Bab 8

181 17 0
                                    

ENCIK Hasan mula berdeham apabila anak-anak lelakinya membuat isyarat mata. Setelah berbincang sesama mereka sebentar tadi, Encik Hasan memutuskan untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluarganya. Ini sajalah peluang yang ada kerana esok hari Kayyisa akan dihantar semula ke rumah sewa.

Air kopi juga sudah terhidang di atas meja, tinggal diangkat saja untuk minum. Masing-masing menanti bicara daripada Encik Hasan.

"Kayyisa dengan Airil macam mana? Okey?"

Pertanyaan mengejut itu membuatkan kepala Kayyisa terangkat memandang abinya. Terkelip-kelip kelopak mata cuba memproses isi tersirat yang ingin disampaikan. Kayyisa cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya ada sedikit kerisauan.

"Err..." Puas memikirkan jawapan yang sesuai, Kayyisa akhirnya angkat bahu. Tak tahu nak sampaikan macam mana. Nak kata mereka okey, tak la sangat. Nak kata mereka tak okey, tak ada pula pergaduhan yang teruk terjadi.

"Ingatkan dah putus. Tak putus lagi la ni?" Eijaz menyampuk. Biar dia yang tanya tanpa berlapik jika orang lain mahu berkias.

Kayyisa tak menjawab, malah dia menundukkan wajah. Sakit dia nak keluarkan jawapan daripada mulut sendiri.

Nadhif tak sampai hati nak biar Eijaz tanya lebih-lebih. Risau Kayyisa pula yang terasa. Jadi, dia bisikkan saja kemungkinan hubungan mereka kepada Encik Hasan melalui apa yang diborakkan bersama Fayyad. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Tetapi, apa yang Nadhif yakin, Kayyisa ada masalah dengan teman lelakinya.

"Kayyisa tahu kan bercinta tu tak elok? Apatah lagi dalam tempoh yang panjang. Abi tak halang kalau Kayyisa nak bersama dengan Airil. Cuma, abi rasa lebih baik ikat dengan cara yang halal. Kahwinlah, kalau Kayyisa rasa itu yang terbaik dan boleh buat Kayyisa bahagia." Encik Hasan berjeda.

"Kalau betul Kayyisa serius dengan Airil, minta Airil jumpa dengan abi. Paling kurang pun, abi boleh sembang dan kenal dulu orangnya macam mana," sambung Encik Hasan lagi. Ayat ditutur sekemasnya agar tidak kedengaran terlalu mendesak.

"Umi pun teringin sangat nak tengok lelaki yang anak umi suka." Puan Sajidah mengukir senyuman.

Dan lagi, Kayyisa cuma kaku membisu. Tak tahu macam mana nak beritahu mereka tentang situasi dia dan Airil. Kalaulah Kayyisa betul-betul bawa Airil jumpa umi dan abi, mampukah mereka terima lelaki itu sebagai menantu? Bukan setakat mereka, Kayyisa turut menyoal diri-sendiri dalam hati, betulkah Airil adalah pilihan yang terbaik? Lelaki yang akan dipilih nanti bakal menjadi teman hidupnya sepanjang hayat, bukan untuk sebulan dua.

"Umi... abi... Kayyisa faham umi dengan abi nakkan yang terbaik untuk Kayyisa. Betul, Kayyisa belum putus dengan Airil. Tapi, Kayyisa betul-betul minta maaf... Kayyisa tak dapat tunaikan permintaan umi dengan abi." Lemah tutur kata Kayyisa. Jari-jemari bersulam antara satu sama lain.

"Maksud Kayyisa?" Nadhif menyelit di tengah-tengah perbualan mereka.

Kayyisa memegang tangannya kuat. Menahan rasa daripada emosi berlebihan.

"Airil tak bersedia lagi nak kahwin dengan Kayyisa. Dia cuma nak hubungan macam ni. Walaupun makan masa yang panjang."

Terkejut semua orang mendengar bait bicara tersebut. Runsing Encik Hasan dan Puan Sajidah memandang sesama sendiri.

"Lelaki jenis apa macam tu? Kalau tak nak kahwin, tak payah bercinta. Buang masa," marah Eijaz, seakan-akan Airil berada di hadapannya sekarang ini. Berkerut-kerut muka menahan bengkak hati. Mana Eijaz tak panas kalau adik sendiri diperlakukan seperti itu.

"Jaz, sabar sikit." Anaqi bersuara ringkas.

"Kayyisa, bagitahu betul-betul. Kenapa Airil cakap macam tu? Dia ada masalah apa-apa ke?" Nadhif yang lebih rasional berbanding Eijaz menyuarakan pertanyaannya.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now