BULU tangkis yang datang ke arahnya pantas ditepis sehingga bulu tangkis itu berdesup laju berpatah balik ke arah berlawanan. Sesekali dia melompat tinggi menghentam tajam bulu tangkis ke pihak lawan.
Peluh berjejeran di tubuh. Baju jersi melekap ke badan. Dia menyebak rambut yang basah ke belakang dengan nafas tercunggap. Tubuh membongkok cuba fokus pada pergerakan pihak lawan yang dah bersedia untuk memukul bulu tangkis ke arahnya.
Tiba-tiba matanya menangkap figura seorang gadis sedang berjalan di belakang gelanggang itu. Suara orang bersorak memberi semangat juga seakan sayup-sayup saja kedengaran sebelum semakin menghilang dan keadaan menjadi sunyi.
Matanya hanya nampak keadaan serba putih. Dan di situ seperti hanya ada dia dan si gadis.
Gadis langsing itu memakai baju sukan sekolah. Bertudung putih sekolah. Kulitnya kuning langsat dan raut wajahnya comel. Mata bulat, bibir mongel.
Nakhaie menyentuh dada yang berdegup kencang secara tiba-tiba. Rasa mengah berlawan badminton tadi tak seberapa seperti perasaannya sekarang.
Lemah lutut! Alahai... Bidadari datang dari mana pula ni?
"Khai!"
"Hah?" Terkejut dia mendengar jeritan rakan-rakannya yang kepoh di tepi padang, tapi belum sempat dia berdiri tegak...
Pap!
"Aduh!"
Tubuh jatuh terduduk ke belakang. Berguling dia tengah gelanggang menggosok dahi yang sakit ditembak bulu tangkis. Entah berapa kelajuan bulu tangkis itu sehingga peritnya tak tergambar! Mahu benjol seminggu!
"Mata kau ke mana!" Jerit Faizal yang berlawan dengan dia tadi.
Nakhaie masih menyeringai kesakitan di tengah gelanggang.
"Ne no! Ne no! Ada orang sakit guys! Mari kita rawat!" Jerit Ghazali penuh semangat. Berlari mereka yang berpakaian serba putih itu. Kononnya menjadi pihak medik yang datang membawa stretcher untuk membawa Nakhaie ke tepi padang sekolah.
"Korang, dia benjol ni. Sorang pergi cari ais!" Terus khemah medik mula acah-acah sibuk seperti berada di bahagian kecemasan hospital.
"Aku tak teruk pun. Nak sambung main!" Nakhaie tolak tangan Ghazali yang menyentuh dahi dia yang mulai kemerahan.
Dari dalam khemah medik, dia nampak Faizal yang duduk berehat di tepi gelanggang sedang menanti dia kembali bermain.
Mereka ada perlawanan rumah sukan hari ini. Jadi dia sebagai ahli rumah sukan berwarna merah perlu menang perlawanan ini.
"Argh! Tak payah. Kau kalah dah. Duduk diam-diam. Nanti pitam kami yang susah."
Cis! Nakhaie mendengus sebal. Terpaksalah dia merelakan mereka acah-acah merawat.
Ialah jarang ada orang sakit. Ahli Bulan sabit merah ni pun wujud sekadar mengikut SOP sahaja. Siap ada khemah yang dihias macam klinik. Dia pula jadi pesakit pertama, itu sebab mereka syok melayan dia.
"Kau tengok awek pun tak beragak la Khai!" Sakat rakan mereka yang menjadi ahli bulan sabit merah itu.
Nakhaie mendengus. Malu! Dia tertangkap merenung anak dara orang sampai kena usung naik stretcher siap dapatkan rawatan!
"Awak, ni ais. Saya beli dari kantin sekolah. Tapi acik kantin kata dia bagi aje."
Nakhaie yang tak pernah mendengar suara yang lemah lembut dan ayu itu pantas berpaling ke belakang. Terbeliak mata dia.
YOU ARE READING
ADAM NAKHAIE
RomanceMuhammad Nakhaie itu lelaki paling baik. Seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Tapi takdir berkata lain. Selepas kematian Nakhaie, Aisyah Erina hidup susah di kampung membuatkan dia bertekad mahu mencari kerja di bandar. Pertemuan dengan Adam N...