bahawa di hatinya tetap lagi ada Airil. Sebelum terjadi sebarang kemungkinan, eloklah Kayyisa elakkan.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now