Saya mencari Farahain di setiap bilik di dalam kawasan M, tetapi kelibatnya langsung tidak kelihatan. Kalaulah saya mampu bercakap sekarang, pasti mudah untuk saya memberi arahan kepada Kom untuk menghubunginya.
Saya perlu memberitahu Farahain, tentang Hoody serta apa yang dikatakannya tentang sesuatu atau seseorang yang dipanggil Harraz itu, tentang M mula bertindak, dan tentang dia terkejut apabila dia tahu saya adalah seorang M bertahap tinggi.
Saya yakin dia perisik dari koloni X dan N. Dia pasti telah lakukan sesuatu di koloni R tadi.
Tetapi saya tidak berjaya menemukan Farahain. Jadi saya kembali ke lobi Institut koloni R. Seperti yang saya agak, Arfan dan Danish sudah tidak berada di situ. Saya tidak minta mereka menunggu saya. Cuma saya agak berharap yang mereka masih ada di situ.
Selepas itu saya terus pulang ke bilik saya. Itu tempat paling selamat sekarang, sebab saya yakin Hoody pasti akan membelasah saya jika kami terserempak lagi.
***
Keesokan harinya saya pergi mencari Farahain lagi. Tetapi dia masih lagi tiada di situ. Apabila saya bertanya tentangnya pada doktor yang sama-sama menjalankan pembedahan ke atas saya tempoh hari, doktor itu memaklumkan Farahain pergi bekerja di koloni M untuk beberapa hari.
Saya balik ke bilik selepas sarapan dan hanya berbaring merenung siling.
Saya terfikir tentang amaran Hoody semalam.
"Ada orang akan mati sebab kau!"
Kenapa ada orang akan mati disebabkan saya? Apa yang saya sudah buat di TMCC ini sehingga menggugat kedudukan mana-mana koloni, terutamanya X dan N? Apa kaitan high level Empath dengan perbalahan antara koloni? Dan... Harraz tu siapa pula?
Saya beralih ke arah kiri dan kanan di atas katil. Semua ni mengelirukan saya. Saya cuma buat pemerhatian. Bahayakah semua itu?
Buat seketika saya berasa marah pada Farahain. Dia tidak menceritakan dengan habis kepada saya tentang perbalahan antara koloni ini. Setiap kali saya terfikir yang Farahain cuma mahu mempergunakan saya, otak saya berasa seperti mahu meletup. Bayangkan pula kalau-kalau dia sengaja merahsiakan sesuatu daripada saya.
Ah! Tetapi mungkin juga dia tidak bercerita lanjut kerana saya belum bersedia, atau perkara itu tidak berkaitan dengan saya.
Tetapi masakan ia tidak berkaitan dengan saya? Habis itu, apa yang Hoody cakap berkenaan M tahap tinggi itu apa? Yang semua orang di kelas R berbisik-bisik di sekeliling saya tempoh hari itu apa?
Pasti individu M bertahap tinggi ini ada peranan besar dalam TMCC.
Saya berjalan-jalan di kawasan kajian dalam Institut. Saya banyak menghabiskan masa di situ, kerana saya belum diizinkan masuk ke dalam kelas M. Manakala bilik saya pula sangat membosankan. Ketika itu saya terdengar suara kanak-kanak menangis di dalam salah sebuah bilik rawatan.
Saya menghampiri sebuah pintu dan mendekatkan telinga. Bunyi tangisan itu datang dari situ. Itu suara kanak-kanak yang berumur dua tahun yang saya mula-mula perhatikan identitinya bersama Farahain. Di dalam bilik tersebut juga ada beberapa orang dewasa yang sedang berbual dengan butir perbicaraan yang tidak jelas. Kemudian suara-suara itu menghampiri pintu. Saya berlari bersembunyi di satu sudut yang terselindung.
Seketika kemudian mereka keluar dan berhenti di depan pintu.
"Budak ni memang tak nak berhenti menangis ke?" kata seorang lelaki.
"Dia budaklah. Apa yang kau expect?" jawab seorang wanita. Diikuti suaranya tertawa.
"Dia macam tahu-tahu dia akan terpisah daripada keluarga dia, untuk pindah ke M."
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.