Tiga hari yang lepas.
"Mama, jangan tinggalkan saya."
Dalam hujan lebat, Jiyeon berlari mengejar Puan Lee yang berjalan menuju ke kereta seorang lelaki.
Suami barunya, Encik Kim hanya melihat Jiyeon menarik tangan wanita. Tetapi Puan Lee segera meregut kasar tangannya.
"Ma, jangan pergi." Mati Langkah Puan Lee ketika Jiyeon memeluk tubuhnya dari belakang.
"Saya merayu jangan tinggalkan saya, ma." Titisan air mata yang jatuh sama lebatnya dengan air hujan yang membasahi bumi Seoul.
Puan Lee mengetap bibir lalu berpaling ke belakang.
Jiyeon cuba mencapai wanita itu, tetapi cepat-cepat Puan Lee menepis.
"Kamu tahu tak? Penyesalan terbesar dalam hidup aku ialah berkahwin dengan ayah kamu dan melahirkan kamu..."
"... Sepatutnya aku tak melahir kamu. Sebab aku tahu kamu akan menjadi beban aku di kemudian hari, tapi Kim Jae sibuk mahukan anak dan selepas kamu lahir. Hidup keluarga yang konon indah di mata kamu tu hanyalah sebuah khayalan saja..."
"... Aku tak dapat merasakan kebebasan walau hanya seketika dan aku juga tak pernah merasakan kesenangan sewaktu menjaga kamu berdua. Pandai-pandailah kamu menjaga diri sendiri. Aku tiada waktu untuk ambil peduli hal kamu lagi. Jadi terserah pada kamu sama ada mahu pulang ke kampung, tinggal dengan nenek kamu atau teruskan hidup di sini."
Hati Jiyeon berkecai bagaikan kepingan-kepingan kecil mendengar bait ayat yang diucapkan oleh Puan Lee. Bagaimana seorang ibu yang melahirkan anaknya sendiri tergamak berkata seperti itu?
Ya, Jiyeon tahu yang hidup mereka tidak pernah merasa kesenangan seperti keluarga orang lain. Apatah lagi, Encik Kim Jae hanya bekerja sebagai pemandu dan kehidupan mereka bertambah susah selepas mendiang ayahnya lumpuh akibat kemalangan dan akhirnya meninggalkan dunia.
Baru setahun lebih Encik Kim Jae tiada. Sepanjang tempoh itu, dia melihat Puan Lee tidak pernah menangis atau merindukan mendiang suaminya.
Apa yang Jiyeon lihat, Puan Lee hanya menghabiskan waktu dengan berfoya-foya di luar sehingga lupa yang Jiyeon masih di rumah menanti kepulangannya. Adakala, wanita itu tidak pulang ke rumah berhari-hari dan apabila pulang Jiyeon hanya dianggap seperti orang gaji.
Jiyeon hanya menerima segala perbuatan Puan Lee kerana menyayangi wanita itu. Tetapi, tidak lama kemudian Puan Lee semakin berani membawa pulang lelaki-lelaki yang Jiyeon tidak kenali pula.
Hinggalah saat ini, wanita separuh abad itu sudah pun berkahwin lain tetapi Jiyeon tidak mengetahui hal itu.
"Jangan cari aku lagi. Aku benci melihat wajah kamu, sama seperti ayah kamu. Hubungan kita hanya sampai di sini. Kamu bukan lagi anak aku. Bagi aku, kamu dah mati sama seperti Kim Jae."
"Mama...." Jiyeon kematian kata-kata. Jantungnya bagai direntap kasar. Tidak menyangka Puan Lee sanggup membuang dia hanya kerana mereka kemiskinan harta? Dan menganggap anak sendiri sebagai punca kesusahan hidup mereka?
Tanpa menghiraukan Jiyeon lagi, Puan Lee masuk ke dalam perut kereta tanpa perasaan berbelah bahagi. Dari dalam kereta dia hanya melihat anak perempuan yang dia tinggalkan itu sedang berdiri kaku bersama linangan air mata. Namun, hatinya tiada rasa simpati walau hanya sedikit kepada gadis itu.
Melihat kereta yang dinaiki oleh Puan Lee beredar. Jiyeon tanpa berfikir panjang segera membuka larian untuk mengejar kereta itu dari belakang. Walau apa pun berlaku dia akan menghalang mamanya pergi.
"Mama!" Kereta yang dinaiki oleh Puan Lee sedikit pun tidak mengurangkan kelajuan. Sebaliknya, kereta itu dipandu semakin laju saat menuruni jalan berbukit.
YOU ARE READING
Antologi Cinta, Musim Luruh
RomanceMenghimpunkan empat orang penulis berbakat yang telah memenangi pertandingan Autumn Oneshot Story anjuran Lucyana Publication. 1. Qaseh Terindah Buat Thaqif - Nasyanur 2. Fall, In Love - Snowdream 3. Between You & Me - Ema Raimah 4. Forever We Are Y...