MALAYSIA - OKTOBER 2023
"HUBUNGAN kita berakhir di sini Nayla. Kita putus."
Ada yang pecah tapi bukan kaca. Terkebil-kebil mata Nayla memandang lelaki di hadapannya itu. Tubir mata mula terasa panas. Ujaran Hafiz itu benar-benar menghancurkan sekeping hatinya.
"Apa alasan awak, Hafiz? Kenapa awak nak putuskan hubungan kita?" soal Nayla dengan nada bergetar.
Apa kurangnya dia sehinggakan Hafiz tergamak memutuskan hubungan mereka yang sudah lama terjalin? Bukan setahun, dua tetapi, sudah lapan tahun mereka bercinta. Bercinta sejak sekolah menengah lagi.
"Saya dah tak ada rasa cinta untuk awak lagi. Hati saya rasa kosong bila dengan awak. Dah tak macam dulu lagi Nayla," balas Hafiz tanpa reaksi. Menayangkan wajah tidak berperasaannya kepada Nayla.
Nayla ketawa sarkastik. Air mata jatuh ke pipi. Namun, segera Nayla mengesat kasar.
"Jadi hubungan kita selama lapan tahun ni sia-sia jelah? Saya faham. Walaupun kita dah lama bercinta, tapi tak semestinya kita akan bersama pada akhirnya," tutur Nayla dengan nada bergetar. Menahan rasa amarah di hati.
Hafiz tetap diam.
Nayla merengus kasar dan terus bangun daripada duduk.
"Terima kasih Hafiz Bakthiar. Terima kasih untuk kenangan yang telah kita cipta selama ni," ucap Nayla dan terus melangkah keluar dari restoran tanpa menoleh lagi.
Hafiz sudah tidak mencintainya. Sudah membuang dirinya. Jadi, untuk apa lagi dia perlu merayu pada lelaki itu? Dia bukannya perempuan yang tidak pandai berdikari, sehingga terpaksa bergantung harap pada lelaki.
Tipulah kalau dia tak rasa sedih. Hubungan percintaan mereka sudah bertahun dibina. Itu bukan tempoh yang singkat. Susah dan senang mereka bersama. Tetapi, hari ini... Hafiz Bakthiar melafazkan kata putus. Atas sebab dia sudah tiada cinta untuk Nayla.
Entah kenapa Nayla merasakan Hafiz sudah ada orang lain. Hafiz berlaku curang di belakangnya?
Nayla tak mahu menuduh. Tetapi firasat dia kuat mengatakan perihal tersebut. Tidak mengapa, semua itu pasti akan terbongkar juga suatu hari nanti.
Masuk sahaja dalam perut kereta, Nayla menyembamkan muka pada stereng kereta.
"Rilekslah Nayla. Tak guna menangis untuk seorang lelaki. Kau bukan perempuan lemah Qaseh Nayla."
"Aku benci kau Hafiz Bakthiar!"
YOU ARE READING
Antologi Cinta, Musim Luruh
RomanceMenghimpunkan empat orang penulis berbakat yang telah memenangi pertandingan Autumn Oneshot Story anjuran Lucyana Publication. 1. Qaseh Terindah Buat Thaqif - Nasyanur 2. Fall, In Love - Snowdream 3. Between You & Me - Ema Raimah 4. Forever We Are Y...