Saya tidak tahu berapa lama kami berada dalam van berkenaan. Mungkin satu jam. Kami melalui jalan-jalan yang kelam dalam bandar lama ini. Imran dan Anfal mungkin sudah tidur. Saya hanya dapat melihat bayang-bayang Syahid dan Mr Michael di hadapan. Mr Michael terlentok pada penyandar kerusi.
Saya tidak berasa mahu tidur.
Betulkah saya bukan M?
Saya tidak boleh berhenti berfikir tentang itu sejak dari tadi. Rasanya pelik, sebab saya terbiasa jadi M sejak dahulu. Tetapi boleh jadi juga saya memang N, sebab keputusan peperiksaan saya sentiasa cemerlang. Sebenarnya di sekolah, ramai orang sisihkan saya bukan hanya kerana saya pekak dan bisu, tetapi kerana saya pelajar paling pandai dan sentiasa dijadikan perbandingan oleh cikgu semasa dia sedang memarahi pelajar lain.
Mungkin saya memang N. Cuma saya yang tidak terbiasa dengannya, sebab saya dah set dalam kepala yang saya adalah seorang M.
Apabila saya terpandang ke arah Imran, saya tidak sengaja tergelak sinis. Rasa macam bodoh pula apabila saya berjaya mengesan dengan betul identiti sebenar Imran dan orang lain, sedangkan saya tidak yakin dengan identiti sendiri.
Cahaya lampu menerangi van berselang-seli dengan kegelapan. Anfal mengomel lalu menggosok matanya kerana matanya silau dipermainkan lampu berkenaan. Saya mendekat ke arah tingkap belakang van. Kami telah sampai ke sebuah bandar yang hidup. Mungkin TMCC. Kemudian saya dengar Syahid memberitahu yang 'kita dah sampai ke koloni R', 'bergerak terus ke koloni X', dan 'orang-orang kita dah bukakan jalan masuk.'
"Mana pergi semua orang?" Saya mendengar suara Imran. Dia sudah berada di sebelah saya.
"Mungkin dah bersembunyi dalam bilik kebal atau mana-mana tempat perlindungan. Kan mereka fikir Kem Batu nak pecahkan empangan?" jawab Syahid.
Bagus juga perkara ini jadi sebegini, saya fikir. Sekurang-kurangnya apabila empangan betul-betul diletupkan oleh Farahain dan Arfan, semua orang sudah bersedia hendak menghadapinya. Saya terfikir juga sama ada Farahain benar-benar berniat mahu membunuh semua orang di TMCC atau tidak. Sebab dia pun tahu Tuan Haidar sudah beri amaran awal kepada TMCC.
Saya bersandar semula pada tempat saya duduk tadi.
"Mr. Michael! Kepala Mr. Michael berdarah balik!" jerit Ansar sambil menerpa ke hadapan.
Saya bingkas bangun mengikutinya. Memang betul. Ada darah meleleh di leher Mr. Michael. Darah itu seperti sudah lama menitis, tetapi kami baru perasan sebab tadi jalan gelap. Mr Michael pula sudah tidak sedarkan diri. Wajahnya pucat lesi.
"Kita pergi hospital R terdekat." Syahid memandu dengan lebih laju. Saya boleh mendengar dia berbisik, "Tapi mana hospital terdekat?"
Jauh di hadapan, bangunan Institut tersergam tinggi dengan cahaya gah. Bangunan paling menonjol dalam TMCC di hadapan langit yang gelap. Kami bergerak terus ke arahnya, berharap dapat bertemu mana-mana hospital dalam perjalanan.
Tiba-tiba telinga kanan saya berdesing dengan kuat, seperti yang berlaku kepada saya semasa lari daripada Mr. Michael dahulu. Van juga tiba-tiba bergerak melelong dan membrek mengejut, menyebabkan kami semua tergolek di sana sini. Saya terhantuk pada kotak besi yang ada di sebelah Anfal. Saya meraung dan menekup telinga.
Kali ini sakitnya lebih lama dan saya tidak berseorangan. Imran dan Syahid juga menekup telinga. Anfal memanggil nama kami dalam keadaan panik sedangkan tangannya masih memangku kepala Mr. Michael.
Saya mengerekot. Bunyi berdesing itu menjadi sangat kuat buat beberapa saat dan tiba-tiba hilang. Kami bertiga bernafas tercungap-cungap. Badan saya berpeluh dan mata saya berair. Saya dan Imran saling berpandangan. Buat seketika saya berasa lega sebab kami berkongsi rasa sakit yang sama.
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.