Bab 10

227 17 1
                                    

AIRIL terdiam seribu bahasa. Hilang habis kosa kata di dalam akalnya apabila sebaris ayat yang dia tidak jangka akan keluar daripada mulut Kayyisa akhirnya terungkap.

"I serius. I nak kita putus secara baik."

Apabila bicara itu diulang kembali oleh Kayyisa, yakinlah Airil bahawa situasi ini adalah kenyataan pahit yang perlu dia telan.

Persoalannya, mengapa?

Ruang sudah diberi, masa sudah dibagi. Namun, tetap juga kata putus yang diterima pada penghujungnya. Sia-sia saja penantian Airil selama lima bulan jika beginilah pengakhiran mereka. Sudahlah Kayyisa benar-benar memencilkan diri sepanjang tempoh yang lama itu. Tidak langsung diberi peluang untuk Airil memujuk atau menjernihkan kekeruhan antara mereka. Panggilan tidak berangkat, mesej juga tidak berbalas.

Lalu, hari ini tiba-tiba Kayyisa mengajak Airil untuk berjumpa. Punyalah teruja, Airil siap tempah tempat yang spesial untuk mereka makan dan menikmati pemandangan malam dari tingkat atas pencakar langit. Namun, hatinya pecah berderai apabila senario yang diharapkan tika merancang semua ini tidak berjalan dengan lancar.

"Kenapa you buat I macam ni, Kayyisa? Besar sangat ke salah I pada you? Apa lagi yang tak cukup?"

Tahan, Kayyisa. Tahan. Berkali-kali Kayyisa ingatkan diri sendiri dalam hati supaya dia tidak goyah dengan perasaan yang hadir. Lima bulan Kayyisa ambil masa untuk kuat berhadapan dengan Airil, untuk leraikan apa yang merantai diri selama empat tahun hubungan mereka. Mana boleh semudah itu dia lemah dengan kata-kata Airil.

Kayyisa masih dalam proses ingin move on dan dia tak nafikan, perasaan yang ada pada Airil kian memudar apabila dia menjarakkan diri. Tetapi dalam masa yang sama, dia tak dapat sangkal kesunyiannya tanpa lelaki itu. Airil ada di dalam hari-harinya sepanjang empat tahun mereka bersama. Dan, Kayyisa perlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan kehilangan seseorang yang pernah ada tempat istimewa di hatinya.

"Nothing. Apa yang you bagi dekat I selama ni, lebih dari cukup. You sentiasa jadikan I perempuan paling bahagia di sisi you. Salah? I tak boleh nak salahkan you, Airil. Kita sentiasa ada pilihan untuk membuat keputusan. Dan dalam hal ni, pilihan kita berbeza. Kita dah tak sehaluan bila melibatkan masa depan hubungan kita. Dan I rasa, lebih baik kita akhiri dengan perpisahan demi menjaga diri dan hati masing-masing." Kayyisa berjeda. Dia dapat rasa tubir matanya mula berair. Susahnya jadi orang yang mudah emosional. Walaupun sedaya upaya menahan tangis tapi tetap gagal.

"I nak fokus dengan diri I dan I tak nak lagi terikat dengan cinta," sambung Kayyisa lagi.

"Jadi, you dah putus asa dengan cinta kita?"

"Maybe?"

"I serius tak faham, Kayyisa. Ke sebab you dah berubah, you rasa I tak layak untuk diri you?" Semberono Airil mengajukan soalan. Perubahan penampilan dan perangai Kayyisa membuatkan dia rasa itulah punca kepada kehancuran hubungan mereka.

"Siapalah I nak nilai orang macam tu, Airil. Sikit pun, tak terlintas dalam fikiran I. I mengaku, I memang nak putus sebab I tak nak kita berterusan dalam hubungan tak sah. Tapi, I tak pernah pandang you macam tu. Walaupun I berubah, I tak pernah rasa diri I cukup baik untuk menilai orang," balas Kayyisa dengan hati-hati. Risau tersilap cakap sikit, boleh mengguris hati Airil.

"Then, let's get married if that's what you want." Airil ingin mencapai tangan Kayyisa di atas meja tetapi laju Kayyisa menarik kerana terkejut.

"Jaga batas you, Airil."

"Okay, sorry. I lupa you dah..."

"I tak nak teruskan lagi hubungan ni. I dah tetapkan hati I untuk berpisah. Dan, I takkan ubah fikiran sebab itulah jawapan kepada istikharah I. Hati I dah lapang untuk menerima perpisahan kita," ujar Kayyisa tanpa ragu-ragu. Sebaik sahaja ayat itu dilafazkan, serta-merta bahunya terasa ringan. Seperti melepaskan sesuatu yang sangat berat dan lama disimpan.

Airil terpempan untuk beberapa ketika. Wajahnya kosong tanpa sebarang riak. "Kalau I berubah pun you tak nak terima I?"

"Kalau you nak berubah, alhamdulillah. I tumpang happy untuk you. Tapi, jangan berubah sebab I, berubahlah sebab Allah. Allah akan bantu you dan Dia la sebaik-baik penolong. Kalau bukan I yang terima you pun, you pasti akan diterima perempuan yang lebih baik daripada I. Allah je tahu siapa yang terbaik untuk diri kita, Airil." Jawapan Kayyisa kali ini menyentapkan tangkal hati Airil. Membuatkan lelaki itu tak mampu lagi memberi apa-apa balasan.

Apa yang Kayyisa katakan ada benarnya. Sekeras apa pun mereka merancang, perancangan Allah adalah lebih baik.

"You tak perlu risau, Airil. Bersungguh macam mana sekalipun kita cuba pertahankan hubungan, kalau bukan berjodoh tetap akan terlerai. Walaupun berpisah beribu batu dan beribu tahun, kalau betul berjodoh tetap akan bersatu. Perpisahan ni bukanlah untuk kita bermusuhan, tetapi untuk kita mendekatkan diri dengan Tuhan," tambah Kayyisa lagi sebagai pesanan dan nasihat. Dengan harapan, Airil juga turut sedar akan hal yang selalunya kita sebagai manusia alpa dan lalai.

Kayyisa tahu Airil seorang lelaki yang baik, sangat menyantuni perempuan. Kayyisa sendiri pernah nampak depan mata cara Airil meratukan ibunya. Cuma, lelaki itu terlalu skeptikal terhadap perkahwinan akibat keruntuhan rumah tangga ibu bapanya. Gara-gara pergaduhan dan perbalahan sesama sendiri tanpa toleransi, akhirnya hubungan itu terkandas di tengah jalan.

Sebab itulah Kayyisa tidak menilai Airil hanya daripada luaran kerana cara mereka membesar tidak sama. Kadangkala, asbab ibu bapa itu sendiri boleh membentuk sahsiah anak-anak, sama ada ke arah negatif atau positif.

"I tak boleh lama-lama sangat dekat luar ni. I datang dengan abang cik I. I keluar ni pun umi dengan abi tak tahu. Kalau you nak cakap apa-apa dekat I buat kali terakhir, cakaplah. I nak kita habiskan dekat sini je," ujar Kayyisa apabila Airil cuma mengunci mulut. Notifikasi dari Anaqi yang muncul di atas skrin telefonnya sekadar dikerling sekilas.

Kayyisa tahu dia tak patut keluar dengan Airil berdua pada malam ini. Anaqi pun pada asalnya ingin menemani dia sehingga ke dalam tetapi restoran sudah pun penuh dan tiada lagi tempat duduk kerana fully booked. Dah terlanjur datang, itu yang Kayyisa teruskan saja dengan perancangan asalnya.

"I lost my word, and I've got nothing to say anymore. Keputusan you dah muktamad dan nak tak nak, I kena terima. Tapi you kena tahu, I akan sentiasa tunggu you. Kalau you masih perlukan I, rindukan I, sayangkan I, bila-bila masa you boleh cari I balik. Hati I sentiasa terbuka untuk terima you semula." Nada Airil rendah, sayup-sayup kedengaran di celahan telinga Kayyisa. Nampak gayanya pertemuan terakhir mereka tidak akan berpanjangan lagi walaupun makanan belum dihidang pelayan atas permintaan Kayyisa.

Kehilangan Kayyisa agak memberi kesan kepada Airil. Akan adakah selepas ini insan lain yang dapat menerima kelebihan dan kekurangannya seperti gadis itu? Namun walau bagaimanapun, dia tetap kena telan apa yang berlaku ini. Benar, cinta tak semestinya memiliki. Jika pilihan terbaik adalah melepaskan, Airil tega lakukan demi kebahagiaan dan masa depan Kayyisa.

"Jangan tunggu I, Airil. Penungguan tanpa kepastian hanya akan buat you sakit. Janji dengan I, ikhlaskan perpisahan kita?"

Permintaan Kayyisa lebih memberatkan dada Airil. Air mukanya keruh tanpa sebarang senyuman. Matanya sayu walaupun tiada air yang bertakung. Airil ambil nafas begitu dalam sebelum dia hembuskan perlahan-lahan.

Dia sanggup.

Dia terima.

Dia relakan.

Demi Cinta Kayyisa.

"Okey, I ikhlas you pergi."

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now