Taman Namsan, Seoul.
"Ya, saya mengaku. Saya dan Dina sudah beberapa kali keluar bersama. Biasalah kalau kami nampak mesra. Lagipun hubungan kami sudah sememangnya rapat. Tiada apa yang perlu dihairankan."
Hasya Adira memandang tepat wajah Anas Zikry dengan penuh kerutan di dahi. Dedaun berwarna kejinggaan yang sedang meluruh dari pohonnya langsung tidak dihiraukan. Dia masih lagi bingung dengan apa yang baru sahaja diperkatakan oleh jejaka itu.
"Awak serius ke ni, Anas?"
Anas hanya senyum sinis. Wajah Hasya yang masih lagi berada dalam kebingungan itu dipandang sekali lalu. Kedua belah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sambil menghela nafas perlahan.
"Just relax, Hasya. Saya dan Dina tak ada hubungan istimewa macam yang awak sangkakan. Hubungan kami terbatas sebagai junior-senior aje. Dina sendiri yang sudi untuk temankan saya keluar. Alang-alang itu bolehlah kami siapkan assignment masing-masing. Tak begitu, Hasya?"
Hasya mendengus geram. Dia tahu, alasan untuk menyiapkan tugasan universiti itu cuma sekadar untuk menutup perbuatan tidak bermoral mereka berdua. Sudah banyak kali khabar angin tentang Anas dan Dina sampai kepadanya namun baru kali ini saja Hasya dapat bersemuka dengan lelaki ini.
Anas yang dia kenal empat tahun yang lalu sangat berbeza dengan Anas yang berada di hadapannya sekarang.
"Hubungan awak terbatas sebagai junior-senior tapi tak semestinya awak mampu untuk membataskan pergaulan awak, kan? Betul ke siapkan assignment universiti ataupun ada 'assignment' lain yang awak berdua buat?"
"Wah, sejak bila awak dah pandai serkap jarang ni? Belajar dari mana, Hasya Adira?" soal Anas dengan nada sarkastik.
"Saya tak sangka awak akan jadi macam ini, Anas. Awak janji bulan bintang dengan saya tapi akhirnya awak..." Hasya senyum kecil. Lebih kepada senyum sinis.
"Betapa bodohnya saya sebab percayakan awak dan sanggup tunggu sampai awak habiskan MBA awak tu. Tapi ini yang saya dapat? Hmm, tak berbaloi langsung!"
"Kalau awak dah rasa penat untuk tunggu saya, then why not kita bawa haluan masing-masing?"
Soalan Anas membuatkan Hasya terkedu seketika. Semudah itu Anas membuat keputusan?
"Baik. Kalau macam tu, kita putus!"
Jawapan yang diberikan oleh Hasya berjaya membuatkan lelaki itu terpempan. Anas tidak menyangka Hasya mempunyai keberanian seperti ini.
Selama mereka bersama, Hasya tidak pernah gagal melayan dirinya dengan begitu baik sehingga dia dapat merasakan yang Hasya tidak akan sekali-kali meninggalkan dirinya.
"Baik. Saya setuju. Tapi saya harap awak tidak akan menyesal dengan permintaan awak tu, Hasya. Ingat, saya takkan sewenang-wenangnya kembali kepada awak walaupun awak merayu dengan air mata darah sekalipun."
Anas membalas dengan nada angkuh. Egonya turut rasa tercabar dengan permintaan Hasya itu. Namun dalam diam, dia yakin bahawa sudah pasti Hasya tidak akan boleh berpisah dengan dirinya untuk tempoh masa yang lama.
Selama ini hanya dia satu-satunya lelaki yang selalu berada di samping gadis itu sepanjang mereka berada di sini sejak zaman belajar lagi.
Anas turut yakin bahawa gadis itu tidak akan pernah dapat melupakan dirinya!
"Awak jangan junjung sangat bongkak awak tu, Anas! Saya takut awak yang akan melutut sambil merayu kat saya supaya terima awak semula."
Dada Hasya berombak kencang sambil cuba mengawal kemarahannya. Tubir mata sudah pun digenangi dengan mutiara jernih. Bukan kerana dia sedih tapi terlampau marah sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Anas mendengus. Dia terus melangkah pergi tanpa membalas dengan lebih lanjut. Keadaan Hasya juga sudah tidak diambil peduli. Rasa sayangnya terhadap Hasya sudah lama pudar sejak Irdina Qalisha atau yang lebih mesra dipanggil Dina itu mula hadir dalam hidupnya.
Dina merupakan pelajar Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang sedang menuntut di salah sebuah universiti di Seoul.
Perwatakan gadis itu yang lemah lembut dan gemar mengambil berat akan dirinya membuatkan hati Anas terpaut.
Sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan Hasya yang berperwatakan ala-ala tough girl. Bagi Anas, bercinta dengan Hasya tidak tumpah seperti bercinta dengan kaum sendiri.
Lihatlah, Hasya masih lagi menunjukkan riak wajah bersahaja apabila dia membuat keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka. Jika gadis lain, sudah semestinya mereka akan meraung-raung kerana tidak mahu berpisah dengan teman lelaki sendiri.
Hasya hanya memandang lelaki itu berlalu pergi. Dia akui masih ada rasa sayang untuk lelaki itu. Namun, kali ini dia tidak mahu lagi berdiam diri. Pelbagai khabar angin yang dia dengar tentang kemesraan mereka berdua bukan hanya sekadar teman satu universiti malah lebih daripada itu.
Semakin lama dia mendiamkan diri, semakin galak pula lelaki itu bertindak curang terhadap dirinya. Jadi, Hasya rasa sudah tiba masanya dia melepaskan Anas daripada hidupnya.
Namun begitu, dia tetap tidak dapat menahan diri daripada mengalirkan air mata. Hasya menyeka kasar air mata yang masih mengalir. Geram, marah, sedih semuanya bergabung menjadi satu.
Hasya mendongak. Dedaun berwarna coklat kekuningan yang masih lagi berguguran dari pohonnya itu dipandang sepi. Dia tidak menyangka musim luruh ini akan menjadi saksi terputusnya hubungan mereka berdua yang telah terbina selama empat tahun itu.
Tanpa dia sedar, hatinya turut dihurung dengan rasa hiba. Hmm, sudahlah sekarang musim luruh, boleh pula kena curang dengan teman lelaki sendiri.
Malangnya hidup kau, Hasya Adira!
"Tak salah pun kalau kau nak menangis."
Suara garau itu sedikit sebanyak membuatkan Hasya tersentak. Eh, sejak bila pula lelaki asing ini berada di sebelahnya?
Lelaki itu memandang kosong ke arah Hasya. Seketika, dia mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna coklat lalu dihulurkan kepada gadis tersebut.
"Nah, untuk cover muka buruk kau tu."
Hasya mengemam bibir namun tangannya tetap mengambil sapu tangan tersebut. Air mata yang ditahan sejak tadi mula mengalir deras tanpa dipinta. Hasya menangis tanpa suara. Dia turut melindungi wajahnya dengan menggunakan sapu tangan itu.
Lelaki asing itu hanya berdiri bersebelahan dengan Hasya tanpa berkata apa-apa. Mujurlah tiada orang yang lalu-lalang di sini. Mungkin kerana suasana yang agak dingin pada hari ini membuatkan para pengunjung mengambil keputusan untuk meluangkan masa di dalam kawasan yang bertutup. Contohnya, kafe.
Hasya menyedut hingusnya buat kali yang terakhir sebelum dia memandang semula ke arah lelaki itu. Dia masih lagi tertanya-tanya siapakah lelaki ini namun persoalan itu hanya terkubur dalam mindanya begitu saja.
"Dah puas menangis?"
Hasya mengangguk.
"Thanks, rasa lega sikit bila dah dapat lepaskan semuanya. By the way, awak ni siapa?"
Lelaki itu tersengih lalu menggosok sedikit hidungnya yang sudah kemerahan akibat kedinginan.
"Just a stranger. Aku ada kat situ masa kau tengah bergaduh dengan jantan tu."
Lelaki itu memuncungkan bibirnya sambil menunjuk ke arah tempat yang dimaksudkan.
Hasya hanya mengangguk kecil.
"Dahlah. Aku pergi dulu. Jaga diri kau baik-baik."
"Eh, sekejap. Sapu tangan awak ni..."
"It's okay. Kau simpan aje la. Lagipun kau guna sapu tangan tu buat lap hingus kau, kan?"
Pipi Hasya serta-merta menjadi kemerahan. Lantas dia menyimpan semula sapu tangan tersebut ke dalam poket sweater yang dipakainya.
Belum sempat dia mengucapkan terima kasih sekali lagi, lelaki tersebut sudah pun jauh melangkah meninggalkan dirinya.
Hasya hanya mengukirkan senyuman kelat sambil melihat lelaki itu sehingga hilang daripada pandangannya.
"Terima kasih, orang baik."
YOU ARE READING
Antologi Cinta, Musim Luruh
RomanceMenghimpunkan empat orang penulis berbakat yang telah memenangi pertandingan Autumn Oneshot Story anjuran Lucyana Publication. 1. Qaseh Terindah Buat Thaqif - Nasyanur 2. Fall, In Love - Snowdream 3. Between You & Me - Ema Raimah 4. Forever We Are Y...