10

5 0 0
                                    

"Apa yang berlaku ni, Ansar?" Arfan menerpa ke arah saya semasa saya masuk ke bilik kurungannya.

"Mereka dah bunuh Dan. Sekarang apa yang mereka nak buat pada saya? Saya tak dibenarkan hubungi sesiapa. Kom saya dipintas. Nak pergi tandas pun saya kena jelaskan berkali-kali, barulah mereka izinkan. Nak solat pun saya tayamum saja."

Saya memikirkan ayat untuk dibicarakan.

"Awak pun ditangkap macam saya ke? Apa yang jadi pada Dan?" katanya lagi. Dia mengundurkan badan dan melihat saya daripada atas ke bawah. "Mana buku nota awak? Macam mana awak nak cakap dengan saya?"

"Saya boleh cakap," balas saya.

"Awak boleh?" Arfan melopong. "Apa yang berlaku sebenarnya ni? Awak main-mainkan saya ke?"

"Saya memang tak boleh bercakap sebelum ni. Tapi sekarang saya boleh."

Arfan merenung saya buat beberapa saat sebelum menggeleng. "Semua ni buatkan saya makin peninglah."

"Dengar Arfan," saya bercakap separa berbisik, "kita dah selamat. Kita ada di Institut."

"Institut?"

Saya mengangguk lalu bercakap tergagap-gagap semula. "Semua ni salah faham. Saya minta maaf bagi pihak Farahain. Sebab awak ditahan kat bilik ni. Saya dah yakinkan mereka. Untuk bebaskan awak. Lepas awak keluar. Awak sembunyi dulu. Sebab kita berdua nampak. Apa yang pasukan X buat pada Danish. Mereka mungkin. Tak akan lepaskan. Kita begitu saja."

"Awak.. Awak pula macam mana?"

"Saya kena ada kat sini. Mereka perlukan saya untuk cari seseorang...."

"Kejap. Do you trust them?" sampuk Arfan.

Saya diam seketika sebelum mengangkat bahu. "Mungkin?"

Serentak dengan itu pintu dibuka dari luar dan Farahain melangkah masuk.  "Ansar?"

Saya menoleh ke arahnya.

"Dah sampai masa."

Wajah Arfan berkerut tanda tidak berpuas hati. "Sampai masa untuk apa?"

"TMCC diancam bahaya," terang Farahain kepada Arfan, "Koloni N menyebabkan hal-hal seperti yang berlaku pada Danish ni terjadi. Mereka sorokkan NVBS untuk sembunyikan kebenaran. Mereka manipulasikan identiti orang untuk kepentingan sendiri. Sebelum ni kami tak mampu buat apa-apa kerana NVBS dikawal rapi oleh mereka. Tapi sekarang kami ada Ansar untuk bantu kami."

"Sebab dia high level M?"

"Ya, dalam kata lain, Ansar adalah NVBS kami." Farahain kemudiannya mengisyaratkan saya supaya segera mengikutnya keluar.

"Saya ikut dia!" Arfan melaung ke arah Farahain seolah-olah Farahain berdiri 50 meter daripadanya. Kemudian dia merendahkan semula suaranya. "Saya nak ikut."

"Apa awak buat ni? Kan saya dah kata, awak dibebaskan?" saya berbisik kuat.

"Kita tak tahu apa yang mereka akan buat pada awak nanti. Saya pun tak tahu sama ada saya akan betul-betul selamat kat luar sana. Kat mana-mana pun, situasinya sama saja bagi saya. Sekurang-kurangnya kalau saya ikut awak, kita boleh saling selamatkan diri masing-masing."

Saya memandang ke arah Farahain. Dia nampak keliru dengan mesyuarat rahsia kami berdua.

"Tolong, Ansar, izinkan saya ikut. Saya nak tahu apa yang berlaku. Kawan saya mati sebab mereka." Dia menunduk bagi menyetarakan wajahnya dengan wajah saya. "Tolonglah."

Saya berpaling sekilas ke arah Farahain sebelum memandang Arfan semula. "Awak tak tahu apa-apa tentang misi ni. Lagipun, saya tak tahu pun kalau mereka akan izinkan...."

Koloni (M)Where stories live. Discover now