Mr. Michael sedang menutup pintu hadapan kedainya ketika saya sampai. Dia menggeleng melihat saya yang kelam-kabut membuka buku nota untuk menulis. Dia tidak sepatutnya menutup kedai seawal ini.
'Nak pergi mana?' tanya saya. Saya tak risaukan beras.
"Kau nak apa, Ansar? Minyak masak habis ke?" Lelaki cina separuh abad itu tersengih sehingga matanya hampir tidak kelihatan. Rambut panjangnya yang beruban kali ini disisir kemas. Saya berasa lega. Sekurang-kurangnya saya tahu dia menutup kedai bukan sebab suatu masalah. Saya menggeleng.
"Gas memasak? Lilin?"
Saya menggeleng sambil menghalakan sekali lagi buku nota saya ke arahnya. Mengulang semula soalan saya yang tidak berjawab tadi.
"Ah, aku nak pergi ke Golden Triangle, hantar barang." Mr. Michael menghalakan jari telunjuk ke arah van buruknya yang berwarna biru cair. "Kau nak apa Ansar? Beras?"
Saya mengangguk. Kemudian menggeleng. Dia pasti akan membuka semula pintu kedainya yang sudah dikunci itu demi mengambil beras untuk saya nanti. Dia mengerutkan kening lalu ketawa melihat saya.
"Tak apa, tak apa. Aku boleh buka balik kedai ni untuk kau. Bukannya susah pun pintu ni. Kau nak beras, kan?"
Saya mengangguk.
Mr. Michael membuka semula pintu dan menghilang ke dalam kedainya yang gelap. Dia kemudiannya kembali ke luar dengan sekampit kecil beras putih.
"Nah. Bayar lain kali bila kau datang sini balik. Aku malas nak buka kunci peti duit. Ada lima kunci kat benda tu."
Saya menunjukkan isyarat tangan terima kasih.
'Lalu Jalan Imbi?' tanya saya.
"Tak lalu. Tapi dekat saja dengan tempat yang aku nak pergi. Kau nak tumpang? Pergi mana kat Jalan Imbi?"
'Ambil ubat ayah,' tulis saya.
Ayah dan ibu pasti tidak kisah jika saya kata yang saya ditemani Mr. Michael. Saya mengenalinya sejak saya kecil. Isteri Mr. Michael menganggap saya seperti anak mereka sendiri memandangkan mereka hanya berdua sahaja, dan saya satu-satunya kanak-kanak yang sudi mendengar cerita zaman tahun 2000 mereka tanpa berasa bosan.
Semasa saya berumur 12 tahun, ayah tidak mampu lagi membawa saya keluar pergi ke kedai kerana kakinya dipotong disebabkan diabetes. Saya mengambil masa setahun untuk kumpulkan duit poket supaya dapat membeli basikal supaya dapat pergi ke kedai Mr. Michael semula. Pada hari saya membeli basikal itu, saya dapat berita daripada ayah bahawa isteri Mr. Michael meninggal dunia pada pagi itu kerana keracunan dos ubat.
Saya sepatut membeli basikal itu lebih awal. Mungkin sehari sebelumnya. Mungkin jika saya pergi ke sana, isteri Mr. Michael akan gembira berjumpa saya, lalu dia tidak akan makan terlalu banyak ubat.
Saya patut beli basikal itu pada sehari sebelumnya. Saya patut buat begitu....
"Ayah kau kata, kau nak pindah ke TMCC. Jadi orang TMCC," Mr. Michael yang memandu di sebelah bercakap tanpa memandang ke arah saya. Saya kenal riak wajahnya yang sebegitu. Saya pernah melihatnya pada hari pengebumian isterinya dahulu.
Hati saya terasa seperti tenggelam dalam suatu dasar yang tidak berpenghujung. Saya berasa bersalah. Saya patut memberitahunya sendiri berkenaan hal penting sebegini. Dia sepatut mendengarnya sendiri daripada saya. Bukan daripada ayah atau orang lain.
Saya membuka buku nota dan menekan hujung pen.
"Tak apa. Tak apa." Mr. Michael mengisyaratkan agar saya berhenti menulis. "Kau dengar saja apa yang aku nak cakap."
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.