Sudah tujuh hari berlalu sejak saya sampai di kem ini.
Farahain belum datang ke sini. Imran tidak diketahui lokasinya. Dan setiap malam saya masih mimpikan Danish atau Mei.
Arfan masih lagi tidak sedarkan diri di dalam bilik rawatan. Luka di kaki saya semakin sembuh. Dalam beberapa hari ini saya sudah banyak menerokai Kem Batu ini. Tetapi saya masih berulang alik ke wad Arfan setiap hari.
Sejak peristiwa di bilik wad tempoh hari, saya mengelak daripada bertemu dengan Syahid atau sesiapa sahaja yang memberi arahan di sini. Saya tidak mahu melibatkan diri. Saya banyak menghabiskan masa duduk bersendirian di sudut-sudut tersembunyi dalam kawasan tidur atau ruang utama, membaca buku atau menconteng seperti sekarang. Saya tidak suka sebegini. Ia seolah-olah mustahil untuk kosong daripada kehadiran manusia.
Kem Batu terletak betul-betul bersebelahan hutan dan bukit berbatu. Dari dalam hutan itu juga mereka mendapatkan sumber air. Mereka bercucuk tanam dan mencari sumber hutan sebagai makanan harian. Air bersih di sini jauh lebih banyak kuantitinya dan lebih baik sistem salirannya berbanding Bazar.
Bangunan ini juga terlindung dengan beberapa buah flyover jalan lama. Sistem-sistem di sini memang diubahsuai bagi menepati kapasiti penduduk yang ramai dalam jangka masa yang panjang. Saya mendengar kem ini dihuni oleh hampir 500 orang dewasa.
Kadang-kadang apabila saya berasa sesak nafas dengan ketatnya peraturan dan ramainya manusia di sini, saya naik tangga bangunan berkenaan sehingga ke tingkat 20, dan melihat pemandangan bandar lama di pinggir Kuala Lumpur ini. Kem Batu hanya menggunakan lapan tingkat daripada bangunan ini termasuk dua tingkat bawah tanah. Tingkat lapan ke atas selalu terbiar, tetapi masih ada kumpulan anak muda yang selalu naik ke sini bagi melakukan pelbagai aktiviti. Saya pernah nampak peralatan mural di setiap tingkat. Dan ada juga peralatan seni pertahankan diri di tingkat 18.
Dari tingkat 20, saya boleh lihat pemandangan matahari terbit dan terbenam dengan sangat jelas.
Di sini, saya berasa saya tidak ada sesiapa lagi selain Arfan. Mereka semua menipu apabila mereka katakan tempat ini adalah rumah baru buat semua. Saya tidak jumpa 'rumah' itu di tempat ini.
Saya rindukan ibu dan ayah. Saya tidak dibenarkan menghubungi mereka. Segala bentuk komunikasi diputuskan di sini. Saya seperti kembali ke Bazar semula. Apabila orang-orang di sini mahu berbual, mereka akan berjumpa dan berbual di ruang utama di tingkat satu. Tiada Kom. Tiada pod. Saya pula terlalu malas dan terasa terlalu bodoh untuk bersosial. Saya sentiasa duduk berseorangan ketika waktu makan.
Saya rindu kek pandan yang ibu selalu buat. Bau semerbaknya akan tersebar ke setiap penjuru rumah. Dan saya akan menjenguk ke arah dalam pembakar untuk melihat sama ada kek itu sudah siap dibakar atau tidak. Apabila kek itu siap dipotong, saya akan bawanya ke tingkat atas, ke bilik saya dan makan sendirian.
Orang-orang di Kem Batu menganggap mereka sudah kenal saya dengan baik walaupun saya tidak pernah bercakap dengan mereka. Mereka suka merenung saya dan berbisik-bisik. Tadi semasa saya sedang duduk di sebuah meja bersama beberapa orang untuk makan tengah hari, saya terdengar orang di meja belakang saya berbual.
"Kau jumpa dah budak nama Ansar tu?" kata salah seorang daripada mereka.
"Pernah ternampak sekali. Biasa saja aku tengok," jawab seorang yang lain.
"Dia psikik...." jawab orang pertama tadi, dengan nada sindir dan berpura-pura menakutkan kawannya.
"Psikik apa benda. Bunyi macam hebat, tapi pengsan kena gas." Mereka ketawa. Lima ke enam orang semuanya.
Saya mengangkat muka dan ternampak orang-orang yang duduk semeja dengan saya merenung saya. Semua orang terdengar perbualan itu, jadi saya tidak berselera mahu menghabiskan makanan saya. Saya bangun dan mengangkut makanan saya ke tingkat atas. Sampai sekarang makanan ini ada di sebelah saya, tidak dihabiskan.
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.