Imran mati. Semua orang percaya begitu, walaupun mayatnya tidak ditemukan. Dia mati dalam letupan pada malam itu semasa selamatkan TMCC. Tetapi dia berjaya matikan lima daripada sepuluh bom tersebut. Saya juga mendengar bunyi lima letupan pada malam itu. Saya percaya semua kata-kata mereka.
Tiga perempat daripada tembok empangan pecah. 29 orang maut pada kejadian itu, tidak termasuk Farahain, Arfan, dan Imran. Suatu angka yang dianggap kecil bagi kejadian sebesar itu, jika kita mahu mengira daripada sudut kuantiti. Dari segi kualiti, TMCC kehilangan seorang menteri X yang terkorban semasa cuba menyelamatkan orang lain, lima orang petugas yang bersedia di bilik saliran yang terletak 100 meter dari empangan, dan dua puluh orang awam termasuk tiga orang kanak-kanak. Ia tragik.
Koloni X dan N dilanda banjir sepenuhnya, setinggi dua sehingga dua setengah meter. Air juga melimpah ke koloni R, M, dan Bazar. Mujur semua orang bersedia awal.
NVBS berjaya diaktifkan semula. Mereka mengimbas kepala saya untuk mengeluarkan kod rahsia sehari selepas kejadian tersebut.
TMCC dan Bazar pulih sedikit demi sedikit.
Tentang Kem Batu dan TMCC, pada malam kejadian itu, setelah Farahain mengumumkan diri sebagai watak jahat melalui Kom kepada semua orang, Tuan Haidar dan menteri TMCC yang sedang berbalah mengambil jalan untuk berdamai.
Hari ini warga TMCC tidak bercakap terang-terang yang mereka menolak sistem NV, tetapi majoriti penduduk TMCC hadir ke Institut untuk menjalani pembedahan untuk menanggalkan Kom mereka. Yalah, siapa yang mahu memakai alat yang berkemampuan membunuh otak mereka melalui isyarat daripada NVBS? Disebabkan Farahain berjaya mengawal Kom pada malam itu, semua orang menjadi takut dengan hak dan privasi mereka. Juga kerana sakit. Sakit disebabkan bunyi berdesing yang dihasilkan oleh Kom ketika ia diaktifkan.
Menanggalkan Kom adalah simbolik kebebasan bagi rakyat TMCC pada waktu itu. Ia seolah-olah menjadi penanda yang mereka tidak mahu lagi bernaung dalam sistem tersebut walaupun mereka tidak mengumumkannya. Apabila mereka melakukan sebegitu, ia umpama keputusan sebulat suara semua orang. Tidak ada yang membangkang atau menghalang.
Kejadian itu juga berjaya menyatukan semua orang politik dalam negara ini. Bazar, Kem Batu, dan TMCC bagaimanapun belum mencapai kata sepakat yang sama untuk menentukan masa depan. Tetapi dalam hal-hal yang lepas seperti kegagalan sistem NV, mereka tidak teragak-agak untuk menyetujuinya.
NVBS disimpan dan dikawal ketat oleh penguasa. Tiada siapa yang tahu di mana ia disimpan. Saya diberitahu yang mungkin NVBS akan menerima nasib yang sama seperti sistem ini, dimatikan, hanya apabila semua Kom ditanggalkan.
Saya dan Anfal tinggal bersama di koloni R. Kadang-kadang Mr. Michael datang berjumpa dengan kami bila dia tidak sibuk dengan kedai runcitnya di Bazar. Kami banyak habiskan masa bersama. Ia rasmi, saya dan Anfal sudah berbaik. Itu cara kami berkongsi perasaan rindu kepada ibu dan ayah. Lagipun, kata Anfal, saya sahaja yang dia ada dalam dunia ini.
Saya pula....
***
Saya berjalan ke melalui lorong sempit yang terletak di belakang sekolah. Pada waktu ini lorong tidak sesak kerana kebanyakan orang sudah keluar bekerja. Saya berdiri di hadapan sebuah rumah di hujung jalan dan membelek alamat yang ditulis dalam buku nota saya. Nombor yang ditulis di dalamnya dan nombor yang ditampal pada dinding rumah usang itu sepadan.
Saya mengetuk pintu rumah yang berwarna biru pudar itu. Di bahagian hadapan rumah ini langsung tiada tingkap. Saya hanya berdiri di hadapan pintu dan berharap ada orang yang menjawab selepas ketukan yang ketiga.
Kriek! Pintu dibuka kecil. Ia tersangkut pada rantai kecil yang mengunci pintu tersebut. Mata seseorang memerhati daripada celah pintu. Belum sempat saya perkenalkan diri, dia menutup semula pintu. Beberapa saat kemudian pintu dibuka tanpa rantai kunci tadi.
YOU ARE READING
Koloni (M)
Science FictionOriginal manuscript of my 2nd book that was published in 2019.