Bab 9

231 20 3
                                    

HABIS saja kelas, Hajar pulang macam biasa ke rumah sewa. Dia teruja apabila melihat kasut milik Kayyisa di luar rumah. Tak sangka kawan baiknya itu akan pulang hari ini memandangkan dia telah diberitahu bahawa Kayyisa dapat MC sehingga esok.

Kaki Hajar meluru terus ke bilik tidur Kayyisa untuk melihat keadaan gadis itu. Tak perlulah dia nak ketuk dahulu apabila daun pintu tersebut sudah pun terbuka luas. Pantas saja Hajar masuk ke dalam dan duduk di atas katil sambil melihat Kayyisa mengemas barang-barangnya.

"Bila awak balik Kayyisa? Bukan awak kata awak cuti sampai esok ke?" tanya Hajar dengan pelik.

"Tak menyabar betul awak ni kan, Hajar." Kayyisa tersengih lalu menggeleng kepala.

"Eh, mestilah! Saya risau tau bila dapat tahu awak masuk hospital. Ni, awak dah sihat ke belum?"

"Dah, Hajarku sayang. Kalau tak, tak adanya abi saya bagi balik rumah sewa hari ni. Alang-alang saya pun dah okey, baik balik sini terus. Boleh teman awak, tak ada la awak sunyi sangat bila saya tak ada, kan?" Kayyisa angkat kening.

Berkerut sekitar hidung Hajar mendengar kata-kata itu. Hesy, poyo saja Kayyisa ni!

"Yalah, yalah. Sunyi sikit je. Tapi, betul ke awak dah okey ni?" Hajar mengalih topik. Lihat daripada luaran, Kayyisa nampaknya ada perubahan yang baik daripada segi emosi.

"Okey je. Ke... awak maksudkan okey yang lain?" Kening Kayyisa mencerun ke bawah.

"Hubungan awak dengan Airil? Sebab dia ke awak demam sampai masuk hospital?"

Terhenti tangan Kayyisa yang sedang melipat dan memasukkan baju daripada bagasi ke dalam almari. Mata dihala fokus ke arah Hajar yang kelihatan ingin tahu. Sepanjang dia masuk hospital sehingga kini, Kayyisa tak beritahu dengan mendalam kepada gadis itu tentang apa yang terjadi sehingga dia pengsan. Tak peliklah kalau Hajar tertanya-tanya.

"Beberapa hari lepas, yes saya tak okey sangat. But now, alhamdulillah feeling better. Mungkin waktu tu saya banyak berfikir lepas jumpa Airil, sampai saya jadi terlalu emosional. Susah nak terima apa yang Airil cakap dan perkara tu mengganggu fikiran saya bila saya asyik berkurung dalam bilik. Saya tak keluar langsung walaupun untuk makan. Itu yang boleh pengsan. Silap saya sendiri, sebab tak fikirkan kesihatan." Kayyisa membalas jujur. Senyuman diukir untuk membuktikan dia benar-benar sudah okey sekarang. Walaupun bukan sepenuhnya.

Hajar mengangguk faham.

"Saya rasa, cukup-cukuplah awak berlarutan dalam masalah yang sama, Kayyisa. Dalam hal ni, awak patut utamakan perasaan awak. Saya sebagai kawan, turut sedih bila awak sedih. Sampai bila awak nak biarkan perasaan awak terperangkap kalau ia hanya memberi awak luka? Melepaskan memang sakit, tapi macam mana kalau bertahan lebih sakit?" Hajar menghampiri Kayyisa lalu tangan gadis itu dipegang lembut. Senyuman nipis diberikan, sekaligus cuba meyakinkan Kayyisa dengan setiap kata-kata yang dituturkan.

"Sekarang, awak mungkin boleh telan segalanya tapi bila sampai satu masa di mana awak simpan sakit tu terlalu lama, awak akan lebih terluka dan lebih lambat ambil masa untuk sembuh. Awak kena ingat Kayyisa, walaupun awak hilang Airil suatu hari nanti, Allah pasti akan gantikan seseorang yang lebih baik untuk awak. Jangan pernah takut untuk melepaskan, kalau itulah yang membuatkan awak masih bertahan sampai sekarang." Hajar hanya mampu memberi pesan secara halus. Biar Kayyisa sendiri menilai pengakhiran bagaimana yang mungkin baik untuk dirinya.

Daripada tak mahu menangis, kini Kayyisa mahu menitiskan air mata. Bukan kerana Airil tetapi kerana Hajar sendiri. Gadis ini terlalu istimewa di hatinya. Hajar dan setiap patah kata yang menenangkan tidak pernah mengecewakan Kayyisa.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now