Bab 2

249 20 4
                                    

LAMA Kayyisa termenung, sentuhan Airil kembalikan dia ke alam realiti. Entah apa yang mengganggu hati dan fikiran, tangan ditarik dari genggaman lelaki itu tanpa sedar. Sekaligus membuatkan Airil tersentak dengan tindakannya yang tidak seperti kebiasaan.

"Kenapa ni, sayang? I ada buat salah apa-apa ke?"

Mendengar soalan Airil, Kayyisa menggeleng lemah. Matanya terarah fokus kepada si teman lelaki yang sedang menayang riak bingung. Nasi di atas pinggan pun tak luak-luak dek mengelamun sedari tadi.

"I tak tahu kenapa tapi... fikiran I terganggu," luah Kayyisa jujur. Walaupun dia tidak mengetahui jelas apa yang sedang dirasakan, Kayyisa yakin salah satunya adalah kerana hubungan mereka.

"Terganggu kenapa? Cuba you bagitahu I. Yang mana kita boleh selesaikan, kita selesaikan." Airil senyum manis. Harapnya dapat memujuk sedikit sebanyak hati Kayyisa. Anak mata teman wanitanya dipandang dalam-dalam, bersedia untuk mendengar segala luahan si dia.

"Tapi, you kena janji dulu. Jangan marah I."

"Okey, sayang. I janji. Takkan la I nak marah Cinta Kayyisa I ni."

Kayyisa tersengih panjang mendengar jawapan Airil. Menyempat saja beri ayat bergula. Daripada awal bercinta, sampai dah hampir empat tahun pun, layanan Airil terhadapnya tidak pernah berubah. Sentiasa manis dan sentiasa buatkan hatinya berbunga mekar.

"Hmm... you tak rasa ke hubungan kita ni macam dah lama?"

Hampir bertaut kening Airil apabila ayat itu diungkapkan Kayyisa. Dalam banyak-banyak soalan, dia tak sangka pertanyaan itu yang akan keluar. Inilah kali pertama Kayyisa membangkitkan tentang tempoh hubungan mereka. Walaupun dada Airil mula berubah rentak, dia cuba kekal tenang sebelum menjawab.

"I tak pernah terfikir dan tak pernah anggap pun hubungan kita dah lama. Baru empat tahun, sayang. Bukan empat puluh tahun. Lagipun, I masih rasa hubungan kita macam awal-awal kenal dulu. Tak ada yang berubah."

Betul juga apa yang Airil katakan. Tetapi, entah mengapa ada rasa tidak senang di hati Kayyisa dengan hubungan mereka.

"Kenapa you tiba-tiba tanya macam ni? You dah tak sayang I ke? Atau you dah bosan dengan I?" soal Airil apabila Kayyisa sekadar membisu setelah mendengar balasannya.

"Eh, tak. Bukan macam tu. Mestilah I sayang you. You ada susah senang dengan I, jadi peneman dan pendengar I. Tapi, I rasa macam ada sesuatu yang tak cukup. Sesuatu yang buatkan I rasa hubungan kita kosong. Sesuatu yang buatkan hati I tak tenang. You tak rasa ke semua benda tu?" Bersungguh-sungguh Kayyisa menyoal. Dengan harapan, mereka berkongsi perasaan yang sama.

Apabila Airil memandangnya dengan penuh aneh, Kayyisa yakin hanya dia yang merasai semua itu.

"Apa maksud you ni, sayang?"

Kayyisa menghela nafas berat. Dia tak tahu. Dan dia juga belum yakin apakah maksud perasaan ini. Tiada jawapan, hanya bahu diangkat sebagai balasan kepada persoalan Airil.

"Sayang... kalau you ada masalah, you ada fikirkan sesuatu, janganlah sampai overthinking pasal hubungan kita. Apa yang you rasa tu semua mainan perasaan je. You pun tahu I sayang you sangat-sangat, kan? I tak sukalah you tanya benda bukan-bukan ni, seolah-olah macam nak meragui perasaan I."

"I tak meragui pun, Airil. I cuma pelik. Kenapa you tak pernah ajak I kahwin selama ni? You tak pernah ada niat ke nak halalkan I, jadikan I isteri you?" Terkeluar soalan itu dari ulas bibir Kayyisa. Teringatkan tentang Hajar dan Yusuf, dia jadi ragu-ragu dengan hubungan mereka yang dirasakan masih berada di titik permulaan.

Airil kaku. Tak percaya dengan apa yang Kayyisa bicarakan. Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba nak menaikkan hal perkahwinan. Ingat soal berumah tangga ini kena fikirkan sebelah pihak saja ke?

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now