Bab 12

196 18 2
                                    

ATAS perbincangan kedua-dua belah keluarga, Kayyisa dan Fayyad akan disatukan beberapa minggu lagi. Sebulan lebih telah berlalu namun tiada majlis pertunangan diadakan. Segala persiapan hanya untuk majlis akad nikah yang akan dilangsungkan secara kecil-kecilan. Tetamu yang dijemput sekadar keluarga terdekat dan kawan-kawan rapat sahaja.

Setelah sekian lama tidak bertemu, hari ini Kayyisa dan Fayyad keluar bersama keluarga mereka untuk mencuba busana nikah yang telah ditempah. Butik pengantin yang sama sewaktu zaman pernikahan Nadhif dan Wajihah menjadi pilihan. Lagipun, pemilik butik tersebut kenalan Puan Sajidah. Pakaian yang dijahit juga cantik belaka dan paling penting patuh syariah.

Selesai urusan di butik, mereka mengambil keputusan untuk makan tengah hari di salah sebuah restoran yang terdapat dalam mall. Selepas ini, bolehlah terus ke surau untuk solat zuhur dan kemudian melangsaikan hal lain pula.

Sedang leka bersembang sesama sendiri sambil menunggu makanan, tiba-tiba ada seseorang menghampiri meja mereka. Terkejut, langsung setiap orang terdiam lalu menghalakan pandangan ke arah Kayyisa.

"Hai, lama tak jumpa. Tak sangka pula terserempak dengan you dekat sini. Anyway, saya Airil. Kawan Kayyisa." Tiba-tiba Airil memperkenalkan dirinya macam tak ada apa-apa yang berlaku antara mereka. Kayyisa tak mampu berkata-kata melainkan terbungkam kerana bekas si teman lelaki memunculkan diri secara mengejut.

Kalau pun terjumpa, tak boleh ke Airil buat-buat tak kenal saja? Perlu ke mengaku kawan? Kayyisa tak tahu nak sorok muka macam mana sebab mereka di sini kenal Airil itu siapa di dalam hidupnya.

"Oh... kamu la Airil? Pak cik pernah dengar juga pasal Airil daripada Kayyisa sebelum ni. Elok orangnya." Disebabkan suasana terlalu janggal, Encik Hasan bersuara untuk menjaga hati.

Airil tersengih mendengar pujian daripada abi Kayyisa.

"Saya biasa je, pak cik. Pak cik buat apa dekat sini ramai-ramai dengan family? Datang shopping ke?" Ramah Airil bertanya lebih lanjut.

Dia mahu betulkan kesilapan lalu walaupun sudah terlambat. Sekurang-kurangnya, bila dia sudah berubah ke arah yang lebih baik nanti, kehadirannya dapat diterima elok dalam keluarga Kayyisa.

"Hmm, shopping barang kahwin. Tak lama lagi Kayyisa nak langsung majlis. Eh, alang-alang tu datanglah memeriahkan kalau nak. Kawan Kayyisa, kan?"

Balasan daripada Eijaz membuatkan jantung Kayyisa berdegup laju. Tajam mata abang ngahnya itu dijeling. Kayyisa tahu Eijaz sengaja cakap begitu supaya Airil sedar yang dia bakal menjadi milik orang. Sekaligus ingin mengertikan lelaki itu supaya tidak mengharapkan apa-apa lagi daripadanya.

Air muka Airil berubah sekelip mata. Senyumannya tadi bertukar menjadi tawar.

"Kayyisa... nak kahwin? Dengan siapa? You tak bagitahu I pun you dah ada calon." Airil mengalihkan pandangan ke arah Kayyisa. Tetapi, Kayyisa tetap menunduk. Dia tak mahu bertentang mata dengan Airil.

"Jujur dengan I, Kayyisa."

Kayyisa menggigit bibir bawahnya.

"Ya betul, I nak kahwin. Lelaki yang duduk sebelah abi I tu... bakal suami I." Kayyisa ambil nafas sekejap untuk bertenang.

"Alang-alang you dah ada dekat sini, I cuma nak cakap yang I tak ada apa nak diharapkan lagi daripada you selain you boleh bahagia tanpa I. Itu je I minta."

Airil terkelu. Sejauh ini... kesilapannya membawa pergi. Kalau daripada awal Airil tahu Kayyisa akan bertindak seperti sekarang, Airil tak akan lepaskan dia semudah itu. Apa saja yang Kayyisa mahu bakal dikotakan tanpa banyak alasan. Namun sekarang, tiada guna lagi sebuah penyesalan kerana nasi sudah menjadi bubur.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now