Bab 15

180 12 5
                                    

SENYUMAN dilemparkan Kayyisa sebaik sahaja pintu rumah dibuka oleh Mak Long Hayati. Kakinya dipanjangkan ke dalam, mengikuti langkah Fayyad sebelum kekura tangan wanita itu didapatkan untuk bersalam. Wajah Kayyisa agak kendur apabila dirasakan kehadirannya tidak disambut mesra oleh si tuan rumah. Muka Mak Long Hayati langsung tidak beriak, seperti tidak suka akan kemunculannya hari ini.

            "Mak long, ni isteri Fayyad, Cinta Kayyisa. Kayyisa, ni mak long saya, Mak Long Hayati." Fayyad memperkenalkan tanpa berbasa-basi.

Kayyisa mengangguk dengan segaris senyuman. Dia agak gerun apabila mata Mak Long Hayati turun naik menyoroti tubuhnya.

            "Oh, elok pilihan kau, eh?" Mimik muka Mak Long Hayati jelas jengkel.

Kayyisa tersentak dengan respon yang diberi oleh wanita itu. Dia kurang pasti adakah ia satu pujian ataupun perlian.

            "Alhamdulillah." Fayyad hanya membalas ringkas.

            "Ingatkan dah lupa jalan balik rumah. Dah ada isteri baru ingat? Hmm... tak apa la. Kalau kau sibuk, aku pun sibuk nak keluar, ada kerja. Bilik aku dah siapkan, makan tu kau pandai-pandailah. Aku tak sempat nak masak," pesan Mak Long Hayati dengan nada yang tidak senang.

Tak sempat Fayyad dan Kayyisa nak membalas apa-apa, wanita itu terlebih dahulu keluar daripada rumah. Kayyisa kerling sedikit ke arah suaminya. Fayyad nampak agak terkejut, mungkin dia tak tahu Mak Long Hayati nak keluar secara tiba-tiba.

            "Erm awak, bilik dekat mana?" Kayyisa menyoal laju sebelum riak Fayyad semakin merudum.

            "Err... paling hujung." Fayyad tutup pintu rumah sebelum membawa Kayyisa menuju ke biliknya. Sebentar saja kaki mereka tiba di ruang tersebut kerana keluasan rumah yang kecil.

Rumah ini cuma ada dua bilik. Satu untuk Mak Long Hayati dan satu lagi untuk Fayyad. Daripada kecil Fayyad memang dibesarkan oleh mak longnya jadi bilik kedua itu memang khas untuk dia.

Masuk saja ke dalam, Fayyad ukir senyum nipis walaupun agak payah. Bilik itu sudah lama ditinggalkan namun masih kemas, malah bersih daripada sebarang debu. Fayyad jarang ke sini apabila dia sudah menetap berasingan. Tambahan pula, jarak rumah dia dan Mak Long Hayati memakan masa sejam lebih.

Kalau Fayyad datang pun, mak longnya mesti keluar. Mereka tak banyak berkomunikasi. Kalau ada, sangatlah ringkas. Daripada kecil Fayyad tak rapat dengan Mak Long Hayati. Cara dia dibesarkan juga agak kasar, tapi dia tahu Mak Long Hayati masih kesah dan baik dengannya dalam diam.

Awalnya, Fayyad sedih juga sebab dia rasa sangat sunyi. Namun, kian dewasa, kian dia mengerti dan cuba memahami. Apa yang dilalui itu menjadi kebiasaan dan akhirnya sebati dalam diri. Sebab itulah Fayyad tak kesah jika tiada peneman sekalipun. Sehinggalah Nadhif hadir di dalam hidupnya dan menjadi titik pemula kepada sebuah kebahagiaan. Fayyad rasa kehadiran lelaki itu memberi corak kepada kehidupannya yang gelap dan kosong. Dan hadirnya Kayyisa pula, menjadikan corak yang berwarna itu lebih terang dan indah.

            "Fayyad? Awak okey ke?" tanya Kayyisa apabila Fayyad seakan tenggelam dari realiti.

Fayyad berdeham seraya mengangguk. "Okey. Saya okey." Senyuman dipamer, menunjukkan bahawa dia baik-baik saja. Wajah mungkin boleh mengaburi, tetapi hati tidak bisa menidakkan.

Kayyisa duduk di atas katil sementara Fayyad meletakkan beg mereka di sebelah almari. Buat seketika, dia termenung apabila mengenangkan perlakuan Mak Long Hayati. Juga, tertanya-tanya tentang hubungan Fayyad dengan wanita itu. Mereka nampak... sangat kekok. Tak seperti sebuah keluarga di mata Kayyisa.

Cinta KayyisaWhere stories live. Discover now