4

6 1 0
                                    

Hari masih malam apabila saya terjaga tiba-tiba dalam keadaan berdebar-debar. Saya mimpikan Auntie Mei lagi. Saya berasa saya tak akan mampu lelapkan mata lagi. Saya perlu bercakap dengan seseorang.

Saya ambil buku nota dan gantungkannya ke leher sebelum menjenguk ke arah luar pintu bilik. Ruang tengah itu sudah gelap. Jadi saya boleh nampak ada cahaya api lilin yang keluar daripada celah-celah pintu bilik Anfal.

Bazar hanya dibekalkan dengan tenaga elektrik selama lima jam dalam sehari. Bekalan kuasa sudah dihentikan sejam yang lalu. Kami semua terpaksa menggunakan lilin sebagai sumber cahaya. Saya pernah miliki tab menulis dan pen stilus suatu masa dahulu. Tetapi kesemua gajet itu perlu dicas dengan kerap kerana ia versi lama. Lama-kelamaan saya tidak mampu menggunakannya sebab tenaga elektrik terlalu terhad. Akhirnya saya berbalik pada cara lama. Menulis dalam buku nota menggunakan pen.

Saya mendekati pintu tersebut dan mengetuk perlahan. Kemudian merapatkan telinga kanan kepada pintu bagi mendengar jawapan Anfal – atau sekadar getaran– kadang-kadang saya tidak boleh bezakan.

"Apa?" kedengaran laungan Anfal dari dalam.

Saya membuka pintu sekadar untuk memuatkan muka melaluinya.

Anfal sedang duduk di meja belajarnya sambil memegang kalkulator. Jelaga api lilin terliuk-liuk di atas meja berkenaan, menghasilkan tarian bayang-bayang Anfal pada dinding di belakangnya. Saya tahu Anfal tidak menjangka orang itu adalah saya, melalui gayanya mengerutkan dahi dan menanggalkan cermin mata. Dia selalu merungut yang cermin matanya hodoh.

Anfal menjungkit kening ke arah saya. Dia tidak perlu meletak banyak usaha untuk tunjukkan perasaan meluat pada wajah dia. Ia semula jadi.

'Tak tidur lagi?' Saya dan soalan bodoh tidak pernah berpisah.

Saya memandang ke arah cermin mata berbingkai berwarna hijau dan berbentuk petak miliknya. Ia memang hodoh. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Anfal sembunyikan wajahnya di dalam kelas apabila dia memakainya. Dan apabila kelas tamat, saya yakin dia menyimpan semula cermin matanya, sanggup berjalan menonong dan kadang-kadang tidak nampak lambaian kawan-kawannya dari jauh.

Dia pasti tidak perlu memakainya jika dia tinggal di TMCC. Kerana tidak ada orang yang rabun di sana.

Itu tujuan pembedahan mata dijalankan. Ia bukan semata-mata untuk mewarnakan anak mata. Ia untuk merawat masalah penglihatan, memasang cip khas, dan kalau saya cukup kaya, saya akan dapat mengaktifkan alat komunikasi berskrin pada mata saya. Jadi, saya tidak perlu pergi ke mana-mana pod lagi untuk menghantar e-mel, fail, atau untuk menonton video di internet. Itu yang diberitahu semasa saya berada di bilik pengimbas otak di TMCC dua hari lalu.

Saya berasa Anfal lebih tahu akan kehebatan gadget NV. Itu sebabnya dia marahkan saya atas segala impiannya yang tidak tercapai. Untuk setiap perkara yang terjadi, manusia sentiasa mencari seseorang untuk dipersalahkan. Bagi Anfal, orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah saya. Blame game ini tidak pernah berakhir sejak kami kecil kerana saya tidak pernah melawannya.

Saya tidak membantah sebab kata-kata Anfal itu betul.

Kami semua berada di sini pada hari ini disebabkan saya. Mungkin, perasaan bersalah sepanjang hidup dan kemarahan Anfal adalah hukuman yang setimpal buat saya. Itu pun kalau ia sebanding dengan segala kesukaran dan penderitaan Anfal yang saya tidak pernah tahu.

Anfal bersandar di kerusi dan berpeluk tubuh sambil memandang saya dengan pandangan yang sama lagi. Tak guna berbasa-basi dengannya. Jadi, saya menulis sesuatu yang lebih bermakna.

'Esok saya pindah terus ke TMCC.'

Saya menunjukkan buku ke arahnya. Dia mengangkat bahu. "Jadi?"

'Kalau saya dah tak ada, boleh Fal jaga ibu dan ayah?'

Ketika itu saya lihat wajahnya berubah.

'Saya minta maaf sebab selama ni hidup kita susah.'

'Saya tahu Fal marah sebab saya akan pergi.'

Anfal masih berdiam diri, jadi saya terus menulis dan menunjukkan buku nota kepadanya silih berganti.

'Tapi saya bukan nak lari tinggalkan keluarga kita.'

'Saya minta maaf sebab Fal terpaksa tinggal di Bazar.'

'Dan kena pakai cermin mata yang Fal tak suka.'

Selepas itu saya menyelak semula buku nota ke muka surat yang saya tulis tentang meminta Anfal menjaga ayah dan ibu. Saya menunjukkan muka surat itu sekali lagi kepadanya. Kemudian saya berhenti menulis. Giliran Anfal untuk katakan sesuatu.

Dia diam beberapa saat dan membetulkan rambutnya berkali-kali.

"Okey." Akhirnya itu sahaja jawapan yang saya dengar daripadanya.

'Saya tak dapat tidur. Takut untuk pembedahan esok.'

Anfal merenung buku nota saya buat seketika. Dia kelihatan seperti memikirkan sesuatu untuk diucapkan, tetapi dia hanya membuka bukunya semula. Mengabaikan saya seolah-olah dia hanya duduk bersendirian di situ. Akhirnya apabila dia memegang kalkulatornya, saya dengar dia kata, "Aku sibuk."

Saya keluar meninggalkan bilik Anfal selepas memberi isyarat terima kasih.

Saya berasa lega dapat meluahkannya kepada seseorang. Sekurang-kurangnya ada orang tahu yang saya takut. Jadi kalau sesuatu terjadi pada saya, jika saya mati, Anfal boleh memberitahu ibu dan ayah apa yang saya beritahu kepadanya. Ibu dan ayah mungkin akan berasa lega kerana mereka selalu mengharapkan agar saya tidak terlalu memendam perasaan dan fikiran seorang diri. Atau mungkin mereka akan lebih sedih, kerana mereka tahu saya mati dalam keadaan takut dan bersendirian.

Saya tidak patut fikir sejauh itu.

Sebelum tidur saya berterima kasih kepada Tuhan kerana mengilhamkan Anfal supaya berjaga lewat malam pada malam ini.

Ia lebih mudah meluahkan kepada orang yang tidak rapat atau orang yang tak peduli tentang kita, terutamanya kepada orang yang tidak dikenali, kerana saya tidak mahu cerita saya dijadikan hujah untuk bertengkar dan saling salah faham. Sedangkan saya bercerita kerana saya ingin berkongsi, bukan untuk menuduh orang lain.

Sebab itu lebih mudah untuk bercerita kepada orang asing kerana dia tidak akan terbeban dengan kisah yang kita ceritakan. Tidak ada hubungan yang akan terjejas selepas bercerita, kerana secara asasnya orang itu memang tidak pernah ada hubungan dengan kita.

Itu juga sebabnya saya takkan pernah beritahu kepada ibu dan ayah tentang apa yang saya rasa. Saya takut saya akan membebankan mereka tanpa saya sedar.

Ibu tentu sedih kalau saya memberitahunya yang saya takut untuk esok.

Malam ini, 'orang asing' yang paling mampu saya temui hanyalah Anfal. Walaupun dia kakak kandung saya, baginya hubungan kami tidak pernah pergi sejauh itu. Tetapi saya tetap sayangkannya.

Saya balik ke bilik dan berbaring sambilmerenung siling bilik. Saya tidak sedar bila saya tertidur kemudian.

Koloni (M)Where stories live. Discover now