5

4 1 0
                                    

Saya terdengar bunyi berdesing yang perlahan dan sayup di kedua-dua belah telinga saya. Cahaya di dalam bilik itu lebih redup daripada mana-mana tempat di dalam institut berkenaan.

"Ansar...." Saya terdengar suara berbisik di sebelah katil saya. "Macam mana keadaan awak?"

Farahain. Seorang doktor muda yang berkulit cerah dan berhidung tajam. Dia memakai pakaian seragam M dan rambut perangnya diikat sanggul. Mungkin umurnya sekitar 30-an.

Dan anehnya Farahain masih terus-menerus bercakap dalam keadaan berbisik. Begitu juga dengan seorang lagi doktor di sebelahnya. Saya hanya merenung mata hijau mereka dengan keliru, dan menggeleng apabila mereka bertanya sekiranya ada saya berasa sakit.

"Tahniah Ansar! Pembedahan awak berjaya. Lancar. Sekarang kami akan jalankan ujian ke atas mata dan alat komunikasi awak dulu," kata Farahain.

Saya merenungnya lagi dengan mata terkebil-kebil. Ada yang tidak kena dengan mata saya.

"Dia okey ke, Dr. Farahain?" Saya terdengar doktor yang seorang lagi berbisik sambil memandang ke arah saya dengan pandangan yang aneh. "Patut ke kita check dia semula, mana tahu ada side effects lain ke?"

Saya memaksa diri untuk senyum.

"Tunggu. Biar kita betulkan setting mata dulu," balas Farahain tanpa memandangnya.

Saya hanya duduk di situ sambil memerhatikan Farahain menekan sesuatu pada skrin di sebelah katil. Sesekali dia dan doktor wanita tersebut menjeling ke arah saya. Tidak lama selepas itu saya mula berasa yang bilik itu semakin terang.

Saya menunduk menahan silau. Mata saya sakit. Saya mengisyaratkan kepada Farahain tentangnya.

"Maafkan kami, Ansar." Farahain memandang saya dengan resah. Dia menunggu sehingga saya mampu memandang ke arahnya semula. "Mata awak sedang adjust dengan keadaan sekeliling sekarang. Ia mungkin ambil masa beberapa jam untuk ia jadi stabil. Dalam masa tu, mungkin awak perlu berjalan dengan lebih berhati-hati. Dan...."

Farahain merenung kembali ke arah skrin komputer.

"Untuk Kom pula... ia ambil lebih banyak masa untuk adjust dengan otak dan saraf awak. Dan identiti awak perlu disahkan dulu. Lepas tu, akaun khas untuk awak berkomunikasi juga perlu disahkan. Lagipun Kom ni ada features istimewa untuk pendengaran awak. Jadi, saya harap awak tak kisah kalau menunggu sampai prosesnya selesai, ya?"

Saya mengangguk. Mungkin senyuman tawar saya membuatkan Farahain menjadi kurang resah. Buat masa ini penglihatan saya sama sahaja seperti sebelumnya, kecuali mungkin warna anak mata saya sudah berubah daripada warna asal – coklat gelap menjadi hijau gelap. Pendengaran saya pula berubah jadi berdesing dan bising.

Saya memegang cuping telinga kanan saya. Ada logam sejuk yang terlekat secara kekal padanya. Pada waktu itu, saya baru terasa perasaan sebenar apabila melangkah ke dalam TMCC. Kini saya kelihatan seperti mereka.

Anfal mesti sangat marah apabila dia nampak saya nanti.

Saya masih tidak tahu bila dan bagaimana 'prosesnya' akan selesai. Mungkin Farahain akan datang kepada saya dan memaklumkannya nanti.

Saya menunggu selama dua jam di dalam bilik berkenaan. Bilik besar itu kosong, melainkan terdapatnya katil saya, sebuah kerusi, dan beberapa peralatan dan mesin besar yang saya tidak ketahui fungsinya. Farahain dan doktor yang seorang lagi tadi sudah pun keluar meninggalkan saya di situ sejam yang lalu dengan pesanan supaya saya berehat. Tetapi entah kenapa rehat yang terlalu lama ini semakin memenatkan badan saya. Jadi saya mengambil band akses saya dan keluar berjalan-jalan di dalam bangunan berkenaan.

Koloni (M)Where stories live. Discover now