Saya dan Imran ditolak ke arah sudut bilik berkenaan. Saya cuba membuka ikatan pada tangan saya tetapi gagal. Imran pula nampak lebih tenang. Namun saya melihat jarinya ligat menari di antara tali yang berpintal, cuba membuka simpulan.
"Jangan cuba," kata Kevin sambil mengacu jari telunjuk ke arah kami berdua. Buat seketika, tangan kami berhenti bergerak. Kevin berjalan ke arah Arfan dan Farahain yang sedang berbincang.
Farahain sempat memandang saya sekilas sampai tergelak kecil. Arfan mengikut ketawa.
"Kan aku dah kata, mereka berdua akan datang ke sini," katanya, "Tak perlu jadi high level N pun untuk jadi bijak."
Dia menjeling ke arah Imran. Imran mencebik.
"Sekarang bila mereka dah ada kat sini, selesai kerja kita. Biar mereka mati sekali dalam letupan ni," kata Farahain.
"Semuanya takkan selesai dengan bunuh X dan N, Farahain. Atau dengan musnahkan NVBS. Manusia boleh bina semula hidup lepas ni. Awak buat kerja sia-sia," saya melaung dengan yakin. Sengaja mahu menjatuhkan motivasinya.
Farahain ketawa besar, malah dibuat-buat. "Memang manusia boleh bina semula hidup lepas ni. Tapi tentulah tanpa alat dan mesin bodoh ni. Aku cuma nak hapuskan kau berdua supaya kod-kod tu lenyap buat selama-lamanya. Dan aku nak rosakkan jana kuasa utama bandar ni supaya mereka tak boleh hidupkan semula NVBS, kalau-kalau mereka bina semula software NVBS ni dalam masa tujuh hari ni. Tapi ya, tak ada masalah...."
Farahain mendepakan tangan kanannya ke arah saya. "Sebab kodnya dah tak ada! Kevin, campak dia ke bawah!"
Mata saya terbeliak. Campak saya ke bawah? Ke bawah tembok empangan ini?
Imran cuba bangun untuk melawan, tetapi Kevin cepat-cepat menumbuk mukanya sehingga dia terhantuk ke dinding. Imran tidak mampu berdiri selepas itu. Kevin memaksa saya berdiri tetapi kaki saya terasa longlai. Sebab saya tahu saya akan mati.
"Kalau awak bunuh saya!" saya melaung. Kevin terhenti. Saya memandang ke arah Farahain. "Kalau awak bunuh saya, tak ada sesiapa lagi yang tahu tentang kod tu. Betul? Jadi tolonglah. Saya merayu, jangan letupkan empangan ni. Bunuh kami saja dah cukup!"
Farahain menjeling ke arah saya dengan sangsi. Arfan pula merenung lantai, seperti sedang memikirkan sesuatu.
Akhirnya, Farahain mengarahkan Kevin untuk meneruskan tugasnya. Kevin mengheret saya ke arah sebuah pintu lain yang menghala ke arah air empangan.
Saya meronta-ronta pada mulanya. Kemudian apabila kami keluar melepasi pintu, saya penat. Mungkin saya memang ditakdirkan berjumpa semula dengan ayah dan ibu seawal ini. Anfal akan baik-baik sahaja. TMCC dan Bazar akan baik-baik sahaja. Saya akan baik-baik sahaja. Pandangan saya kabur kerana ditakung air mata.
"Farahain, talk to me. I know you can hear me." Suara itu tiba-tiba muncul di Kom.
Kevin berhenti berjalan. Saya dapat rasa badannya beralih menghadap Farahain. Mereka juga mendengar suara tersebut. Saya cuba menstabilkan badan dan melihat apa yang berlaku. Semua orang dalam bilik sedang menumpu pada wajah seseorang yang muncul pada pod komunikasi.
Farahain menjulingkan mata ke atas. Arfan memandangnya sambil menjungkit kening.
"Apa lagi yang dia ni nak?" kata Farahain sambil menekan sesuatu pada skrin berkenaan. Status pada skrin yang bertulis 'Connecting' bertukar menjadi 'Connected.'
"Kau nak apa, Haidar? Ingat pesan aku, jangan datang dekat dengan empangan. Pasukan aku akan tembak sesiapa saja yang datang dekat," kata Farahain malas-malas. Dia berdiri di hadapan pod tersebut, menyebabkan pandangan saya ke skrin pod terhalang.
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.