Bab 11

222 15 5
                                    

HUJUNG minggu begini tak sah jika tak riuh rumah Encik Hasan dengan perangai tak semenggah anak-anaknya. Tambah-tambah pula, Nadhif turut sama bermalam di sini setelah sekian lama. Disebabkan Wajihah baru saja habis pantang, mereka datang bersama si kecil Awatif.

Tak cukup dengan itu, Fayyad ada sekali untuk memeriahkan suasana. Katanya, nak tengok anak Nadhif sementelah dia tak pernah tengok lagi.

Sebelum ini, jika dia datang ke rumah Encik Hasan, dia tak berpeluang untuk duduk sembang atau berada seruang dengan Kayyisa. Fayyad tahu tentang hajat keluarga Encik Hasan dan permintaan Kayyisa perihal mereka disatukan. Sebab itulah masing-masing tidak mengganggu dan memberi tekanan kepada Kayyisa.

Sepanjang lima bulan ini, gadis itu pun jarang balik rumah kerana nak fokus apa yang perlu sebelum tamat belajar. Rasanya, minggu lepas baru Kayyisa menetap sepenuhnya di rumah. Dia dah tak duduk di rumah sewa lagi disebabkan tiada keperluan. Fayyad tahu semua ini pun daripada Encik Hasan, juga Nadhif terutamanya.

            "Merengek-rengek dah Awatif. Pergilah tidurkan dia dulu, sayang." Si anak yang berada di dalam dukungan Nadhif serahkan kepada isterinya. Selepas Wajihah berundur ke bilik tidur, matanya beralih ke arah Fayyad dan Kayyisa.

            "Tutup cerita pasal Awatif. Ha, sekarang ni... Kayyisa dengan Fayyad macam mana? Rasanya, dah cukup masa nak bincang pasal kau orang." Nadhif bertanya terus. Alang-alang Fayyad dan Kayyisa dah ada sekali dekat sini.

Pertanyaan itu mengundang fokus setiap seorang yang berada di ruang tamu. Dalam diam, sebenarnya masing-masing nak menyuarakan hal ini tetapi tak terkeluar di mulut. Kerana itulah Nadhif menjadi wakil.

            "Setuju. Kayyisa pun dah putus dengan Airil."

            "Abang cik!" Terjegil mata Kayyisa melihat Anaqi. Tak pasal-pasal, sampai tapak tangannya di lengan lelaki itu. Dah kata suruh rahsiakan dulu, suka hati acik dia aje nak bongkarkan tanpa kebenaran Kayyisa.

            "Apa? Abang cik tolong menyampaikan je. Dah tunggu Kayyisa lambat sangat. Okey la, kan?" Anaqi menggosok lengannya. Boleh tahan sakitlah juga. Kayyisa tu dah la kurus, makin terasa tulang bila kena tapak sedas.

            "Baguslah tu. Lagi senang nak kahwinkan nanti."

Dengar ayat Eijaz lagilah Kayyisa sakit kepala. Baru beberapa hari berlalu setelah dia memutuskan hubungan dengan Airil. Tak menyempat betul kalau nak cari pengganti secepat itu. Jika mereka kahwin, dia tak nak la melukakan hati Fayyad kerana masih ada saki-baki perasaan pada Airil. Kayyisa pun tak habis fikir lagi tentang permintaan seluruh ahli keluarganya.

            "Fayyad dah stabil dari segala segi, Kayyisa baru habis belajar. Abi tak rasa ada masalah kalau nak satukan anak abi dengan orang yang abi dah percaya. Tapi sebelum tu, abi nak tanya dulu. Kayyisa setuju?" Tanpa berbasa-basi, Encik Hasan terus saja menyatakan hasrat besarnya.

            "Kalau Kayyisa setuju, kita buat majlis kecil-kecilan pun dah cukup. Tak perlu membazir. Duit yang ada tu boleh la guna untuk benda yang lebih penting." Sambungan daripada abinya lebih membuatkan Kayyisa berat hati untuk menolak. Jelas sangat harapan yang diletakkan oleh lelaki itu.

Fayyad gemuruh mendengarnya. Risau juga mendominasi hati. Lebih-lebih lagi, dia dan Kayyisa tidak berkongsi rasa yang sama. Jika mereka disatukan, akan adakah bahagia yang menanti? Ragu-ragu Fayyad nak keluarkan jawapan. Namun, akhirnya Kayyisa yang bersuara dahulu.

            "Sebelum Kayyisa jawab soalan abi, boleh Kayyisa cakap dengan Fayyad sekejap dekat luar?"

            "Kenapa nak cakap dekat luar? Cakap je la dekat sini. Apa yang nak dirahsiakan sangat?" Eijaz bertanya sangsi. Kayyisa sangat meragukan. Bukan Eijaz tak tahu yang adiknya itu masih belum dapat terima kehadiran Fayyad dalam keluarga mereka.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now